|
KEJAYAAN Goh Jin Wei mengejutkan pemain ternama dan berpengalaman serta muncul juara perseorangan wanita pada Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur Maybank (pusingan pertama) di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Ahad lalu mengejutkan pemerhati sukan tanah air.
Baru berusia 15 tahun dan pertama kali menyertai kejohanan terbuka, Jin Wei menewaskan pemain nombor empat kebangsaan, Lim Yin Fun 21-13, 22-24, 21-19.
Begitu pun, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mahu bakat pemain muda itu tidak disia-siakan selepas tamat alam persekolahan.
"Saya tahu keupayaannya, dan berbekalkan semangat dan disiplin, saya lihat Jin Wei boleh pergi lebih jauh. Kita mahu bakatnya terus berkembang kerana dia masih muda dan perlu banyak pendedahan.
"Kita harus ada sistem lebih baik bagi memastikan pemain seperti Jin Wei boleh beraksi ke peringkat kejohanan remaja antarabangsa selepas ini," katanya.
Norza berkata, Malaysia sudah melahirkan tujuh pemain yang muncul juara peringkat remaja bawah 19 anjuran Persekutuan Badminton Antarabangsa sejak 2009.
Antaranya, perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkiffli juara 2008, beregu lelaki, Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi (2008) da, Ow Yao Han-Yew Hong Kheng juga beregu lelaki (2010).
Sementara itu, Jin Wei menetapkan matlamat mahu berjaya di Kejohanan Remaja Dunia yang bakal berlangsung di Peru, November depan.
"Saya masih muda dan tiada tekanan. Saya berhasrat muncul juara remaja dunia sebelum menginjak usia 18 tahun," katanya baru-baru ini.
Untuk rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu memenangi pingat emas Sukma Perlis 2014 mengalahkan pemain Selangor, Yang Li Liang 20-22, 22-20 dan 21-15.
sumber:sinar harian
|
|