|
KEJOHANAN All England 2015 mencatat edisi ‘terburuk’ buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas kempen skuad negara dalam badminton tertua di dunia itu berakhir Khamis lalu.
Bermula dengan penyingkiran Mohd Arif Abdul Latif yang tewas kepada pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka 18-21,21-15, 21-18 pada aksi kelayakan, beregu campuran, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula menambah duka negara apabila turut tumbang di pusingan pertama.
Kemerosotan prestasi jaguh badminton negara di peringkat antarabangsa semakin membimbangkan apabila beregu negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem dan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing gagal ke suku akhir semalam.
Kekalahan itu bermakna V Shem-Wee Kiong masih lagi gagal menamatkan kemarau beregu lelaki negara merangkul gelaran pada kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu.
Kali terakhir beregu lelaki negara menjulang trofi berprestij itu ialah melalui Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007 yang mengalahkan pasangan sensasi China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-15, 21-18 manakala kekalahan Arif menyebabkan tiada seorang pun pemain negara berjaya menempatkan diri dalam senarai undian utama, maka ini merupakan sejarah terburuk buat sukan badminton negara bagi tempoh 45 tahun.
Perkembangan ini pastinya menimbulkan tanda tanya sejauh mana persiapan Malaysia untuk menghadapi Sukan Olimpik di Rio, tahun depan.
Aura badminton kian hilang
Menurut bekas pemain negara, Roslin Hashim, nama Malaysia tidak lagi sehebat dan gah ketika zaman kegemilangannya.
Roslin berkata, prestasi yang dipamerkan pemain negara masa kini membuatkan negara lain seperti China, Korea Selatan, Denmark dan Thailand tidak lagi berasa gerun bahkan untuk berasa hormat, sebaliknya mereka hanya memandang sebelah mata sekiranya diundi bertemu dalam kejohanan.
"Dulu jika sebut nama Malaysia, negara lain akan takut dan risau jika bertemu. Kalau boleh mahu elak untuk bertemu Malaysia.
"Tapi kini, saya rasa situasi itu sudah berubah. Nama Malaysia bukan lagi sehebat dulu, Malaysia yang dulu digeruni kini hanya tinggal kenangan," katanya.
Tambah Roslin, jika keadaan ini berterusan, beliau risau akan menimbulkan kesan bahaya buat badminton negara.
"Badminton kita semakin tenat, nama Malaysia selaku kuasa besar badminton semakin suram dan akan merudum sekiranya berterusan begini," ujarnya.
Harap sinar Morten
Roslin berharap satu perubahan baru dapat dijelmakan dengan ketibaan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen.
Roslin berkata, program baru yang akan dilakukan Frost nanti mampu menaikkan semula kegemilangan negara.
"Saya harap Frost dapat menukar program baru agar sukan badminton negara kembali bangkit dan dengan kerjasama semua pihak, saya yakin akan berlaku perubahan dalam struktur program latihan skuad negara sekali gus meningkatkan prestasi sukan badminton negara," jelasnya.
kredit:sinar harian
|
|