|
Cubaan 1, 2 ,3 ....
CERPEN RENDANG AYAM MAMAN
Mak Bi terbongkok-bongkok memetik pucuk maman apabila dia terdengar suara memberi salam. Salam dijawab tanpa mendongak. Dia kenal sangat dengan suara itu.
"Kak Bi, nak mintak lada api sikit. Aku nak masak gulai ayam". Tanpa menunggu Mak Bi bersuara, jari-jemari Maria sudah pantas memetik cili padi yang merah ranum. Sudah terbayang-bayang kesedapan gulai ayam yang akan dimasaknya. Kalau di Kedah, gulai itu masak kari. Tapi di sini, gulai ialah masak lemak cili padi. Ayam, santan, cili padi, serai, kunyit dan asam keping - hanya itu bahan-bahannya. Memang betul kata orang dulu-dulu, orang negeri sembilan boleh hidup tanpa bawang.
"Eh, kau ni Maria. Aku belum bagi izin dah penuh bekas di tangan?". Mak Bi meluruskan badannya. Sengal-sengal pula pinggangnya akibat terlalu lama membongkok. Maria tersengih-sengih, jejari masih ligat memetik.
"Ala, aku tau Kak Bi mesti bagi. Takkan lah dengan jiran sendiri nak berkira. Geram betul aku tengok pokok lada api Kak Bi. Aku tanam tak pernah menjadi. Suzi yang mintak aku masak gulai ayam, malam nanti sampai lah dia tu. Sejak keje kelumpo ni, jarang-jarang dia balik. Kerja banyak, katanya. Maklumlah, kerja pegawai". Panjang lebar cerita Maria. Bangga sungguh dia dengan Suzi yang bekerja di Kuala Lumpur selepas tamat diploma di kolej swasta.
Mak Bi hanya tersenyum. Malas dia ingin melanjutkan perbualan dengan Maria. Siapa yang tak kenal dengan Maria di kampung ni? Maria CNN, gelar orang kampung kepadanya. Apa sahaja berita, Maria lah yang akan tahu dahulu. Segala yang elok-elok, semua nya Maria. Anak-anak Maria lah yang paling lawa, pandai-pandai belaka dan paling berjaya. Menantu lelaki Maria lah yang paling elok. Rumah Maria lah yang paling cantik. Semua Maria. Maria tidak akan mahu kalah dengan orang lain. Setahu Mak Bi, Suzi terpaksa menyambung pembelajaran di kolej swasta kerana tidak mendapat sebarang tawaran dari universiti.
"Kak Bi, saya nampak Nurfa ada je kat rumah lepas habis belajar. Dia tak nak cari kerja ke?". Kepala Maria terjeguk-jenguk memandang ke dalam rumah Mak Bi, seakan-akan mencari kelibat Nurfa.
"Dia kata nak berehat dulu. Dia ada mohon kerja dengan Jabatan Perikanan di sini. Dia suka kerja dekat dengan kampung. Boleh tengok-tengokkan mak dan ayah, katanya". Mak Bi membelek2 pucuk maman yang di kutipnya. Cukuplah untuk dicampurkan dengan rendang ayam kampung nanti.
"Hmmm... kalau macam tu, buat apa lah belajar tinggi sampai universiti kalau nak duduk kerja kat kampung", cebik Maria. "Maaf Kak Bi, bukan aku nak mengata Nurfa. Tapi Nurfa patut ikut macam Suzi, pergi ke kelumpo, cari kerja besar. Baru lah ada kelas. Baru lah boleh hidup senang. Untung-untung dapat cari suami kaya." Tersenyum lebar Maria membayangkan dia berbesankan orang kaya. Orang kampung tentu akan memandang tinggi kepadanya. Dan tentu akan ada yang iri hati.
"Aku tak kisah dia nak kerja kat mana pun, Maria. Biar lah dia merancang hidup dia sendiri. Aku tak paksa. Cukup lada api?". Mak Bi membalas, cuba untuk tidak berbual panjang lebar.
"Cukup sangat. Boleh tiga kali menggulai ni. Kak Bi nak buat apa dengan pucuk maman?"
"Nurfa nak masak rendang ayam maman. Petang esok kan ada pertandingan di balai raya kampung. Aku saja suruh dia masuk bertanding. Zaman aku dah lepas. Lagi pun, dah tak larat aku nak masak memasak, masuk bertanding ni''. Mak Bi tersenyum. Memang selama ini dia terkenal dengan juara masak di kampung. Antara kelima-lima anak perempuannya, Nurfa sahaja yang rajin ke dapur dan minat memasak. Yang lain, hanya sekadar menjalankan tugas sebagai isteri.
"Dah lah, Maria. Kalau aku layan kau berborak, memang tak menjadi lah kerja aku. Maman ni nak direndam dengan garam dan asam keping dulu. Baru boleh dimasak rendang. Kau pergi ke balai raya esok?", Mak Bi sudah berjalan menuju ke pintu dapur rumah.
"InsyaAllah, pergi. Aku bawa Suzi sekali. Terima kasih banyak ya, Kak Bi", Maria melenggang-lenggok pulang ke rumah.
P/S: Cemana? Layak diteruskan tak?
Last edited by GincuPurple on 31-8-2014 02:05 PM
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|