|
BAGI memastikan Terengganu terus cemerlang di persada kejohanan sukan negara, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengambil pendekatan proaktif dengan menguji kecergasan 534 atlet Sukan Malaysia (Sukma) negeri ini yang berlangsung di Trek
Olahraga, Kompleks Sukan Gong Badak.
Pengarahnya, Ab Rasid Jusoh berkata, program itu diadakan bertujuan mengukur sejauh mana keupayaan atlet menghadapi temasya Sukma yang bakal berlangsung tahun hadapan di Sarawak.
Menurutnya, program kecergasan itu secara tidak langsung memudahkan pihaknya mengumpul data atlet yang bakal bertanding dalam Sukma, mahupun sebarang kejohanan sukan lain sepanjang tahun ini.
“Melalui ujian ini, kita dapat mengumpul data atlet sebelum diserahkan kepada jurulatih masing-masing untuk dianalisis, seterusnya memberi penekanan pada bentuk latihan yang lebih komprehensif.
“Malah, menerusi data ini juga, kita dapat mengenal pasti atlet yang berpotensi untuk diketengahkan dalam menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dari masa ke masa,” katanya selepas merasmikan Program Ujian Kecergasan
Perdana Atlet Sukma di Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu.
Ab Rasid berkata, ujian kecergasan itu juga untuk memastikan atlet mencapai tahap tertentu bagi menjamin mereka mewakili negeri pada Sukma 2016, sekali gus mampu mencapai sasaran pingat mengikut sukan masing-masing.
Menurutnya, ujian itu akan sentiasa diteruskan bagi membolehkan atlet Terengganu lebih bersedia untuk menyertai kejohanan dan mencapai prestasi yang dikehendaki.
“Ini hanyalah titik permulaan bagi atlet kita sebelum mereka menyertai kejohanan, dan perlu jalani tiga lagi ujian kecergasan selepas ini,'' katanya.
sumber:sinar harian
|
|
|
|
|
|
|
| |
|