CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5503|Reply: 10

[Updated Post 11#] Cerpen - Ziyad

[Copy link]
Post time 17-10-2013 02:04 PM | Show all posts |Read mode
Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kerana sudi menjenguk benang penulisan kreatif hasil tangan seorang NoObie ni. Benang ni menghimpunkan rangkaian cerpen pelbagai genre yang akan ditambah daripada masa ke masa. Jemputlah baca sambil makan jemput-jemput buat sendiri di rumah. Sebarang komen penambahbaikan sangat dialu-alukan dan saya hargai. Mekaceh.


CERPEN 1 : POST 1# - ALIYA
CERPEN 2 : POST 3# - CALON ISTERI ABAH
CERPEN 3 : POST 11# - ZIYAD





************************************************************************




CERPEN 1 : ALIYA



"Abang, terima kasih sebab hadiahkan Aliya handphone ni. Kesian kat abang kena keluar duit beli hadiah mahal."



              “Alah,beli untuk isteri tak apalah. Sikit je tu kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan Al melahirkan Suraya,” balas Adha sambil meramas tangan isterinya.Aliya tersenyum sipu sebelum menundukkan wajah. Hatinya berdebar tiba-tiba tatkala dilayan bagai permaisuri malam itu. Bukan selalu suaminya membawa dia ke restoran mewah dan bersikap romantik, maka apabila Adha menjadi lebih gentleman daripada biasa, dia terasa lain.

                Adha yang mengerti perubahan riak Aliya cuma tersenyum. Alhamdulillah, bulan ini dia diberikan bonus, dapatlah dia menyambut ulangtahun kelahiran isterinya yang ke-28. Sebelumnya, dia sering berasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga dek kekangan kerja yang tidak pernah selesai. Terakhir kali mereka bertiga makan angin adalah sekitar sepuluh bulan lalu. Adha faham,tentu isterinya yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa itu adakalanya tertekan kerana hanya duduk di rumah menjaga anak tunggal mereka. Sedangkan burung di sangkar juga ingin terbang, apatah lagi manusia. Jadi,dia berharap dengan pemberian telefon pintar jenama Samsung itu dapatlah mengurangkan beban perasaaan Aliya sementara Adha sedang bekerja keras untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka.


             “Kita ambil Suraya esoklah sayang. Malam ni kita spend masa berdua je. Dah lama kita tak berbual sebelum tidur macam dulu kan?”cadang Adha. Aliya senyum mengangguk. Teringat kenangan manis semasa masih berdua. Setiap malam pasti mereka akan bercerita perihal diri masing-masing sehinggalah salah seorang tertidur. Rutin itu akhirnya terhenti selepas Suraya lahir ke dunia.


***DUA
              “La,akak tak install aplikasi Wechat ke? Membazir je ada smartphone tapi tak reti guna. Mari sini Ucu install. Nanti kita boleh chat,jimat sikit kredit akak sebab Wechat ni percuma,” ngomel adik bongsu Aliya, Sakinah sambil mengeksplorasi telefon bimbit tersebut.


               “Akak minta tolong potong sayur ni, bukan suruh godek telefon tu,” balas Aliya pula namun tidak dipedulikan Sakinah. Malas hendak berleter,  dia menghabiskan kerja-kerja dapur sendiri. Menu hari itu ialah Ikan Kembong Goreng, Bayam Tumis Air, Sambal Belacan dan Ikan Masin Bulu Ayam. Sebentar lagi Adha akan pulang untuk menikmati makan tengah hari bersama, maka Aliya perlu menyiapkan semua dengan segera.


                Usai solat Zohor, Adha bergegas ke tempat kerja manakala Sakinah terperap sahaja di dalam bilik. Dah kenyang apa lagi, tidurlah anak dara seorang tu. Suraya juga sedang lena di dalam buaian. Lega hati Aliya kerana dapat melepaskan lelah sebentar di sofa panjang. Kipas yang berpusing laju di hari yang terik itu begitu mengasyikkan sehingga dia juga berasa mengantuk. Bimbang tertidur, Aliya cuba megaktifkan otak dengan bermain game telefon.  Tiba-tiba hatinya tergerak untuk meneroka aplikasi Wechat yang baru dimuatturun sebelumnya.


                Oh, rupanya ia tidaklah sesusah mana. Penggunaannya lebih kurang sama dengan aplikasi Yahoo Messenger cuma lebih ringkas.Ketika sibuk menambah kenalan Wechat, Aliya mendapat idea untuk menambah Hanif sebagai kenalan.


               “Takpe kan, saja-saja je,” hati Aliya cuba membenarkan perbuatan itu. Entah kenapa diaterfikir untuk menambah bekas teman lelakinya dalam senarai. Terbit juga rasa berdosa pada Adha namun cepat ditepis kuat-kuat oleh hatinya sambil memberi alasan tipikal, tidak ada apa-apa yang buruk dengan perbuatan itu.


                Malamnya ketika baru menidurkan Suraya, Aliya dikejutkan dengan kiriman mesej Wechat daripada Hanif. Tak disangka Hanif masih mengingatinya. Dalam rasa terkejut itu timbul sekelumit rasa berdebar. Dia terfikirakan kebarangkalian reaksi Hanif tatkala mendapat request tersebut dan dalam masa yang sama dia juga terlalu teruja untuk mengetahui perkembangan Hanif sekarang. Adakah Hanif lebih bahagia daripadanya? Adakah dia sudah berkahwin? Agak-agak isterinya lebih cantik daripada Aliya atau tidak? Pelbagai persoalan berlayar di minda. Dia sedar dia tidak patut mempersoalkan semua itu,namun Aliya malas untuk menepisnya atas alasan yang sama, tiada apa-apa yang buruk dengan perbuatannya.


