KAMILAH sudah mahu membuka bekalan makanan di hadapannya bilamana tiba-tiba dia terdengar namanya disebut.
“Mana Guru Pemulihan Khas tu? Anak Tuan Haji Mustafa tu? Bilik dia di sini ya?”
Terhenti sekejap tangannya mahu membuka plastik kuah laksa penang. Kamilah mengetap bibir. Kena keluar ke? Malasnyalah nak tunjuk muka. Sudahlah perut ini berkeroncong minta diisi. Bau kuah ikan ini pula teramatlah menggoda. Ini mesti rombongan dari bahagian nazir. Semalam mereka sudah sampai ke tempat ini. Bermalam di rumah sewa Tuk Penghulu.
“Ada…ada tu. Dia sembunyi dalam dapur tu. Kamilah! Keluar sekejap,” laung Cikgu Junaidi dari luar.
Perlahan Kamilah menguak pintu dapur. Dia tersengih memandang Cikgu Junaidi yang duduk di salah sebuah kerusi di ruang tamu itu. Ada tiga orang lelaki lagi turut duduk sama di situ. Si tali leher belang-belang, si cermin mata, dan si baju kelabu.
Wah, ada nasi lemak, tiba-tiba saja mata Kamilah mengarah pada hidangan di atas meja. Patut pun tadi dia tercium bau harum sambal nasi lemak. Ini mesti nasi lemak Kak Jaya.
“Oh…ini anak Tuan Haji Mustafa ya? Kenapa tak minta mengajar sekolah bandar? Anak mantan Timbalan Pengarah Negeri ni, takkan duduk sekolah kat pedalaman gini…” ujar lelaki yang bertali leher belang-belang merah hitam itu.
“Anak Cikgu Mustafa ke ni?” Tanya lelaki yang bercermin mata pula. Kamilah cuma senyum sahaja. Puan Nurul tak ada ke? Kalau Puan Nurul ada, tak adalah dia segan sangat nak tunjuk muka depan jemaah nazir ini.
“Duduk Milah. Makan sekali dengan kami ni. Banyak nasi lemak ni…” pelawa Cikgu Junaidi sambil tarik salah sebuah kerusi di situ.
“Duduk, duduk… jangan malu-malu,” ujar lelaki yang bercermin mata itu sambil tersenyum pada Kamilah. Mahu tidak mahu terpaksa juga Kamilah duduk di situ. Teringat pula dengan laksa penang di dapur tadi. Tak apalah, nasi lemak ini ada telur rebus juga.
“Ni kuarters guru ya? Takde orang tinggal ke?” lelaki yang berbaju kelabu itu mengitari sekeliling rumah papan itu.
“Ada kuarters baru sebelah padang sana. Yang ini dah lama, nak bagi orang duduk sini tak sesuai. Ubah jadi pejabat dan ruang rehat staf,” jawab Cikgu Junaidi sambil tangannya menyenduk nasi lemak dan meletakkannya ke dalam pinggan. Pinggan itu dia hulur pada Kamilah. Tetamu tiga orang tadi masing-masing sudah mula menyuap nasi lemak.
“Berapa bilik sini?”
“Dua,” jawab Cikgu Junaidi. “Satu bilik, Penolong Kanan KK, Puan Nurul yang ambil jadi pejabat. Bilik sebelah ni, bilik si Kamilah, untuk Pemulihan Khas.”
“Dapur tu boleh pakai ke?” Tanya yang berbaju kelabu itu lagi. Sekali-sekala datang ke sekolah pedalaman begini, seronok juga. Kreatif mereka di sini. Kuarters guru diubah jadi pejabat dan ruang rehat untuk tetamu.
“Boleh…tapi masak simple-simple je. Masak Maggi, goreng telur, bolehlah,” sahut Cikgu Junaidi.
Kamilah menyuap nasi lemak perlahan-lahan. Tak selesa betul makan depan orang yang tidak dikenali ini. Nasib baik nasi lemak Kak Jaya ini sedap, dan perutnya memang lapar.
“Cikgu Kamilah ni, anak sulung Cikgu Mustafa ke?” Tanya pegawai yang bertali leher belang-belang itu. Roslan, Kamilah membaca tag nama di bajunya.
“Ehh... tak. Saya nombor tiga,” sahutnya sopan.
“Makan…makan Cikgu Kamilah,” pelawa pegawai yang bercermin mata.
Kamilah cuma tersenyum. Ini memang rezeki… tapi tiba-tiba saja perutnya berasa sebu. Kena paksa makan, siapa tak kecut perut?
Puan Nurul, cepatlah habis mengajar, sempat hatinya berdetik. Tangannya sudah menyuap nasi lemak ke mulut.