CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2078|Reply: 1

Saya Charlie tapi bukan Charlie

[Copy link]
Post time 23-1-2015 08:15 PM | Show all posts |Read mode
oleh Hisamudin Rais                                                                        Para terakhir dalam tulisan saya pada November lalu berhubung isu kumpulan bersenjata ISIS merumuskan seperti berikut:

“Akhirnya negara-negara di Eropah, Amerika Latin dan Afrika – tidak dapat tidak akan mewujudkan undang-undang baru atas nama keselamatan untuk menentang pengganas ISIS.

“Malaysia juga akan memunculkan undang-undang baru antipengganas. Walhal kepala pengganas utama dalam dunia ialah imperialis Amerika. Inilah peranan ISIS. ”

Serangan ganas ke atas kartunis majalah Charlie Hebdo yang berlaku dalam kota Paris minggu lalu membuktikan bahawa strategi geopolitik ini sedang berjalan mantap. Strategi geopolitik ini sedang menyediakan suasana Perang Dunia ke-3.

Majalah Charlie Hebdo ialah majalah lawak satira. Saya merayakan satira dan lawak. Malah saya sendiri melakukan kerja 'lawak berdiri' (stand up comic). Blog saya Tukartiub adalah blog satira politik. Justeru lawak dan satira bukan asing untuk saya.

Tetapi komedi dan dalam garis politik saya tidak menyokong apa sahaja gerakan atau kumpulan yang mengakui mewakili Tuhan. Saya menentang keganasan yang reaksionari. Saya menyokong anak semua bangsa untuk merayakan kepercayaan semua agama. Saya menentang cita-cita dan niat yang memperlekeh apa sahaja agama. Saya merayakan anak semua bangsa yang menganut apa saja agama. Dalam masa yang sama saya juga merayakan mereka yang tidak beragama.

Justeru saya juga Charlie dan saya juga bukan Charlie.

Saya mengutuk pembunuhan ke atas kartunis majalah Charlie Hebdo. Saya mengutuk pembunuhan itu yang dilakukan atas nama Islam. Atau atas alasan mempertahankan Nabi Muhamad. Atau alasan tidak sensitif terhadap agama.

Sama-sama karut

Dalam masa yang sama saya juga mengutuk kebodohan dan kebangangan majalah Charlie Hebdo. Saya anggap majalah ini bodoh dan bangang. Bukan saja majalah bangang tapi majalah rasis. Justeru, saya mengutuk majalah ini yang berselindung di belakang tabir kebebasan bersuara.

Dua-dua kumpulan – yang dibunuh dan yang membunuh – untuk saya sama-sama karut. Dua-dua kumpulan ini sedang menjadi alat daulah terpendam atau deep state. Secara sedar atau tidak sedar mereka adalah bidak catur dalam strategi geopolitik kuasa imperialis.

Majalah Charlie Hebdo ini tidak melakar satira politik yang bijak. Daripada ilmu semiotik, jika diperhatikan maka kita tidak akan salah jika membuat rumusan bahawa ini adalah majalah rasis. Amat jelas, di belakang satira ini adalah sanubari rasis Perancis yang terpendam dalam. Ramai warga Peranchis bermimpi angkuh dan berangan-angan bahawa dunia yang indah ini hanya dunia Perancis

Memang betul ada unsur agama yang kadang-kandang boleh dilihat sebagai lawak dan komedi. Tapi bukan seperti yang digarap oleh Charlie. Majalah ini menghina dan mengutuk agama.

Setelah serangan berlaku maka Perancis menjadi riuh dan heboh. Ini bukan saja heboh seluruh Paris, malah sedunia. Maka pandangan yang akan saya ajukan ini mungkin akan dilihat sebagai pandangan minoriti. Pandangan saya ini melanggar dan menentang pandangan arus perdana.