***TIGA
                Hujung minggu yang bakal melabuhkan tirai dirasakan cukup sengsara bagi Adha. Ia tidak seperti dahulu apabila masa lapangnya dihabiskan bersama Aliya dan Suraya di depan televisyen atau di taman. Kini Aliya begitu sibuk dengan dunianya sendiri.Tidak dinafikan komitmen isterinya sebagai pengurus rumah tangga masih mantap,namun komitmen Aliya sebagai isteri yang sepatutnya menjadi penenang hati suami nampaknya makin merundum. Interaksi emosi antara mereka semakin jarang. Aliya tidak lagi suka bercerita perihal rumah tangga, sebaliknya masa yang terluang dihabiskan bersama telefon kesayangan. Sebagai lelaki, Adha tidaklah begitu gemar berbual namun dia cukup suka melihat riak wajah isteri kesayangan ketika isterinya sedang rancak bercerita. Wajah Aliya yang ceria ketika mengabarkan mengenai keletah anak tunggal mereka adalah antara faktor yang menenangkan hati Adha setelah seharian penat bekerja.Namun itu semua semakin pudar.


                Kadang-kala terdetik juga buruk sangka apabila melihat Aliya terlalu ralit dengan telefon bimbit namun cepat-cepat dia beristighfar. Dia tidak mahu bersangka-sangkakerana bimbang sikapnya itu akan mencemarkan ikatan rumah tangga ini. Susah payah dia cuba menakluki hati Aliya empat tahun dahulu, lalu tidak mungkinuntuknya membiarkan persangkaan buruk merosakkan kebahagiaan yang cuba dibina.


                Demikian, perubahan sikap Aliya begitu ketara sehingga menyebabkan tekanan perasaan padaAdha. Prestasi kerjanya turut terjejas sedikit. Oleh itu, Adha pasti dia perlu berbincang hati ke hati dengan Aliya untuk menyelesaikan kemelut ini. Kemungkinan isterinya menghadapi masalah yang tidak diceritakan lalu Adhalah yang mesti memulakan langkah bertanya Aliya.


***TIGA
                Hujung minggu itu Adha memberitahu Aliya bahawa dia akan bertugas di luar daerah selama tiga hari dua malam. Dalam diam sebenarnya Adha sudah merancang untuk melakukan kejutan buat isteri tercinta. Dia sudah menempah tiket dan pakej bercuti ke Kapalai, Sabah selama lima hari dan pukul 11 pagi nanti, dia akan pulangke rumah untuk memberi kejutan tersebut.


                Tepat 10 pagi, dia ke Shah Alam untuk mengambil adik perempuannya yang telah ditempah khas bagi menjaga Suraya sepanjang pemergian mereka suami isteri. Sengaja Adha membawa Liza terus, agar jika Aliya memberi alasan bimbang hendak meninggalkan Suraya, Adha ada adiknya untuk back up.


                Setibanya di kawasan perumahan, dia memberhentikan kereta jauh sedikit supaya tiada sesiapa menyedari kehadiran mereka berdua. Semuanya mesti sempurna seperti yang dirancang, fikirnya. Sudah terbayang betapa terkejutnya Aliya sebentar lagi apabila mendapat kejutan begini. Usai membuka tali pinggang dan hendak keluar dari kereta, tiba-tiba Adha dan Liza terlihat peristiwa aneh. Di kejauhan mereka ternampak seorang lelaki keluar dari rumah kelamin dia dan Aliya diiringi oleh isterinya itu. Awalnya semua kelihatan normal namun sebaik tiba di pagar rumah, Aliya dilihat mencium tangan lelaki tersebut. Jantung Adha berdegup kencang. Adakah persangkaannya kini benar-benar terjadi?


               “Alang…”Liza mencuit bahunya namun Adha hanya membatu. Dia seperti mengenali lelaki itu tetapi tidak ingat di mana. Cuma yang pasti, lelaki itu bukan ahli keluarga mahupun kerabatnya, jadi kenapa mereka berpegangan tangan? Dan kenapa Aliya membiarkan seorang lelaki asing masuk ke rumah mereka tanpa meminta izinnya dahulu?


                Muka Adha terasa panas dek darah yang menyerbu. Tak disangka, Aliya lebih bijak dengan memberi kejutan terlebih dahulu.


                Wahai isteriku, apakah kau tahu beban dosamu tika ini?


               “Itu bekas teman lelaki Kak Lang,” kata Liza tiba-tiba. Adha terkulat-kulat.


              “Kan Ija sekuliah dengan Kak Lang dulu. Lelaki tu pun sama. Nama dia Hanif, abang ingatkan?” katanya lagi tersekat-sekat. Pasti Liza juga sedang takut dengan situasi itu. Risau Adha mengamuk di tempat awam barangkali. Namun Adha tidak selemah itu. Dia perlu bertenang dan merancang tindakan seterusnya dengan rasional.


                “Baru teringat…” balas Adha ringkas.


               “Ija, Alang nak minta tolong ni. Malam nanti bawa mama dan abah ke rumah emak Kak Lang. Alang ada hal nak dibincangkan.”


              “Err, Alang jangan buat yang bukan-bukan ya. Selesaikan cara baik,” balas Liza, masih takut-takut.


                “Tak, Alang tahulah nak buat apa. Liza cuma ikut je cakap Alang,” balas Adha kembali.Sejujurnya dia tidak tahu apakah kaedah ini yang terbaik. Dia hanya mengikut kata hati sahaja. Tak disangka sikap buruk Aliya masih melekat di badannya. Benarlah nasihat sahabat sebiliknya di UM dahulu, gagak dimandikan tujuh kali sehari pun, takkan putih bulunya. Orang yang jahat, jika diberi kesenangan hidup, bila ada kesempatan pasti dia akan melakukan kejahatan lagi. Sebelum berkahwin Aliya pernah mencuranginya tiga kali namun Adha tetap memaafkan atas dasar kasih sayang, namun kali ini, Aliya benar-benar telah melampaui batas!



***EMPAT
Aliya tergesa-gesa bersiap. Petang tadi Ummi menelefon,menyuruh dia datang ke rumah malam ini. Katanya ada hal penting. Hati Aliya resah memikirkan hal penting itu. Walid sakitkah? Kenapa Ummi tak mahu memberitahu melalui telefon sahaja?


