Sambung lagi....
MALAM itu, aku memberanikan diri ke rumah Wak Leman. Dengan lampu suluh kecil, aku menyuluh jalan yang gelap menuju ke arah rumahnya. Dari jauh aku lihat, rumah Wak Leman terang dengan cahaya lampu gasolin. Aku mesti buat perhitungan. Tiba di laman rumah Wak Leman, aku masih tercegat kaku di situ. Masih memikirkan apa yang perlu aku lakukan. Tiba-tiba pintu rumah berkeriuk. Terbuka perlahan. Cik Leha dengan kebaya merah tersenyum manis di muka pintu. Aku terkedu. Senyumannya sungguh memukau. Berkali-kali aku genyeh mata. Pipi aku tampar kuat.
“Wak ada?” Aku mula bersuara.
Cik Leha masih senyum. “Ada. Masuklah!”
Aku melangkah perlahan masuk ke rumah. Ruang tamu rumah itu masih seperti dua bulan yang lalu. Tiada satu pun berubah. Aku masih berdiri di muka pintu sementara Cik Leha memanggil suaminya.
“Ada apa Samdol?”
“Apa yang Wak telah buat pada kawan saya Mat?” Aku tidak menjawab soalan Wak Leman sebaliknya aku pula yang menyoal.
“Kalau ya pun duduklah dulu. Leha! Buatkan air dan hidangkan pulut kuning pada abang Samdol ni!” Wak Leman melaung dari ruang tamu. Cik Leha sudah ke dapur menyediakan kopi panas.
Pulut kuning lagi? Biar betul! Aku memerhati sekeliling. Mana tahu ada benda pelik dalam rumah itu yang boleh dikaitkan dengan kematian Mat Kepoh. Nyata tiada apa-apa pun yang pelik. Semuanya seperti biasa.
“Malam tu, apa yang Wak telah buat pada Mat?” Sekali lagi aku menyoal. Tidak puas hati dengan tindakan Wak Leman yang tidak mengendahkan pertanyaan aku tadi.
“Jemputlah minum dulu. Ni pulut kuning yang Leha buat. Sedap. Rasalah!” Wak Leman menghulurkan sepiring pulut yang dikepal bulat-bulat kepada aku sebaik sahaja Cik Leha keluar dari dapur membawa dulang berisi pulut dan air kopi.
“Wak jangan nak naikkan darah saya! Wak yang bunuh Mat!!” Darah aku mula menggelegak. Tangan aku genggam kuat.
“Abang…suami Leha tak bersalah. Sebenarnya Leha yang bersalah. Malam tu, Mat datang. Dia merayu pada Leha agar cintanya dibalas dan jadikan dia suami Leha. Leha serba salah. Lalu dia…” Kata-kata Cik leha terhenti di situ. Dia menjeling pada Wak Leman di sebelah.
“Dia apa??” Aku mendesak.
“Samdol..Mat cuba buat benda tak baik pada Leha. Dia cuba ambil kesempatan pada Leha yang sakit. Masa tu Wak tak ada di rumah mencari ubat untuk Leha. Penyakit Leha susah diubatkan kalau dah sakit. Nasib baik Wak sempat sampai rumah.” Wak Leman berkata sambil menundukkan wajah.
“Habis? Macam mana dia boleh mati?” Aku semakin keliru.
“Entahlah! Wak tak buat apa-apa pun. Lepas Wak marahkan dia, dia terus pulang ke rumah.” Wak Leman pandang aku dengan riak bersahaja.
Aku semakin bingung. Jalan penyelesaian masih belum jumpa. Kematian Mat Kepoh seperti misteri. Aku mula minta diri untuk pulang tetapi dihalang oleh Cik Leha. Aku mula tergamam bila Cik Leha tiba-tiba memeluk aku dengan kuat sambil menangis.
“Err..apa yang Cik Leha buat ni?” Aku tolak Cik Leha dengan kuat. Terkejut dengan tindakannya.
“Abang…Leha cintakan abang.” Cik Leha ingin memeluk aku lagi tapi aku mengelak.
“Samdol..Leha asyik meracau teringatkan kamu. Penyakitnya belum sembuh betul lagi. Kamu lihat, wajahnya mula ceria bila kamu datang. Bermalamlah di sini. Untuk malam ni je. Sudah puas Wak cari ubat.” Wak Leman mula merayu.
Aku semakin tercengang. Biar betul!! Takkan semudah itu Wak membenarkan isterinya mencintai orang lain. Dan takkan semudah itu Wak Leman mengikut kehendak isterinya. Ini sudah gila namanya!!!
“Tapi..saya tak pernah cintakan Cik Leha. Dia isteri Wak!” Aku pandang Cik Leha yang masih merenung ke arah aku.
“Abang! Sampai hati abang cakap macam tu! Leha tahu abang pun cintakan Lehakan?” Cik Leha mula meraung.
Ah! Kalut! Bingung! Pening! Semuanya berserabut! Drama apakah yang sedang aku berlakon ni??
“Maaf! Saya nak minta diri dulu!” Aku segera melangkah keluar dari rumah Wak Leman. Sebaik turun dari rumah, aku terhidu bau hanyir yang kuat. Aku berpaling ke arah bawah rumah. Beberapa ekor ayam hutan sudah bergelimpangan mati di situ. Baldi yang diletak di tepi tangga dipenuhi dengan darah. Aku terus menutup hidung. Bau hanyir darah begitu kuat.
“Samdol!!! Kau telah mengkhianati permintaan Leha!!” Wak Leman menjerit sambil bercekak pinggang. Wajahnya bertukar bengis.
“Saya masih waras Wak!! Cik Leha isteri Wak!! Apa Wak tak takut Tuhan?” Aku menoleh seraya berkata.
“Tuhan? Hahahaha!!!”
Aku terkejut. Wak Leman sudah seperti orang gila. Rasanya aku juga sudah mula nak jadi gila dengan semua kejadian ini.
“Sebenarnya Leha tu…”
“Leha apa??” Aku mengherdik Wak Leman.
Belum sempat Wak Leman bersuara, satu suara nyaring mula kedengaran di atas bumbung. Aku mendongak. Cik Leha sudah terpacak di situ. Aku menggigil ketakutan.
“Sekarang tak perlu aku bagi tahu siapa Leha! Kau sendiri sudah nampak!” Wak Leman ketawa lagi. Kali ini semakin nyaring.
“Ja..jadi..Cik Leha tu…” Aku pandang pula Wak Leman.
“Ya!! Aku kehabisan makanan. Dia nakkan darah manusia tapi aku terpaksa ambil darah ayam hutan. Kebetulan Mat datang, aku suruh Leha hisap darah Mat!” Wak Leman mula buka rahsia.
“Apa???” Aku terduduk. Lampu suluh di tangan jatuh tergolek atas tanah. Cik Leha masih bertenggek atas bumbung. Rambutnya sudah bertukar menjadi serabai dan menggerbang. Tika itu, aku rasa kaki aku seperti dihempap batu. Tidak bergerak.
“Sekarang giliran kau pula!!” Wak Leman mula menyeru Cik Leha. Dia sudah tahu dari dulu, darah orang muda akan membuatkan Cik Leha sentiasa kelihatan muda dan cantik walaupun sebenarnya dia sudah lama meninggal dunia.
Aku mula tersedar bila mendengar suara azan dari masjid berhampiran. Sempat aku lihat jam tangan. Waktu Isyak sudah masuk. Cik Leha sudah terbang meninggalkan rumah Wak Leman. Aku pula segera berlari dari situ sambil mulut kumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
Bersambung...
|