Dayah perlahan bangun. Malunya hanya tuhan yang tahu. Dia tunduk. Tidak berani memandang ke arah sami muda itu. Perlahan dia melangkah dan terus menyorok di belakang pokok mangga tadi. Perlahan kepalanya dihulur keluar, melihat siapa yang menegurnya tadi. Kelihatan seorang lelaki muda berpakaian warna jingga sedang tersenyum kepadanya. Rambut pula kemas dan ala ala penyanyi Mawi punya stail. Bukan botak. Lelaki itu dipandang atas bawah. Sami ke dia ni?
Phat turut melihat gadis yang masih berpakaian sekolah itu bersembunyi di sebalik batang pokok mangga. Dia senyum sendiri. Dari lagak gadis itu, dia pasti gadis itu seorang yang suka kepada aktiviti lasak. Tadi, dari jauh dia nampak gadis itu terhegeh-hegeh cuba memanjat pokok dengan kain sekolah diangkat sehingga ke pinggang. Itulah pertama kali dia melihat seorang perempuan memanjat pokok. Dibiarkan saja gadis itu berbuat demikian tadi. Dia tergelak sendiri di bangku. Matanya melirik pula pada betis putih gadis itu dan separuh dari betis itu ditutupi dengan stokin. Kian biru sekolah itu sudah terangkat separuh. Dia senyum.
Dayah mula gelisah. Dia melihat lelaki muda itu tidak mengalih matanya melihat ke bawah. Dia cuba mencari apa yang dilihat oleh lelaki muda tadi. Ya Allah! Dayah tepuk dahi. Pantas saja dia buka kilasan kainnya dan dilepaskan ke bawah. Lengan baju yang disingsing tadi segera dilurutkan. Dia menelan liur.
“Sawadikaa..” Phat menyusun sepuluh jarinya sambil tunduk hormat.
Dayah tergamam. Bahasa apa dia ni cakap?? Tergaru-garu kepalanya mendengar kata-kata dari lelaki muda itu.Perlahan dia keluar dari belakang pokok dan berdiri di depan sami muda itu. Dia perhatikan sami muda itu yang masih tersenyum kepadanya.
“Hmm..macam sebaya je dengan aku..dah jadi sami dia ni??” Dayah berfikir sendiri.
“Sawadikaa..." Phat senyum lagi.
Dayah masih diam di situ. Nak menjawab, sepatah haram dia tidak tahu bahasa yang digunakan oleh sami muda itu.
"Sa...sawa..sawadika tu apa?" Dayah sengih.
Phat senyum lagi. "Selamat datang..lebih kurang itu maksudnya."
Dayah senyum sengih. Pekat sungguh loghat Kelantan sami muda itu. Nasib baik dia sudah mula belajar dan faham apa yang dituturkan oleh orang di situ. Dia pandang lagi sami muda di depannya. Kulit sawo matang, tinggi, senyuman manis dan ada tahi lalat di atas bibir sebelah kanan. Wajah itu ditenung lama. Seakan pernah dia lihat wajah seperti itu. Dia mula berfikir...siapa..siapa..siapa..
"Err...awak nak cari apa?" Phat mula bertanya bila melihat gadis itu asyik merenungnya dari tadi. Mengelamun agaknya.
"Hah!! Saya dah tahu!! Remy Ishak!!" Terpacul nama pelakon drama dari mulut Dayah. Luas matanya dengan bibir tersenyum lebar.
Phat terkejut. "Siapa Remy Ishak?"
Dayah terdiam. Dia luku kepalanya sendiri. Tidak sedar dia asyik memikirkan dan cuba meneka rupa paras sami muda tadi seakan sama dengan pelakon itu. "Apa hal la aku sebut nama pelakon tu pulak..aish!"
"Err...er..Remy Ishak tu..pelakon drama.." Dayah tunduk malu. Tu la, duk fikir sangat siapa siapa..
Phat senyum lagi. Gadis itu dilihat semakin kalut. Mula-mula termenung, merenung, lepas itu tiba-tiba sebut nama Remy Ishak. Dia sengih sendiri. Cukup terhibur sebenarnya dengan gelagat gadis itu tadi.
"Awak datang sini nak cari apa?" Phat tanya lagi. Dia sudah tahu niat gadis itu. Jelas tadi dia melihat gadis itu panjat pokok mangga. Tentulah buah mangga yang dicari.
“Err…saya nak ambilbuah tu..boleh?” Tergagap-gagap Dayah menjawab sambil menuding ke arah satu pokok yang lebat mengeluarkan buah yang dia cuba panjat tadi.
“Ooo..buah pauh tu...” Phat pandang buah yang terjuntai di dahan pokok. Kelihatan dahan pokok sudah melayut terjuntai ke bawah, berat dengan buah yang lebat.