                Sedang dia ralit menyarungkan pakaian, telefon bimbit berbunyi. Nama Hanif tertera diskrin. Aliya mahu mengangkat namun dek kesuntukan masa, dia hanya membiarkanderingan itu berlalu. Namun setelah kali keempat Hanif menghubunginya, Aliya terpaksa jua mengangkat untuk memberitahu dia sedang mengejar masa. Kalau dibiarkan, tentu sampai tengah malam pun Hanif akan mendail.


              “Kenapa Al tak angkat?” tanya Hanif di hujung talian.


               “Al nak cepat ni. Nak pergi rumah Walid, ada hal. Malam nanti Al telefon ya.”


              “Em,yelah. Jangan lupa call tau. I love you,”


             “I love you too,” balas Aliya lalu mematikan talian. Tiada langsung rasa bersalah dihati apabila melontarkan ayat keramat itu pada lelaki bukan suaminya. Jika empat bulan lalu masih ada keimanan pada dirinya, namun kini, Aliya bagai lupa pada status sebagai isteri. Kenangan dan kehangatan cinta masa silam membuatkan fikirannya tertumpu pada Hanif seorang.


               
***LIMA
                Aliya tiba 30 minit kemudian. Sejurus melangkah masuk, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bukan sahaja Ummi dan Walid, namun adik ipar, ibu dan bapa mertuanya turut berada di situ. Dan yang lebih memeranjatkan lagi adalah kelibat Adha yang duduk di salah sebuah sofa. Aliya berasa gundah-gulana namun cuba disembunyikannya. Dia mengambil tempat di sebelah Adha setelah mencium tangan suaminya itu. Adha membalas seperti biasa.


                Melihat tiada perubahan pada sikap luaran Adha, hati Aliya lega sedikit. Tentu ini cuma perjumpaan biasa. Agaknya keluarga mertuanya rindu untuk bertemu cucu mereka,sebab itulah Ummi menyuruhnya ke sini malam ini. Tentang Adha, Aliya membuat spekulasi sendiri bahawa tugasannya dibatalkan dan Adha tidak sempat memberitahu Aliya.


              “Ija, ambil Suraya bawa ke bilik,” arah Adha sejurus Aliya duduk. Liza terus mengikuti arahan abangnya itu.


                “Tak sangka mama dan abah ada juga. Kalau Aliya tahu, Aliya datang awal sikit tadi,”selorohnya namun hanya dibalas dengan senyuman. Sepertinya tiada siapa yang berkeinginan untuk berbual. Tiba-tiba,suaminya bangun dan memandang wajah Aliya.



               “Hari ini ketika abang balik untuk jumpa Al, abang nampak ada seorang lelaki keluar dari rumah kita. Liza ada untuk menjadi saksi. Lelaki itu Hanif, bekas kekasih Al masa di UM dulu. Dia bukan mahram Aliya, jadi abang assume Aliya berkhalwat dengan Hanif hari ini dan tentu sekali ia bukan yang kali pertama terjadi kan? Jadi sekarang abang nak Aliya jujur, adakah Aliya ada hubungan sulit dengan Hanif ketika ini? Ketika Aliya masih isteri abang?”


                Terkesima.Terpegun. Tiada kata yang mampu keluar dari mulutnya. Keaibannya telah terbongkar. Tidak semena-mena Aliya bagai tersedar daripada mimpi. Saat itu barulah dia terfikirkan dosa-dosanya selama lima bulan ini serta kedudukannya sebagai isteri.


               “Al...Aliya minta maaf...” hanya itu yang terpacul di bibir. Tiada gunanya dia bersikap defensive. Memang betul pun tuduhan Adha itu.


                “Abang rasa, jawapan tu dah cukup membenarkan tuduhan abang ni. Maka malam ini, di depan mama, abah, ummi dan walid; abang ceraikan Nur Aliya binti Azman dengan talak satu. Kalau sebelum ni abang ambil Aliya dengan cara baik, sekarang abang pulangkan isteri abang dengan cara baik juga,” balas Adha sambil mengalirkan air mata.


                Empat tahun membina mahligai cinta, dalam masa sehari ia musnah sekelip mata. Hanya Allah taa’la sahajalah yang tahu beratnya tekanan dugaan untuk melepaskan isteri yang ditatang selama ini. Namun itulah tindakan yang jauh lebih baik daripada mendapat dosa menjadi suami yang dayus.



Last edited by Raizel on 28-10-2013 08:47 PM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-10-2013 03:29 PM | Show all posts
wah.... keep it up TT. menarik cerita ni.... kalau TT edit balik, kemaskan jarak antara satu perkataan dengan perkataan yang lain mesti lancar lagi pembacaan ahli yang lain. semoga sukses TT
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-10-2013 04:56 PM | Show all posts
CERPEN 2 : CALON ISTERI ABAH



“Abah ingat abah nak kahwin kali kedua.”

                Hampir tersembur nasi di mulutku mendengar ayat keramat itu.Tak ada angin tak ada ribut, kenapa abahku yang sudah senja ini hendak kahwin semula? Aku tidak membalas, sekadar menguis-uis nasi sementara menanti ayat seterusnya.

               “Ina dengar tak abah cakap ni?” Berkerut wajahnya. Aduhai, abahku sayang. Dah tentulah Ina dengar, tapi apa yang patut Ina balas pun?

               “Angah dengan adik dah tahu ke?” Aku cuba mengelak daripada memberikan pendapat.

           “Belum,” balasnya spontan. Oh, patutlah abah cuma mengajak aku sahaja untuk makan malam di rumah. Rupanya ada udang di sebalik batu. Sebenarnya bagus juga abah beritahu aku seorang keinginannya itu. Kalau angah dan adik ada sekali, tentu berasap telinga mereka mendengar permintaan abah. Mereka muda lagi, pasti mereka beremosi bila tahu kehendak abah, seolah-olah abah menduakan ibu.

               “Kenapa senyap? Ina marah abah cakap macam tu?” Wajah abah semakin cemas. Bimbang anak emasnya ini terasa hati mungkin. Iyalah, di antara adik-beradik, aku yang paling dekat dengan arwah ibu, yang setia menjaga arwah ibu ketika beliau berperang dengan kanser usus 3 tahun lepas dan aku juga yang menolong ibu melafaz kalimah syahadah sebelum beliau pergi selamanya. Tetapi untuk aku marah dengan permintaan abah, perlukah?

