View: 1611|Reply: 0
|
Adakah selamat untuk mengambil makanan gerai semasa saya hamil?
[Copy link]
|
|
Dijawab oleh Pasukan BabyCenter
Ini bergantung kepada apa makanan yang anda mahu dan tempat anda akan bersantap. Semasa anda hamil, sistem imun anda tidak berfungsi baik seperti biasa, jadi anda lebih cenderung mendapat keracunan makanan. Ini bermakna anda perlu berjaga-jaga tentang tahap kebersihan, dan cara-cara makanan dan minuman disediakan.
Di beberapa pusat gerai makanan, gerai mamak dan kereta tolak penjaja tidak diperiksa untuk mengawal kebersihan dan keselamatan. Kebanyakan orang yang mengendalikannya tidak dilatih untuk mematuhi piawai keselamatan atau tidak mengendahkan sebab kurang penguatkuasaan.
Oleh itu, jika sebelum hamil anda suka menurut hati untuk makan rojak tanpa memikir panjang bagaimana ramuan mentah itu disediakan, ingatlah bahawa keadaan sudah berubah sebab anda sekarang hamil. Baca dengan lebih lanjut tanda-tanda bahaya yang hendak diawasi apabila makan luar atau membawa balik makanan dibungkus.
Di sebaliknya, tiada siapapun yang boleh menyalahkan anda jika mengindamkan makanan-makanan itu! Malaysia terkenal dengan makanan tepi jalan, dan hanya sebilangan kecil orang Malaysia saja yang mencapai peringkat dewasa tanpa sukakan gerai tertentu untuk ais kacang atau burger Ramli. Di negara kita, makan luar merupakan tabiat dan ritual sosial.
Namun, kebanyakan makanan yang terdapat di gerai tepi jalan boleh disediakan di rumah. Jika anda sendiri menyediakan "makanan tepi jalan", anda boleh mengolahkannya selaras dengan selera dan keperluan diet semasa anda. Contohnya, anda boleh menggunakan garam dan gula yang kurang dan ramuan yang lebih kaya nutrisi. Jika anda menyelongkar rak-rak pasar raya tempatan dengan rapi anda akan berjumpa makanan yang sedia untuk dimasak, dibungkus dalam paket bebas udara seperti pelbagai kari kegemaran, sos dan adonan yang boleh disediakan di rumah. Apa yang anda perlukan ialah sedikit pengetahuan. Ada banyak blog dan buku resipi yang memberikan maklumat tentang bagaimana menyediakan makanan kegemaran tempatan. Rasanya tak akan rasa sama, tetapi ini adalah langkah sementara sahaja. Anda juga perlu berhati-hati sepanjang beberapa bulan anda hamil.
Jika anda tidak boleh melepaskan makanan gerai, ingatlah tip-tip berikut:
Cari makanan yang panas, tak mentah seperti kway teow goreng atau mi goreng mamak yang disediakan hanya selepas diberi ode.
Elakkan hidangan yang mempunyai ramuan mentah. Buah dan sayur mentah sering menyebabkan keracunan makanan dan infeksi bawaan air, seperti hepatitis dan tifoid. Jadi, makanlah rojak buah dan popia yang disediakan di rumah. Sebenarnya, ia senang disediakan.
Elakkan apa saja yang ada sos atau bahan perasa yang dibiarkan di luar peti ais sepanjang hari. Begitu juga dengan snek yang telah dimasak terdahulu seperti goreng pisang atau wade yang selalunya diletak di kaunter yang terdedah. Memang susah untuk menentukan sudah berapa lama makanan itu ditinggalkan di situ, dan dihinggap lalat. Mau ta mau, ia sudahpun terdedah kepada asap diesel, asbut, jerebu atau asap rokok.
Berhati-hatilah dengan minuman ais (sirap bandung, air tebu atau kacang soya, contohnya) yang dijual penjaja di tepi jalan. Bukan saja ais yang digunakan untuk menyejukkan minuman itu, tetapi mesin mengisar tebu itupun mungkin merupakan sumber infeksi. Sebenarnya, variasi minuman ini dalam botol dan tin senang diperolehi secara meluas di pasar raya dan kedai runcit.
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Wanita & Lelaki
|