CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2526|Reply: 2

Syi’ah dan Ahlu’s Sunnah: Persamaan dan Perbezaan

[Copy link]
Post time 8-2-2015 07:46 PM | Show all posts |Read mode
Syi’ah dan Ahlu’s Sunnah: Persamaan dan Perbezaan


Seringkali kita membaca di akhbar-akhbar atau mendengar orang berbicara tentang Syiah tetapi kebanyakan mereka memberi gambaran yang kurang jelas, kabur, dan negatif. Malah ada yang mengatakan dengan sewenang-wenangnya bahawa Syiah itu kafir kerana terkeluar dari Mazhab Empat/Ahlus Sunnah tanpa membezakan Syiah yang di akui dengan Syiah yang menyeleweng (Ghulat). Puak-puak ini menegaskan bahawa memerangi Syiah adalah lebih penting dari memerangi Yahudi. Pada hal Yahudi tidak pernah membezakan musuhnya sama ada Syiah atau Sunni.


Apa yang di maksudkan dengan Syiah yang menyeleweng ialah Syiah yang selain Imammiyah/Jafariyyah dan Zaidiyyah. Mereka di ringkaskan sebagai ghulat. Imam al-Ghazali di dalam bukunya Mustazhiri menentang keras Syiah ghulat kerana ia mengandungi pengajran Batiniyyah. Imam Jaafar as-Sidiq pula menyatakan Syiah ghulat tidak boleh di kahwini dan di adakan sebarang urusan keagamaan kerana aqidah mereka bertentangan dengan al-Quran dan Hadis.




Persamaan dan Perbezaan di antara Ahlus Sunnah dan Syiah Imamiyyah


Asas-asas Agama yang Utama


Tidak ada perbezaan di antara Syiah Imamiyyah dan Mazhab Empat mengenai asas-asas agama yang utama iaitu tauhid, kenabian, dan Ma’ad (hari Kebangkitan). Semua pihak percaya sekiranya seseorang mengikari salah satu daripada asas-asas tersebut maka dia adalah kafir. Mereka percaya al-Quran adalah kitab-kitab Allah yang di turunkan kepada umat manusia melalui Nabi Muhammad, tidak boleh berkurang dan di tambah, berdasarkan kepada Mushaf Uthman yang digunakan oleh seluruh umat Islam. Manakala mushaf-mushaf lain seperti Mushaf Ibnu Mas’ud dan Mushaf Ali telah di bakar atas arahan Khalifah Uthman. Sekiranya terdapat perbezaan penafsiran di antara Syiah Imamiyyah dan Ahlus Sunnah mengenai ayat al-Quran maka ia merupakan perkara biasa yang juga berlaku dalam kalangan Ahlus Sunnah itu sendiri; di antara Syafie dan Hanfi dan seterusnya.


Rukun Islam


Ahlus Sunnah berpegang kepada sebuah Hadis Nabi yang merangkumi lima perkara iaitu:
  • Mengucap dua kalimah shahdah.
  • Solat
  • Puasa
  • Zakat
  • Haji
Sementara Syiah Imamiyyah berpegang kepada sebuah Hadis Nabi yang merangkumi lima perkara juga iaitu:
  • Solat
  • Puasa
  • Zakat
  • Haji
  • Jihad


Imamah/Khilafah


Ahlus Sunnah berpendapat bahawa Nabi tidak meninggalkan sebarang wasiat kepada sesiapa untuk menjadi khalifah. Syiah Imamiyyah percaya bahawa Imamah/Khilafah adalah jawatan yang di anugerahkan Tuhan kepada Ahlul Bait khususnya Ali sebagai orang yang di wasiatkan untuk menjadi Imam/Khalifah berdasarkan kepada hadis Ghadir Khum, Hadis as-Safinah, Hadis al-Thaqalayn dan lain-lain. Selepas Ali, ia di ganti oleh anak-anak cucunya dari Fatimah, Hasan, Husin, Ali Zainal Abidin, al-Baqir, Ja’far as-Sadiq, Kazim, Rida sehingga Mahdi al-Muntazar (Imam yang kedua belas). Mereka di panggil Imamiyyah kerana mereka berpegang kepada hadis Imamah/Khilafah dua belas yang bermaksud: “Urusan dunia selepasku tidak akan selesai melainkan berlalunya dua belas amir”. Mereka juga di kenali dengan Mazhab Ja’fari iaitu di nisbahkan kepada Imam keenam Ja’far as-Sadiq yang bersambung keturunannya di sebelah ibunya dengan Khalifah Abu Bakar. Sementara di sebelah bapanya pula al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (as-Sajjad) bin Hussayn bin Ali dari ibunya Fatimah as-Siddiqah az-Zahra binti Muhammad (Rasulllah). Beliau juga guru kepada Imam Malik dan Imam Abu Hanafiah.