               Tidak perlu sebab aku tahu, setua mana usianya, abah tetap seorang lelaki yang memerlukan seorang wanita sebagai pendamping. Cuma yang menghairankan aku, sebelum ini tidak nampak langsung tanda-tanda abah sunyi, membuatkan aku tidak terfikir abah memerlukan pengganti ibu. Setiap hari Ahad, aku akan singgah ke rumah pusaka ini untuk memasak dan makan bersama abah. Angah dah adik juga selalunya pulang. Bila tiba di depan pagar, selalu kulihat abah menyiram pokok atau membasuh kereta. Tidak pun, bertukang di belakang rumah. Tabiatnya seperti dahulu, tiada langsung kelihatan abah termenung atau mengeluh mengenangkan masa lampau. Lalu pertanyaan abah membuat aku terfikir, adakah aku tersilap mengabaikan perasaan abah selama ini?

               “Tak abah, Ina okay je. Cuma, abah dah ada calon ke?" Sengaja kumembiarkan persoalan hati berlayar. Tiada gunanya meminta penjelasan kerana bila abah membuka mulut, itu tandanya beliau sudah membulatkan tekad. Lebih baik aku mengikut arus sahaja.

               “Belum, abah ingat nak suruh Ina carikan. Abah manalah reti pasal ni. Boleh kan?” Balasnya. Lama aku terdiam memikirkan tanggungjawab itu. Nak tolak, pada siapa pula harus kuserahkan tugas ini? Nak terima, bolehkah aku melakukannya? Ah, redah sahajalah!

               “Habis tu abah nak Ina cari ni, abah tak kisah ke jenis macam mana? Janda atau anak dara?”

               “Tak kisahlah janda atau anak dara, asal hatinya baik. Tapi kalau boleh, carilah yang muda sikit, 30 ke 40 tahun,” jawabnya sambil tersengih-sengih. Sengal sungguh abahku ini. Umur sudah 62 tahun namun ada hati hendak berputik muda ya. Kalau dah namanya lelaki itu, memanglah sama pe'elnya. Hendak yang cantik sahaja.

                Keningku berkerut-kerut. Mana hendak dicari calon isteri abah ini? Rangka pergaulanku bukanlah dalam lingkungan mak cik-mak cik. Aku sendiri baru berusia 26 tahun, sudah tentulah rangkaianku terhad kepada rakan sekerja, bekas rakan universiti serta rakan di kejiranan ini. Takkanlah aku nak kenenkan abah dengan sahabat seusia? Ewww, geli tekak aku memikirkannya!

               “Hmm, tengoklah dulu,” seringkas mungkin jawapanku. Tiba-tiba selera makanku mati. Ini semua tentu gara-gara membayangkan abah dan rakan sekolahku berkahwin. Tolonglah, minta dijauhkan!

                “Lagi satu abah nak minta tolong, beritahu angah dengan adik tu. Tapi cakaplah elok-elok ya, jangan sampai bercakar. Dia orang tu kan berangin. Abah malas nak cakap, nanti merajuk pula.”

                Oh, angah dah adik! Terlupa sungguh fasal budak berdua itu. Aduh, satu lagi kena uruskan pula. Mereka itu cepat melatah, masak aku hendak memberitahu nanti. Tapi sekurang-kurangnya hal itu pasti lebih mudah dilaksanakan berbanding misi mencari calon isteri abah. Entah siapalah aku hendak padankan. Pening Mak Jemah hoi!


*** DUA
                Seperti yang kujangka, pada mulanya adik dan angah tidak dapat menerima hakikat ini, lebih-lebih lagi adik bongsuku, Shayna. Habis disemburnya muka aku ini dengan air liur masin serta 10 sebab mengapa abah tidak boleh kahwin baru. Katanya ibu tiri nanti tentu berkehendakkan harta abah semata-mata dan akan berusaha memisahkan hubungan kami dengan abah.

                Tok! Aku mengetuk sedikit ubun-ubunnya.

                “Aduh, sakitlah kepala adik! Apalah Kak Ina ni main ketuk-ketuk orang,” ngomel si gadis lepasan SPM itu.

               “Akak ketuk tu nak betulkan otak kau balik. Kau ni kat matrikulasi tu belajar ke banyak tengok sinetron sampai kene brainwashed? Adik ingat ni zaman Bawang Merah Bawang Putihkah? Kita dah besarlah, tak ada maknanya nak kena buli dengan mak tiri. Akak risau adik je yang buli dia nanti,” panjang lebar aku bersyarah sementara si bujang yang seorang lagi diam sahaja. Diam-diam pun panas juga hatinya itu, aku tahu.

                Sesi pengumuman berita tergempar malam itu berlangsung agak lama di rumah bujangku. Setelah bersoal-jawab, akhirnya adik dan angah akur pada permintaan abah. Di akhirnya aku memujuk, “walaupun abah punya pengganti, ibu tetap wanita yang paling abah cinta. Namun,kita tak boleh menolak kata hati abah, sebab abah juga manusia. Kalau angah dan adik ada perasaan ingin cinta dan dicintai, begitu jugalah abah kan?” Shayna dan Sofi memberi anggukan lemah.



*** TIGA
Hari ini genap dua minggu selepas peristiwa ucapan keramat oleh yang berhormat abahku.  Hari ini juga aku merancang untuk memulakan misi mencari calon isteri abah. Setelah bertafakur di depan laptop selama dua hari menggoogle cara mencari calon isteri, aku bertekad untuk mengaplikasikan langkah pertama iaitu bertanya pada orang terdekat. Siapa agaknya orang terdekat itu ya?