Tembakan dan letupan daripada kedua belah pihak ini sedang menimbulkan banyak persoalan. Untuk sementara waktu jangan kita terperangkap dalam pelbagai teori yang tersebar. Tidak guna kita bertegang lidah cuba membuktikan bagaimana ledakan Kalashnikov itu tidak kena kepala polis. Atau kenapa darah tidak membasahi jalan raya. Untuk saya, kita tidak perlu teori-teori untuk memahami apa yang sedang berlaku.

Di hujung minggu lalu dilaporkan lebih dari 40 orang pemimpin dunia dari pelbagai 'bentuk dan genre' telah mengutuk pembunuhan dan bersimpati dengan Perancis.

Ada yang bernama Merkel, ada yang bernama Obama, ada yang benama Netanyahu, ada yang bernama Cameron. Kita juga diberitahu berjuta warga Perancis telah turun ke jalan raya berdemo mengutuk apa yang ditakrifkan sebagai 'ekstremis Islam'.

Peranan Zionis Anglo-Amerika

Apabila saya terbaca nama Merkel, Obama, Netanyahu dan Cameron yang bersimpati dengan Perancis maka saya jadi loya dan hampir keluar 'muntah tahi'.

Kalau saya katakan 'padan muka' maka saya anggap diri saya kurang ajar. Saya akan dituduh tidak memiliki garis politik yang lurus. Tapi biar saya terangkan sejelas hari siang di sini tentang apa itu politik dan apa itu realpolitik. Para pembaca boleh membuat rumusan sendiri.

Sosok yang menjadi presiden Perancis namanya Francois Hollande. Bawah pimpinan Hollande kita lihat bagaimana Perancis terlibat secara gelap dan secara terbuka dalam melaksanakan strategi geopolitik kuasa imperial Zionis Anglo-Amerika.

Seawal 2011 Perancis secara sulit telah memberi senjata kepada puak ekstremis Islam yang menentang Gaddafi di Libya. Akhbar Telegraph London pada 29 Jun 2011 telah melaporkan kenyataan jurucakap tentera Perancis Colonel Thiery Bukhard yang mengakui bahawa Perancis telah memberi senjata ringan kepada kumpulan anti-Gaddafi. Tiga bulan kemudian Perancis bersama bala tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengebom Libya.

Pada 15 November 2012, BBC London melaporkan pemberian senjata daripada Perancis kepada kumpulan ekstremis Islam anti-Bashar di Syria.

Pada 14 Mac 2013, akhbar Guardian London melaporkan kerjasama Britain dan Perancis dalam usaha bersama untuk mempersenjatai kumpulan ekstremis Islam yang anti-Bashar. Laporan ini juga menyebut bagaimana Francois Hollande pergi ke Brussels untuk berkempen di parlimen Eropah - meminta negara-negara Eropah yang lain menyokong langkah Britain dan Perancis. Hollande juga meminta negara Jerman supaya bersetuju untuk menghapuskan sekatan senjata ke atas Syria agar senjata dapat dihantar kepada kumpulan anti-Bashar.

Pada 21 Ogos 2014, stesen TV France24 melaporkan bahawa Presiden Francois Hollande menghantar senjata kepada kumpulan yang sedang menyerang Bashar al-Assad.

Apa yang ingin saya buktikan, kumpulan ekstremis Islam yang dikatakan menyerang Charlie Hebdo itu telah bertelur, mengeram, menetas dan dibesarkan oleh kuasa imperial Zionis Anglo-Amerika.
Perancis salah satu negara yang membekalkan senjata untuk kumpulan ekstremis Islam ini. Tukang bayar harga senjata ini tidak lain dan tidak bukan ialah Arab Saudi. Daripada apa yang saya baca, Arab Saudi ini dikatakan sebuah negara Arab yang beragama Islam.

Mangsa Drone Amerika

Kumpulan ekstremis Islam ini datang dalam pelbagai bentuk – awalnya mereka dikenali sebagai al-Qaeda kemudian menjadi Jabhar al Nusra dan hari ini menjadi ISIS. Walau pun apa nama mereka, bukti menunjukkan bahawa ekstremis Islam ini semuanya adalah anak didik Amerika.