Pauh?? Dayah pandang lagi sami muda itu dengan riak pelik. "Err....pauh tu apa?"
"Buah la." Phat pula terkial-kial hendak menjelaskan maksud buah mangga.
Dayah mengetap bibir. Memanglah aku tahu itu buah! Sekolah ke tak sekolah mamat ni?? Dirinya mula berlagak poyo.
"Mangga kut.." Dayah pandang ke atas pokok mangga. Kalau itu mangga, maknanya pauh itu pun mangga lah. Dia pandang pula sami muda itu yang sudah terkebil-kebil.
"Oh..ya ke? Orang sini panggil buah pauh." Phat mula faham.
"Boleh ke saya ambil sikit?" Dayah sudah tidak sabar.
"Dai..dai.." Phat angguk-angguk.
"Hah?? Die?? Awak nak saya mati ke?" Dayah sudah terlopong mendengar kata-kata Phat.
Phat senyum lagi. Dia tidak salahkan gadis itu yang mungkin tidak faham bahasa siam. Tadi pun gadis itu bertanyakan maksud sawadikaa. Dia sebenarnya ingin ketawa tadi sebaik mendengar kata-kata gadis itu.
"Bukan saya nak awak mati. Dai tu..maksudnya boleh..itu bahasa siam." Phat ketawa juga akhirnya. Ternyata gadis itu memang kelam kabut.
Dayah tersengih, malu sendiri. Itulah pertama kali dia mendengar bahasa Siam dituturkan sejak dia berpindah di daerah itu. Sejak keluarganya berpindah ke situ, banyak loghat Kelantan yang dia belajar tapi masih belum fasih. Kini satu lagi bahasa asing mula menjadi minatnya untuk belajar. Dia jeling sami muda itu yang sudah ketawakannya. Nasiblah kau Dayah...
"Nak ke? Buah tu muda lagi..belum masak." Phat tanya lagi.
“Tak apa..saya sukamakan yang muda!” Dayah sengih, cuba bersikap selamba. Tadi dia sudah terkantoi.
Phat mula mengambil galah panjang yang terletak di hujung rumahnya yang disandarkan di tepi tiang rumah. Dia kemudian kembali semula ke tempat gadis itu yang masih berdiri di bawah pokok mangga yang berbuah lebat. Dia segera menjolok buah yang terjuntai di dahan.
Buk! Buk! Buk!
Berterabur buah mangga jatuh ke atas pasir putih. Dayah sudah teruja. Dia segera mengutip satu persatu. Tidak susah untuk mencari buah yang jatuh kerana kawasan di sekitar pokok itu bersih. Tiada rumput. Hanya pasir putih yang landai. Dia senyum penuh makna.
“Cukup ke?”Phat pandang Dayah yang beria mengutip buah yang jatuh.
Dayah mengangguk.“Cukup doh ni! Terima kasih ya!”
“Awak ni bukan orang sini ke?”Phat sandarkan galah panjang tadi di batang pokok mangga. Pelat mendengar gadis bercakap loghat Kelantan.
Dayah terasa malu bila sami muda itu perasan lidah pelatnya yang cuba bercakap loghat Kelantan. Dia sambung mengutip buah mangga yang bertaburan di atas tanah. Melilau matanya mencari sesuatu untuk meletakkan buah pauh yang telah dikutip tadi. Sesekali dia senyum kepada sami muda itu. Dia segera tarik baju kurung dan memasukkan buah pauh.
“Err..siapa nama awak?” Dayah letak semua buah yang dikutip tadi dalam baju yang dibuat membentuk seperti sebuah bakul.
“Saya Phat!Awak?”
“Saya Nur Hidayah..panggil Dayah.” Dayah senyum.
Phat mula mencari beg plastik bila melihat Dayah menggunakan hujung baju sekolahnya untuk menampung buah tadi. Habis baju kurung sekolah yang berwarna putih terkena getah buah pauh.
“Terima kasih!” Dayah senyum lagi.
Sempat dia mengucapkan terima kasih kepada sami muda itu sebelum pulang ke rumah yang tidak berapa jauh dari situ. Beg plastik yang mengandungi buah pauh tadi disangkut pada pemegang basikal.
PHAT hanya memandang gadis itu beredar dari situ. Dia senyum melihat gadis itu mengheret basikal. Agaknya tayar basikalnya pancit. Hmm...Nur Hidayah..cantik nama tu secantik orangnya. Phat menghela nafas. Dia kemudian menyambung menyapu daun-daun yang gugur bersama buah tadi. Daun-daun itu dibakar.
Last edited by Ipo on 2-11-2014 06:24 PM
|