                Hehehe, mangsa pertama aku tak lain sudah tak bukan, mak cik cleaner pejabat. Kenapa aku pilih beliau? Hoi, jangan fikir jauh sangatlah, aku bukan nak padankan mak cik itu dengan abah. Tak sanggup Mak Jemah nak berparang dengan suaminya. Sudahlah pak cik itu guru silat, arwah juga aku dikerjakannya nanti. Aku pilih mak cik itu kerana beliau antara orang tua yang rapat denganku dan kerana dia orang baik-baik. Apalah jauh benar kamu fikir?

              “Cik Mah, sibuk ke tu? Marilah duduk dengan saya kejap,” aku memulakan perbualan. Ketika itu aku sedang minum kopi di pantry manakala beliau sedang memasukkan stok tisu dapur yang baru.  Mendengar pelawaanku, beliau terus melepaskan punggung di kerusi sebelah sebelum aku menghulurkan polisterin berisi kuih karipap dan kuaci.

               “Ni Ina beli kat tepi sekolah tu ke?” tanyanya sejurus menelan suapan pertama.

                “Ha’ah. Mana Cik Mah tahu? Selalu beli situ ke?”

               “Beli juga kadang-kadang. Situ jelah yang jual karipap sedap. Tempat lain susah nak cari,” balasnya pendek. Aku sekadar angguk dan senyum dengan jawapannya. Ingatkan aku seorang sahaja yang fikir karipap mak cik sekolah itu berhantu, rupanya Cik Mah pun sama. Alahai, kalau meniaga makanan ni, tak perlu kedai besar pun. Kalau sedap, mesti laku juga. Aduhai, tiba-tiba teringat pula pada kek coklat arwah ibu. Kesedapannya tiada tandingan. Kalaulah ibu masih ada….

                “Err Cik Mah, saya nak tanya sikit boleh?” aku memulakan misi sambil menyeka air mata yang hampir tumpah. Ini bukan cerpen Korea, maka tak perlu aku berdrama di sini. Cik Mah mengangkat kening memberi isyarat aku meneruskan pertanyaan.

                “Cik Mah ada kenal anak dara atau janda yang tengah cari calon suami tak? Saya ingat nak kenalkan dengan seseoranglah,” kataku tanpa berselindung. Entah kenapa situasi ini kelihatan janggal pula. Aku cuba melontarkan senyuman untuk mengurangkan bahang kejanggalan ini. Tolonglah Ina, bukan kau yang nak kahwin, kenapa menggeletis sangat ni?

                Lama pula Cik Mah senyap. Dia dengarkah soalanku tadi? Atau mungkin sudah tenggelam pada kesedapan karipap hantu? Mungkin aku perlu mengulanginya. Namun belum sempat aku mengeluarkan suara, Cik Mah terlebih dahulu mengambil laluan. “Cik Mah ada kenal sorang ni, anak dara tua. Tapi umurnya 45 tahunlah. Kerja cikgu kat MRSM, nak ke kawan tu dipadankan dengan dia?”

                45 tahun? Ah, persetankanlah had umur tu. Kalau cantik, mesti abah suka juga kan?

               “Siapa nama dia, Cik? Boleh Cik Mah arrange perjumpaan tak untuk kami sebab kalau boleh orang sini nak cepatkan. Kalau dah jumpa dan rasa sesuai, boleh teruskan.”

              “Boleh aje mak cik tanya dia nanti. Dia pun teringin sangat dah nak berlaki, bosan sorang-sorang. Acik panggil dia Cikgu Salmi. Yang sebelah sana tu siapa? Umurnya berapa? Kerja apa? Senang sikit kalau Ina beritahu, boleh Acik khabarkan terus,” cadang Cik Mah. Aku teragak-agak hendak memberitahu gerangan lelakinya, bimbang Cik Mah fikir abahku kemaruk berbini. Tetapi jika tidak berterus-terang daripada sekarang, tentu susah di kemudian hari. Jadi lebih baik aku jujur sahaja.

               “Namanya Zaidi, pesara kerajaan. Umur 64, duda kematian isteri. Anak ada 3 orang dan salah seorangnya…errr..saya,” aku berkata perlahan. Serentak itu, pecah ketawa mak cik di depan ini. Tak disangkanya yang hendak nikah itu ayahku. Patutlah dari mula tadi dilihatnya aku kelihatan gelisah semacam, rupanya hendak mencari calon untuk bapa sendiri.

               “Acik tak kisah pun, Cuma Acik tergelak fikir apehallah anak dara ni takut semacam dengan acik hari ni? Ingatkan ada buat salah tadi,” kata Cik Mah mengiringi hilai tawanya. Aku hanya mampu senyum kambing, tak tahu hendak balas apa. Lama juga Cik Mah gelak. Tak beragak pula tu. Nasib baik hanya kami berdua di pantry. Alahai…

                Hampir sejam juga kami berbual sampai terlebih waktu rehat. Nampaknya hari itu aku perlu pulang lewat bagi menggantikan masa. Tak apalah, yang penting misi pertama sudah separuh jalan. Alhamdulillah. Bila Cik Mah dah bagi green light, bolehlah kita teruskan separuh misi ini. Yahoo!



***EMPAT
“Abah rasa tak berkenanlah dengan Cik Sal tu,” kata abah di suatu pagi ketika kami sama-sama menyiram bunga.


            Hairan,jumpanya sudah 3 kali ingatkan menjadi. Kenapa abah tiba-tiba tidak mahu pula? Rupa Cikgu Salmi boleh tahan manis biarpun bentuk badannya tidak seperti kerengga. Majoriti wanita 40-an begitulah standard bentuk tubuh. Hendak kata tidak baik, pakai tudung dan emas di tangannya tidak hingga mencecah siku. Bahasanya pun sopan sahaja. Apa pula kriteria beliau yang tidak kena di mata abah?


            “Kenapa pulak abah tak mahu? Ina tengok abah macam okay je dengan Cik Sal tu,”


            Abah tidak menjawab sebaliknya terus menyiram bunga. Usai tugasan, beliau masuk melalui pintu dapur dan terus ke meja makan. Alangkan perutku sudah berkeroncong juga, aku hanya mengekori beliau ke dapur untuk menjamah Nasi Lemak.


