|
Gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam kategori keseluruhan individu wanita acara gimnastik artistik pada Sukan SEA ke-28 Singapura hari ini.
Farah Ann memungut 51.850 mata selepas menampilkan persembahan terpuji dalam empat disiplin iaitu senaman lantai, melombol, palang bertingkat dan titian imbangan.
Atlet Vietnam Phan Thi Ha Thanh nyata sukar digugat selepas mempamerkan persembahan sempurna dengan mengutip 53.650 mata untuk meraih pingat emas, manakala gangsa milik gimnas tuan rumah, Nadine Nathan dengan 51.000 mata.
Farah Ann berkata beliau melakukan beberapa kesilapan terutama ketika beraksi dalam disiplin titian imbangan dan palang bertingkat.
"Secara keseluruhan saya tetap gembira dengan pencapaian pingat perak. Pemenang pingat emas dari Vietnam itu merupakan pilihan utama kerana beliau adalah pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2011 dan beliau mempamerkan persembahan hampir sempurna," katanya.
Farah Ann berkata fokusnya kini adalah untuk meraih pingat emas dalam acara individu titian imbangan dan individu senaman lantai yang akan berlangsung Khamis ini.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut hadir menyaksikan acara berkenaan dan menyampaikan pingat kepada Farah Ann.
Seorang lagi gimnas negara, Tan Ing Yueh sekadar menduduki tempat ketujuh daripada 11 finalis dalam acara tersebut setelah mengutip 48.450 mata.
stadiumastro.com
|
|