BINTULU: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai ABF di sini pada jam 1 petang semalam.
Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai Davis Usak dipercayai ingin pergi ke sekolah untuk bertemu dengan gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong.
Bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian apabila keretanya terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebatang pokok besar.
Hentaman kuat turut menyebabkan kereta mangsa terputus dua.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumah dan memberitahu ibunya bahawa dia ingin meminjam kereta, tetapi ibunya tidak mengizinkannya.
Namun selepas dipujuk, ibunya mengalah dengan kehendak anaknya dan membenarkan mangsa menggunakan kereta.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bintulu untuk pemeriksaan lanjut.
|