            Sepanjang menikmati sarapan, kami berdua membatu. Aku tidak tahu apa yang bermain di fikiran abah dan tidak juga mahu bertanya. Barangkali abah sedang memikirkan ayat paling sesuai untuk menerangkan sebab penolakannya. Khayalanku terhenti tatkala abah menyuakan pinggan sebagai isyarat untuk aku menambah nasi.


            “Ina cari orang lainlah,” jawab abah semasa aku menyenduk nasi. Selepas mengajukan pinggannya, aku membalas, “Ina boleh tolong. Tapi abah cakap sendirilah denganCik Sal tu. Ina segan.” Abah bersetuju dengan cadanganku dan sempat menambah supaya aku mencari wanita yang lebih molek.



***LIMA
            Bulan itu bulan yang cukup sibuk memandangkan kewangan syarikat akan diaudit. Maka, kerjaku bertambah dua kali ganda daripada biasa menyebabkan aku terlupa terus pada janji terhadap abah. Ketika keluar makan dengan angah barulah aku teringat kerana angah bertanya. Fikirku si bujang itu tidak ambil peduli langsung hal-hal begini.


            “Abah minta cari yang lain. Akak dah jumpa seorang lagi, suri rumah. Kebetulan, dia tu jaga anak Cik Hela, jiran dua lorong depan,” aku menerang secara ringkas.


            “Oh yang tu ke? Abah tak kisah ke kahwin dengan orang dekat ni kak? Kalau Angah,tak mahulah. Nanti jiran kita kepoh pula. Carilah yang jauh sikit,” balas Sofi. Aku terdiam. Hatiku mengiakan kata-kata angah. Bolehkah abah menghadapi cakap-cakap orang? Kebingitan suasana di Secret Recipe itu melumpuhkan dayaku menyelesaikan masalah, lalu kumemberi solusi mudah sahaja.


            “Biarlah orang nak cakap apa, bukan dia orang yang kahwin dengan abah. Lagipun, dah tiga orang perempuan yang abah tolak, akak penatlah nak carikan yang lain pula.” angah yang tertunduk-tunduk menyuap spageti mengangkat wajah. Dia merautkan kening tanda tidak faham maksudku.


            “Sebenarnya kalau termasuk Mak Cik kantin tu, dah tiga orang. Mak Cik Salmi dengan Mak Cik Latifah, yang meniaga kat pasar malam tu.”


            “Iye ke kak? Banyaknya abah tolak? Tak sangka memilih juga abah kita ni kan,” angah tersenyum kambing. Sambungnya lagi, “sebenarnya angah berkenan dengan seorang mak cik ni. Dia baik, selalu ajak angah dan Kimi makan. Kenal masa kat Econsave, kita orang tolong dia sebab dia bawa banyak sangat barang masa tu.”

            “Suami mak cik tu mana?”


            “Meninggal dah. Tapi dah lama sangat, tahun 2001 dulu. Anak dia tiga orang, semua duduk jauh. Tapi dia serius baik kak. Cubalah padankan dengan abah, mana tahu sangkut.”


            “Tengoklah dulu. Kalau abah tak berkenan juga dengan yang ni, Angah cuba pula dengan makcik tu okay,” cadangku sekaligus menutup perbualan kami mengenai abah.




***ENAM
Aku sebenarnya telah menjangkakannya.


Sejak abah menolak Cikgu Salmi dahulu, hatiku tahu ada yang tidak kena pada abah. Namun, akal berbisik agar bersangka baik sahaja bahawa abah memang cerewet memilih bakal isteri waima kehidupan sehariannya menunjukkan abah seorang lelaki yang ringkas. Berlainan sungguh perwatakan abah ketika menangani isu kahwin ini tetapi tiada apa yang boleh aku persoalkan selain menurut sahaja kemahuannya.


            Walaubagaimanapun, setelah lima wanita yang bukan calang-calang orang ditolak bulat-bulat oleh abah, aku tidak boleh bersabar lagi. Bukannya tidak cantik,bukannya tidak baik, semuanya lembut dan berbudi bahasa, tetapi kenapa abah tidak berkenan jua? Bukanlah aku rasa abah menyusahkan namun untuk mencari seorang wanita yang baik memakan masa. Aku perlu memenuhi tuntutan kerja serta tuntutan lahiriah yang lain juga.


            Hari ini, ketika membantu abah mencantas rumput liar di belakang rumah, abah membocorkan rahsia yang disemat kukuh sekian lama.


            “Sebenarnya abah rasa bersalah pada mama,” tanganku terhenti sejurus mendengar kenyataanabah. Benarlah sangkaanku selama ini, keganjilan abah ada kaitan dengan arwah mama.Tidak semena-mena, dada terasa sebak mendengar pengakuan abah namun kutahan mutiara daripada gugur ke bumi.


            “Abah berhak untuk meneruskan kehidupan,” kucuba meneutralkan suasana sambil rumput dicabut lambat-lambat. Tidak mampu untuk menatap wajah abah ketika beliau bercerita perihal arwah mama dek bimbang luka lama bakal berdarah kembali.Tetapi abah seorang lelaki yang cukup mengerti akan diriku. Beliau memujuk aku untuk berehat sebentar dan menjadi pendengarnya.


            “Abah ni bukan orang baik. Ina tak ingat, tapi masa Ina kecil dulu, hidup kita susah betul. Ina, abah dan mama tinggal di rumah kecil tanpa bilik. Gaji abah sikit sangat sampai tak cukup buat beli susu pun. Tapi mama Ina ni baik, hari biasa kerja, hujung minggu meniaga Nasi Lemak. Sikit-sikit kehidupan kita membaik. Sebab tulah bila abah nak kahwin lagi, abah rasa bersalah, seolah-olah abah tak hargai mama,” jelas abah. Aku cuma diam membatu. Melihat perlakuanku,abah menyambung, “lepas ni Ina tak payahlah carikan lagi. Ina dah penat dan abah pun penat.”


            “Abah tak sunyi ke? Ina minta maaf sebab Ina jarang balik temankan abah,” suaraku perlahan menahan getaran. Abah membalas dengan gelengan. Benarkah keputusan abah ini? Anak matanya kurenung dalam-dalam. Ada sinar keikhlasan di situ.