Malaikat dan Manusia


Ahlus Sunnah dan Syiah Imamiyyah percaya bahawa manusia adalah lebih mulia dari para malaikat. Hanya Muktazilah yang mempercayai bahawa malaikat adalah lebih mulia daripada manusia kerana sifatnya yang sentiasa taat kepada Allah dan sujudnya malaikat kepada Nabi Adam adalah sujud hormat bukannya sujud bererti kehinaan. Oleh itu, Ahlus Sunnah dan Syiah Imamiyyah berpendapat bahawa Nabi Muhammad adalah lebih mulia daripada semua makhluk Allah termasuk Malaikat. Ahlus Sunnah juga bersetuju bahawa Ahlul Bait adalah lebih mulia daripada orang lain sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Ahzab 9:33 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa daripada kamu hai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya”.


Mengikut Muslim dalam Sahihnya dan al-Wahidi dalam Asbab an-Nuzulnya, apa yang di maksudkan dengan Ahlul Bait ialah Fatimah, Hasan, Husin, dan Ali. Berdasarkan kepada ayat tersebut, Syiah Imamiyyah percaya bahawa para Imam Dua Belas adalah maksum. Pengertian maksum mengikut mereka ialah “Suatu kekuatan yang menegah seseorang daripada melakukan kesalahan/dosa. Ia tidak boleh menyalahi nas. Perkara semacam ini memang juga berlaku dalam hidup seseorang. Contohnya, seseorang yang ingin melakukan maksiat tertentu, kemudian terdapat sahaja perkara yang menegahnya daripada melakukan maksiat tersebut. Bukanlah pengertian maksum itu sebagaimana kebanyakan kita fahami iaitu seseorang itu boleh melakukan sebarang maksiat kerana dia itu maksum.


Selain daripada ayat tersebut, Syiah Imamiyyah berpegang kepada beberapa Hadis Nabi yang di antaranya menerangkan kedudukan keluarga Rasulullah. Rasulullah bersabda “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang berharga; Kitab Allah dan keluargaku (al-Itrah). Juga Rasulullah pernah bersabda “Ahli Baitku (keluargaku) samalah seperti bahtera Nabi Nuh. Siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang tidak menaikinya akan binasa/tenggelam”.





Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 8-2-2015 07:46 PM | Show all posts
Wuduk


Tidak wujud perbezaan yang besar di antara Syiah Imamiyyah dan Ahlus Sunnah tentang wuduk. Mereka bersetuju kebersihan mestilah di lakukan sebelum wuduk di ambil. Walau bagaimanapun, mereka berbeza tentang basuh/sapu dalam Surah al-Maidah 5:6 yang bermaksud “Sapulah (Imsahu) kepala kamu dan kaki kamu”. Jika di tinjau pengertian ayat tersebut bahawa bukan sahaja kepala yang wajib di sapu malah kaki pun sama kerana perkataan imsahu memberi pengertian sapu, dan huruf ataf di situ mestilah di kembalikan kepada yang paling hampir sekali. Lantaran itu Syiah Imamiyyah mengatakan kaki hendaklah di sapu bukan di basuh. Sementara Ahlus Sunnah mengatakan basuh. Mereka berpegang kepada Hadis Nabi yang bermaksud “Neraka Wail bagi mata kaki”. Bagi Syiah Imamiyyah, mereka mengatakan hadis tersebut adalah di tujukan kepada orang yang tidak membersihkan anggota-anggotanya termasuklah kaki sebelum mengambil wuduk. Di samping itu mereka berpegang kepada hadis yang di riwayatkan oleh Ibnu Abbas. Sabda Nabi “Wuduk itu dua basuh dan dua sapu”, iaitu basuh muka dan tangan adapun sapu ialah kepala dan kaki.