Pada 16 Julai 2014 akhbar Gulf Daily News dari Bahrain melaporkan kenyataan Edward Snowden. Anak muda yang melarikan diri dari Amerika ini adalah bekas penyelidik Jabatan Risikan Amerika (NSA). Mengikut Snowden, ISIS dirancang oleh badan risikan Britain dan Amerika.

Edward Snowden juga membocorkan fakta tentang Abu Bakr Al-Baghdadi. Sosok yang dikatakan menjadi khalifah ISIS ini telah dilatih selama satu tahun oleh Mossad. Latihan diberikan dalam ilmu teologi agama dan cara berpidato yang boleh menarik perhatian orang ramai.

Ketika tulisan ini digarap seluruh dunia sedang heboh tentang Charlie Hebdo. Media arus perdana sedang menggoreng isu ini semasak mungkin untuk menyediakan suasana di mana perang boleh dilancarkan atas nama mempertahankan kebebasan bersuara. Perang boleh diteruskan atas nama menentang ekstremis agama.

Dengan apa yang telah berlaku warga dunia akan bersedia, akan terbuka hati untuk menerima apa sahaja rancangan dari pemimpin mereka. Rakyat yang takut senang menjadi pak turut. Senjata boleh ditempah dan dipesan. Arab Saudi dan negara Arab teluk boleh memesan senjata baru dan membayar dengan dolar yang mereka kumpulkan hasil jualan bahan bakar petroleum.

Serangan ke atas Charlie Hebdo ini secara bijak menenggelamkan ingatan kita kepada kematian warga Pakistan yang saban masa dibom oleh Drone Amerika. Media berjaya membesarkan berita Charlie ini sehinggakan kita terlupa bahawa saban hari ada warga Yaman yang mati dibom oleh Amerika melalui Drone.

Dengan bijak media milik kaum pemodal telah berjaya membawa satu naratif - satu jalan cerita bahawa ekstremis Islam adalah punca masalah dunia. Naratif ini sedang tersebar dengan meluas.

'Cui bono'

Tulisan saya ini adalah naratif balas atau jalan cerita yang lain. Saya melihat bukan hanya pembunuhan, bukan hanya ledakan Kalashinkov. Saya mahu para pembaca juga menyoal daripada mana datangnya ekstremis Islam ini? Siapa pembekal Kalashinkov ini? Siapa tukang bayar semua ini.

Kalau polis menyiasat kes bunuh, ada tiga perkara yang wajib dikenal pasti. Pertama, apa senjata yang digunakan. Kedua, apa tujuan pembunuhan dilakukan. Ketiga, mana mayat mangsa pembunuhan.

Dalam menganalisa politik ,dalam realpolitik kita, seperti polis yang menyiasat wajib bertanya tentang cui bono.

Ini perkataan dalam bahasa Latin. Makna cui bono ialah siapa dapat untung. Dalam realpolitik untung ini ialah kejayaan melaksanakan strategi politik yang akhirnya memperkukuh kuasa.

Dengan kuasa yang kukuh maka dolar dan riyal dapat dikumpul. Justeru cui bono ini wajib terus dijadikan asas untuk memahami politik. Bukan sahaja politik luar negara malah politik Malaysia juga boleh ditanya melalui soalan cui bono?

Minggu ini terbukti apa yang saya tulis pada 25 November 2014 lalu tepat. Ini disahkan oleh kenyataan ketua polis negara mengenai Charlie Hebdo. Ketua polis negara berkata, amat perlu Akta Hasutan 1948 diteruskan untuk mengelakkan dari berlakunya serangan seperti di Paris.

Kenyataan ketua polis negara ini jangan dibaca sebagai lawak atau dibaca sebagai satira.

Untuk saya apa yang jelas ialah tidak lama lagi pasti ada undang-undang baru untuk mengawal dan menangkap orang ramai yang semakin berani bertanya tentang cui bono?

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 2-9-2024 01:41 AM | Show all posts
[AceHand SPECTaceLAR]

Mereka akang kekal hidop...


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 04:55 AM GMT+8 , Processed in 0.035904 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list