            “Apa pulak jarang? Tiap-tiap minggu Ina balik masakkan untuk abah. Kadang-kala angah dengan adik pun sama kan. Abah tak sunyilah sebab anak-anak abah tak lupakan abah,” sambung abah lagi.         


Sesungguhnya mama seorang insan yang bertuah di antara wanita-wanita lain. Mama pernah memiliki seorang lelaki yang menyayanginya sepenuh hati, walaupun selepas mama pergi. Mama, aku mencemburuimu…


            “Alahai, ni dah kenapa menangis ni? Bukan sepatutnya Ina gembira ke? Semua perempuan kan tak suka ada ibu tiri kerepot, nanti cemburulah apalah. Pening abah nak melayan nanti. Lebih baik abah duduk seorang,” beliau tersenyum menyindir.


            “Mana adalah! Ina dah besar takde nak jealous pun. Abah ni, nanti Ina tak mahu balik rumah dah baru tahu!” Aku membalas sindiran abah. Kami sama-sama tertawa di pagi yang cerah itu. Alhamdulillah, tugasku sebagai match maker sudah selesai!






Last edited by Raizel on 6-12-2013 06:54 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-10-2013 04:58 PM | Show all posts
wipers81 posted on 17-10-2013 03:29 PM
wah.... keep it up TT. menarik cerita ni.... kalau TT edit balik, kemaskan jarak antara satu perkata ...

Terima kasih kerana membaca.

Sebenarnya saya copy paste dari Word, lepas tu edit gitu2 je, tak perasan jarak perkataan tu. Terima kasih atas teguran. Jemput baca cerpen kedua.

Reply

Use magic Report

Post time 18-10-2013 05:22 PM | Show all posts
Raizel posted on 18-10-2013 04:56 PM
Cerpen 2 : Calon Isteri Abah

saya rasa adalah lebih elok jika TT buka thread baru untuk cerpen yang ini. pandangan saya yang tak seberapa saja...

Reply

Use magic Report

Post time 18-10-2013 06:13 PM | Show all posts
Cerpen yang sangat menarik .
Tak hantar ke mana-mana ke?
Majalah / surat khabar.
TT ada bakat buat cerpen yang menarik.
Cubalah masuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)... hantar cerpen ke Mingguan Malaysia.

Laras bahasa dah betul dah. Kalau saya, saya pilih cerpen ni jadi cerpen KOMSAS sekolah menengah hehe...
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 19-10-2013 09:20 AM | Show all posts
dua2 cerpen menarik.

tapi meleleh plak airmata baca cerpen yg kedua ni..sob..sob..

cerpen ke 3 plak ye..







Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-10-2013 05:44 PM | Show all posts
aylanins posted on 18-10-2013 10:13 AM
Cerpen yang sangat menarik .
Tak hantar ke mana-mana ke?
Majalah / surat khabar.


Terharu saya baca komen awak. Toche2. Tapi saya tak yakinlah sampai boleh masuk komsas, hehe. Masih jauhhh lagi awak. Lepas semak kali kelima, baru perasan umur abah (cerpen kedua) tak selari dan ada lagi beberapa kesalahan lain yang tak sepatutnya terjadi. Ending pun tak berapa kemas dan karakter 'abah' tak kuat. Cerpen pertama tu pulak banyak sangat pengulangan perkataan yang sama dalam satu ayat sampai berpinar mata saya baca. Bab nilah paling susah saya nak baiki dek kerana vocab tak seluas Laut China Selatan.


Btw, novel Mencari Sakinah awak sangat best! Tersenyum2 saya baca. Kebetulan pulak karakter Najiha dalam novel awak lebih kurang sama macam karakter Najiha, seseorang dalam hidup saya dan sikap Umar tu pun lebih kurang juga macam sikap suami Najiha yang ini, cuma nama je berbeza.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-10-2013 05:46 PM | Show all posts
awanjingga posted on 19-10-2013 01:20 AM
dua2 cerpen menarik.

tapi meleleh plak airmata baca cerpen yg kedua ni..sob..sob..


Janganlah nanges, nanti saya pun nanges jugak awak. Sabaq na *tepuk2 bahu*

Reply

Use magic Report

Post time 23-10-2013 11:50 AM | Show all posts
bes bes.. suka cerpen kedua tu... syahdu sekejap...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-10-2013 04:33 AM | Show all posts
CERPEN 3 : ZIYAD



“Lama tak nampak Ziyad kan Abang Long?”

Aku tersentak mendengar pertanyaan itu. Adik bongsu aku rupanya. Baru nak layan blues, dia kacau daun pula.

                “Abang?” dia mengangkat kening. Aku buat tidak tahu, hanya memerhatikan kaki yang sibuk menguis dedaun layu di tanah. Suasana malam di halaman rumah sangat mengasyikkan. Melihat bintang di langit sambil menahan kedinginan malam yang mencucuk tulang, ah, tidak mungkin sanggup kutukar keindahan ini dengan melayan pertanyaan Sabrina. Malangnya adikku yang seorang itu tegar benar menunggu balasan agaknya kerana dia tidak berkelip memandangku.

                “Kau ni kenapa Na? Beria tanya abang, macam dia tu boyfriend kau aje,” jawabku berdolak-dalih. Sabrina menjengilkan mata mendengar tuduhan itu lalu mencubit lenganku sebelum aku mengaduh kesakitan.

                “Main serkap jarang je Abang Long ni. Jawab jelah, Na cuma tanya, itu pun susah,” ngomelnya.

                “Hmm, dia dah meninggal,” balasku malas-malas.

                “Ha? Bila? Sebab apa? Kenapa Na tak tahu?” bertubi-tubi pula gadis ini menyoal. Itu yang aku malas hendak menjawab soalannya tadi. Masak hendak menjawab satu-persatu. Lagi pula, tidak enak untuk aku bercerita perihal sahabat sepermainan kami itu sementelah dia sudah tiada.

                “Sebulan lepas. Meninggal sebab overdose arak. Malaslah abang nak cerita, tak seronok.”