Azan


Ahlus Sunnah membuang perkataan Hayya ‘Ala Khair al A’Amal (Marilah melakukan amalan yang baik) daripada azan asal dan menambah perkataan as-Solatu Khayrun Minan-Naum (Solat lebih baik dari tidur) di dalam azan Subuh. Kedua-dua perkataan telah di lakukan semasa pemerintahan Umar. Pada yang pertama, beliau berpendapat jika seruan itu di teruskan orang Islam akan mengutamakan solat daripada berjihad. Pada yang kedua, beliau di kejutkan daripada tidurnya oleh muazin dengan berkata “Solat adalah lebih baik dari tidur” maka beliau lantas tersedar dan menyuruh muazin itu menggunakan perkataan tersebut untuk azan Subuh. Pada Syiah Imamiyyah di teruskan azan asal sebagaimana di lakukan di zaman Rasulullah dan Khalifah Abu Bakar.


Solat Jamak


Semua pihak bersetuju solat boleh di jamak/di himpunkan apabila seseorang itu musafir. Ahlus Sunnah pada keseluruhannya tidak menggalakkan jamak solat selain dari musafir meskipun begitu mereka tidak menyatakan solat jamak itu tidak sah bagi orang yang bermukim. Imam Malik mengharuskan jamak solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isyak di hari hujan. Kebanyakan pengikut Imam Syafie berpendapat jamak solat boleh di lakukan jika ada sebab yang di haruskan oleh syarak dan adalah menjadi makruh jika ia di lakukan secara kebiasaan. Syiah Imamiyyah mengatakan solat jamak boleh di lakukan tanpa sebab musafir, sakit atau ketakutan kerana Nabi solat jamak tanpa sebab dan musafir. Di riwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa “Rasul bersolat berjamaah dengan menjamakkan Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isyak tanpa musafir dan tanpa sebab takut”.


Solat Tarawih


Ahlus Sunnah dan Syiah Imamiyyah bersetuju bahawa solat terawih tidak di lakukan pada masa Rasulullah dan Khalifah Abu Bakar. Ia di lakukan di atas arahan Khalifah Umar kerana beliau melihat orang ramai solat sunat bertaburan. Lantas beliau berkata “Alangkah baiknya jika di lantik seorang lelaki untuk menjadi imam bagi kaum lelaki dan seorang perempuan untuk menjadi imam bagi kaum perempuan”. Kemudian beliau melantik Ubay bin Ka’ab supaya mengimamkan pada malam berikutnya. Selepas itu beliau menghantar surat kepada gabenor-gabenor di seluruh negara supaya menjalankan solat sunat secara berjemaah dan di namakan Solat Tarawih kerana setiap empat rakaat di adakan istirehat. Syiah Imamiyyah tidak melakukan solat Tarawih di atas alasan tersebut. Saidina Ali ketika menjadi khalifah melarang orang ramai daripada solat Tarawih dan menyuruh anaknya Hasan memukul dengan tongkat tetapi orang ramai terus melakukannya kerana sudah menjadi amalan tradisi. Meskipun begitu, Syiah Imamiyyah sembahyang sunat sebanyak lima puluh rakaat tiap-tiap malam Ramadhan secara bersendirian di samping sunat biasa. Mereka solat juga tiga puluh empat rakaat.


Takbir Sembahyang Jenazah


Ahlus Sunnah menyatakan bilangan takbir sembahyang jenazah ialah empat rakaat sementara Syiah Imamiyyah menyatakan lima takbir. Di samping itu Ahlus Sunnah sendiri sependapat cara-cara jenazah di hadapkan ke kiblat. Maliki, Hanafi, dan Hanbali berpendapat jenazah hendaklah di letakkan ke atas lambung kanannya dan mukanya mengadap kiblat sebagaimana di lakukan ketika mengebumikan jenazah. Sementara Syiah Imamiyyah dan Shafie berpendapat jenazah hendaklah di lentangkan dan di jadikan kedua tapak kakinya kea rah kiblat, sekira-kira jika dia duduk, dia mengadap kiblat. Ini jelas sekali kita yang bermazhab Syafie tidak sedar bahawa cara pengebumian jenazah yang kita lakukan adalah sama seperti Syiah dan Syafie pula sependapat dengan mazhab Syiah Imamiyyah dalam masalah tersebut dan berlainan dengan Hanafi., Maliki dan Hanbali. Begitu juga dengan  Undang-Undang 99 Perak dan “bersalam” di antara lelaki dan perempuan dengan melapikkan kain di tengah tangan adalah Mazhab Ja’fari sedangkan Imam Syafie tidak membenarnya berjabat tangan dengan bukan muhrim sekalipun secara berlapik/beralas.


