|
JUARA bertahan, Malaysia menepati ramalan apabila mara ke final acara hoki wanita Sukan Sea ke-28 selepas menewaskan Indonesia 5-1 pada perlawanan terakhir pusingan awal hari ini.
Skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu tidak menghadapi masalah untuk mengungguli carta kedudukan selepas menang kesemua perlawanan pusingan awal yang berlangsung di Stadium Hoki Sengkang.
Pada aksi hari ini, pasukan negara bermula cemerlang apabila Noor Hasliza Md Ali menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11, sebelum Fatin Mahd Sukri menggandakan jaringan pada minit ke-26.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Fazilla Sylvester Silin menambah jaringan pasukan negara hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-35.
Bersambung babak kedua perlawanan, Indonesia menjaringkan gol pertama menerusi Tiffani Makharti pada minit ke-40, sebelum Siti Rahmah Othman menambah tekanan terhadap lawan dengan jaringan keempat menerusi gol padang pada minit ke-42.
Noor Hasliza mengesahkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menyumbat masuk gol kedua peribadinya pada minit ke-53 menerusi pukulan sudut penalti.
"Kami hanya mahukan kemenangan. Saya juga merehatkan kapten pasukan (Siti Noor Amarina Ruhani) dan tonggak pertahanan Raja Norsharina yang tidak berapa cergas.
"Walaupun menang, kebanyakan pemain tidak memberikan persembahan terbaik kerana menyimpan tenaga untuk final. Cuaca di sini agak panas dan arahan yang saya berikan adalah bermain 'secara mudah'," kata Nasihin.
Malaysia akan berdepan sama ada Singapura atau Thailand, yang kini sedang beraksi untuk menempah slot ke final. - Bernama
|
|