                Sabrina tidak berkata apa-apa melainkan tunduk memandang bumi Allah. Tentu dia terkejut mendengar asbab kematian Ziyad. Aku jua begitu ketika mendengar perkhabaran tersebut daripada ibu. Walaupun perihal masalah ketagihan ZIyad sudah kami maklum, namun untuk meninggalkan alam fana dengan cara yang sebegitu tragis, amat di luar jangkauan pemikiran.

                Teringat zaman kecil kami bertiga yang begitu intim. Hampir setiap hari dihabiskan bersama. Kendatipun Ziyad sebaya dengan Sabrina namun arwah lebih rapat denganku kerana kami memiliki hobi yang sama iaitu bermain bola. Namun, membesar di kejiranan miskin ini adalah sesuatu sangat mencabar sehingga kami pernah tersasar jauh. Melepak, bertukar-tukar teman wanita, menonton filem lucah dan merokok merupakan tabiat kebanyakan remaja lelaki di sini. Ibu bapa sibuk bergaduh kerana wang dan masyarakat bergaduh kerana kaum menyebabkan kanak-kanak terbiar untuk dewasa sendiri. Tetapi aku lebih bertuah berbanding yang lain. Kepandaianku membolehkan aku diterima masuk ke sekolah berasrama penuh lelaki yang terbaik di Malaysia ketika itu dan sekaligus melemahkan ikatan persahabatan antara kami. Itulah norma kehidupan. Sahabat datang dan pergi. Sahabat yang kekal selalunya mereka yang berada dalam kelas pemikiran yang sama. Bukan aku mengangkat bakul sendiri, namun memang benar kata orang, pendidikanlah yang akan membentuk sikap kita pada masa hadapan. Semakin lama di sekolah asrama, acuan hidupku berubah. Jika Ziyad sibuk memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menukar spare part motor, aku pula sibuk memikirkan tentang peperiksaan. Ketika Ziyad asyik bergaduh dengan samseng dari kejiranan sebelah, aku leka dengan SPM.

                Teringat aku peristiwa tiga hari selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah berakhir. Aku, Abu dan Mamat Kering melepak di rumah Ziyad kerana ibu bapanya pulang ke kampung. Seperti biasa, kami melakukan aktiviti sumbang yang jika aku tulis di sini, pasti manusia akan memandang aku penuh jijik.  Waktu itu tengah hari. Cukup sahaja kuota, Abu terus menghidangkan sekotak rokok seludup yang dicuri daripada ayahnya. Kami, remaja bernafsu tinggi yang tidak memiliki barang sekupang telah melihat ia sebagai makanan tengah hari lalu terus menyalakan rokok masing-masing. Begitu nikmatnya masa itu sehingga seorang pun tidak sedar ibu bapa Ziyad pulang.

                Aku…Benar-benar gerun pada ayahnya. Masakan tidak, sebaik sahaja dia melihat kami semua dalam kondisi begitu, terus dicapainya batang paip di dapur lalu disebat Ziyad tanpa belas kasihan. Depan mata, kumelihat Ziyad yang berlumuran darah meraung merayu agar ayahnya simpati. Agaknya setelah melihat Ziyad tinggal nyawa-nyawa ikan, barulah lelaki bermisai lebat itu berhenti.

                “Kau kalau nak menjahanamkan diri sendiri, ikut suka engkaulah. Aku tak peduli, tapi jangan buat tahi kat rumah aku. Nanti aku bunuh engkau!”

                Cuma itu yang keluar dari mulut ayahnya. Cuma itu….dan aku tidak mengerti. Berbeza sungguh dengan Bapak yang hampir setiap hari mengingatkan aku agar tidak terjebak dalam masalah sosial. Perbezaan ketara antara Bapak dan ayah Ziyad dalam menangani isu ini tiba-tiba buat aku terjaga daripada mimpi yang panjang. Ketika itu fikiranku hanya teringat pada Bapak dan nasihat-nasihatnya sahaja. Hilang terus nafsu untuk menjahanamkan jasad sendiri.

                Hari yang sama, sejurus tiba di depan rumah, aku meluru mencari Bapak dan memeluknya. Tidaklah kutahu pelukan itu kerana aku sudah tersedar akan kesalahanku atau aku sebenarnya bersyukur Bapak tidak pernah melayanku seteruk ayah Ziyad. Yang pasti, selepas itu aku selalu berdalih apabila Ziyad dan geng kami yang lain mengajak aku beraktiviti bersama. Peristiwa berdarah itu tidak meninggalkan sekelumit rasa pun dalam hati Ziyad yang sudah mati namun berjaya menyedarkan aku. Dan selepas melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, kami langsung terputus persahabatan.

                “Kasihan Ziyad. Tak sangka awal dia pergi,” Sabrina yang sedari tadi berdiam diri kini bersuara membuat lamunanku terhenti. Tiba-tiba dia memelukku lalu berkata, “Abang Long, terima kasih sebab tak buat benda-benda tu semua.”

                “Kau ingat Abang ni jahat sangat ke?” Aku menolak tubuhnya, buat-buat merajuk. Sabrina ketawa berdekah-dekah melihat perlakuanku

                “Amboi, sejak ada Kak Aina ni, Abang Long dah pandai merajuk ya?

                Aduhai, itulah tujuan sebenar aku duduk di laman rumah! Hajatnya hendak menelefon Aina Husna, tunangku. Mujurlah Sabrina menyebut nama itu, kalau lebih lama aku terlupa, merajuklah Aina nanti. Makhluk bernama perempuan ini bukan senang untuk ditebak hatinya. Pantang silap sikit, panjanglah rajuknya.

                “Dahlah, Abang Long nak masuk bilik ni,” kataku lantas bangun dan menuju ke pintu meninggalkan Sabrina terpinga-pinga. Punat telefon bimbit ditekan.

                “Hello?”

                “Awak ni, kenapa lambat telefon?!”

                Aduhai…


Last edited by Raizel on 28-10-2013 08:45 PM

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 09:15 PM GMT+8 , Processed in 0.534609 second(s), 23 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list