Sahabat


Imam al-Bukhari dalam Sahihnya memberi definisi sebagai orang yang bersahabat dengan Nabi dan mati sebagai seorang muslim. Ahlus Sunnah mengatakan semua sahabat Nabi itu adil dan amanah sehingga tidak boleh dipertikai peribadi mereka. Sementara Syiah Imamiyyah berpendapat para sahabat Nabi itu adalah manusia biasa. Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Di dalam akidah Islam, sahabat bukanlah maksum. Dengan itu mereka terdedah kepada sebarang dosa/kesalahan seperti manusia biasa. Mereka juga menyatakan bahawa ayat-ayat Quran di tujukan kepada sahabat Nabi misalnya yang lari dari medan peperangan, membuat perkara-perkara yang tidak di ingini dan lain-lain. Terdapat sahabat Nabi seramai dua belas orang telah cuba untuk membunuh Nabi sendiri selepas peperangan Tabuk di Aqabah. Walau bagaimanapun, Syiah Imamiyyah tidak menafikan wujudnya sahabat-sahabat Nabi yang setia. Syiah Imamiyyah juga menghormati Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar dan jauh sekali mengkafirkan mereka berdua. Sekiranya terdapat Syiah yang mengkafirkan mereka, ini adalah Syiah yang ghulat atau pandangan individu. Apatah lagi Imam Keenam Syiah ialah Ja’far as-Sadiq yang bertemu keturunan sebelah ibunya dengan Khalifah Abu Bakar sebagaimana kita dapati dalam kalangan Ahlus Sunnah mengkafirkan Syiah Imamiyyah sedangkan para Imam Ahlus Sunnah tidak mengkafirkan mereka.


Ijtihad


Ahlus Sunnah bersetuju bahawa pintu ijtihad telah di tutup. Penutupan pintu ijtihad bererti “jemputan” ke zaman takliq. Ini juga bererti tidak wujud lagi mujahid yang baru, memadai dengan mujahid-mujahid yang telah mati. Lantaran itu, persoalan-persoalan yang baru kurang dapat di atasi. Syiah Imamiyyah berpendapat bahawa pintu ijtihad masih terbuka dan mereka tidak membenarkan ia di tutup kerana penutupan pintu ijtihad memberi implikasi penyerahan kepada kelemahan dan kebodohan sendiri dan ia bercanggah dengan al-Quran yang menuntut sebahagian umat Islam menjadi alim mujtahid di setiap masa. Sayang sekali kita sebagai Ahlus Sunnah dari mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali telah menyerah diri kepada penutupan pintu ijtihad. Persoalan yang timbul siapakah yang memerintahkan ia di tutup? Mungkinkah pemerintahan sekular sebelum Imam al-Juwayni atau Imam al-Ghazali mengisyitiharkan penutupan tersebut? Pada masa itulah timbul perasaan fanatik kepada mazhab tertentu yang di ikuti masing-masing menakwilkan hadis-hadis mengikut pandangan mazhab mereka.


Hadis Nabi


Semua pihak bersepakat menerima hadis-hadis Nabi yang di riwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah. Tetapi Syiah Imamiyyah mengutamakan hadis-hadis yang di riwayatkan oleh Ahlul Bait kerana mereka lebih mengetahui tentang Nabi daripada orang lain, terutama Saidina Ali yang di siftakan oleh Nabi sebagai ‘pintu ilmu’ di dalam sebuah hadis yang mana Nabi bersabda “Aku adalah gedung ilmu, Ali adalah pintunya dan sesiapa yang ingin memasukinya mestilah menerusi pintunya”. Hadis-hadis Nabi yang menjadi rujukan Ahlus Sunnah terkumpul di dalam Sahih-Sahih Bukhari, Muslim, Nasa’I, Ibnu Majah, Abi Daud, Tirmizi, al-Mutawatta’, al-Mustadrak, Musnad Ibn Hanbal dan lain-lain. Sementara Syiah Imamiyyah mengumpulkan di dalam Usul al-Kafi oleh al-Kulayni, Man La Yahduruhu l-Faqih oleh Sadduqi, al-Istibsar fi ad-Din dan Thadhib al-Ahkam kedua-duanya oleh at-Tusi, Bihar al-Amwar oleh al-Majlisi dan lain-lain.



Di petik secara keseluruhannya daripada makalah yang bertajuk Syi’ah dan Ahlu’s Sunnah: Persamaan dan Perbezaan dalam Antologi Pemikiran Islam oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim


Reply

Use magic Report

Post time 2-9-2024 02:05 AM | Show all posts

[AceHand SPECTaceLAR]

Dr. Lutpi tu worang mana...?


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 09:16 PM GMT+8 , Processed in 0.053544 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list