CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 62488|Reply: 640

MENCARI SAKINAH @ WARKAH PENGIKAT HATI (novel JEMARI SENI Jun 2014)

[Copy link]
Post time 9-6-2013 06:12 PM | Show all posts |Read mode
Edited by aylanins at 8-7-2015 09:16 AM

BAB 1


“KALAU di rumah orang, kepala udang ni kena buang,” pesan emak, menunjuk pada udang di dalam sinki.

“Yalah… tadi nak cepat. Lagi pun udang ni besar, otak udang kan sedap… sayang nak buang,” jawab Najiha lirih.

Dia bukannya tak tahu yang kepala udang tu harus dibuang, tapi sayanglah sebab nanti kalau kupas kulit kepala udang tu, mesti kadang-kadang akan terbuang tanpa sengaja kepala dengan otaknya sekali. Ohh… sedap sungguh udang masak lemak cili api. Pesan emak dengan frasa “rumah orang” itu macam lain saja. Rumah siapa tu emak. Rumah emak mentua ya haha… Najiha mengusik di dalam hati.

Kalau cuti sekolah begini apa lagi yang harus dibuat kecuali mengikut kelas memasak anjuran emak tersayang. Selepas itu ada kursus mengemas rumah, kursus jahit-menjahit, pendek kata kursus mengurus hal ehwal rumah tanggalah. Hendak menonton drama Korea kegemarannya itu pun hampir tiada masa.

“Serius nak masukkan Rafiq ke sekolah tu?” tanya emak yang muncul kembali di pintu dapur sambil membawa seplastik besar bawang.

“Sayanglah mak kalau tak masukkan. Ni dah dekat nak habis juzuk Amma dia hafal. Duit tu boleh diusahakan,” jawab Najiha sambil tangannya ligat membuang kepala udang.

Dah penat membuang kepala udang ni, malas pula mahu memasaknya. Alih-alih nanti dia cuma tumis bawang, masukkan udang, campur Secukup Rasa Maggi sudah. Itu resepi menipu, kalau emak tahu memang kena leter. Emak kalau masak mesti cukup segala rencah. Ada rupa, ada rasa. Maklum emak kan pernah berkursus masakan sebelum buka perniagaan katering.

“Cukup tak budget tu? Siapa yang nak bayar?” soal emak sambil tangannya mengupas kulit bawang. “Takut nanti kalau katering kita tak laju, mak takut tak mampu nak tolong bayar bulan-bulan.”

“Jiha bayarlah mak. Jiha dah kira belanja bulan-bulan. Biasiswa pinjaman dah nak habis bayar, ada baki duit gaji sikit. Bolehlah…” Najiha ambil pula kuali dan letak atas dapur. Betullah tu dia dah malas nak masak yang remeh, dia nak masak udang ni tumis goreng saja.

“Jiha ada simpan bulan-bulan dalam Tabung Haji, potong gaji. Boleh buat backing yuran Rafiq.” Sambungnya lagi.

Rencah sudah ditumis di dalam kuali. Bau bawang, halia dan cili kering yang dilumatkan harum semerbak menguasai dapur.  



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-6-2013 09:47 AM | Show all posts
boleh tahan intronya...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-6-2013 11:37 AM | Show all posts
BAB 2


SAMPAI di hadapan tangga besar masjid, Najiha parkir kereta betul-betul di hadapan tangga. Keluar dari kereta, dia mendongak memandang kamera CCTV yang dipasang di sudut tiang. Entah kenapa ada tabiat sebegitu. Sejak dia tahu ada banyak kamera CCTV dipasang di segenap penjuru masjid ini, dia jadi suka memandang kamera itu. Terasa selamat dan sentosa berada di masjid, wah… ayat kamu Najiha.

“Rafiq.. mari. Dah sampai..” Najiha buka pintu kereta. Rafiq ini memang manja. Kereta mesti diparkir betul-betul di hadapan tangga. Jadi dia tidak perlu berjalan jauh. Macam mana mahu jadi mujahid ni Rafiq? Awal-awal lagi sudah begitu manja malas berjalan jauh.

“Eh… kuncilah. Pintu tak buka…” kata Rafiq bila melangkah keluar dari kereta. Wajahnya melihat ke arah pintu aras bawah masjid yang bergril, selalunya memang dibuka. Oh.. yalah. Najiha tak perasan. Selalunya kalau jam 8:20 pagi macam ini, sudah buka. Mungkin ada orang mandikan jenazah pagi ini, sebab itu pintu sebelah sini ditutup, padahal selalunya kalau ada jenazah pun, pintu itu tetap dibuka.

Mungkin pakcik pengawal lupa mahu buka. Kelas Rafiq betul-betul bersebelahan dengan bilik yang dikhususkan untuk mandikan jenazah.

“Kita pakai pintu satu lagi…” Najiha tarik tangan Rafiq lembut. Anak ini comel betul. Wajahnya yang mulus dan tampan itu memang memikat. Bohonglah kalau orang kata Rafiq tidak tampan. Kecil-kecil lagi sudah nampak tampan dan berseri-seri. Mungkin cahaya orang yang menghafaz Al-Quran memang wajahnya berseri begitu.

Pintu satu lagi ialah di bahagian tengah. Yang ini agak meriah dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini. Lepas itu di atas perkarangan masjid itu ada apa ya? Ya, hari ini kan hari Jumaat. Oh.. mungkin ada tazkirah pagi untuk staf masjid ini. Baru hari ini Najiha perasan ada sekumpulan lelaki di perkarangan masjid sebelah sini. Ada 3 orang lelaki sedang beri taklimat lagaknya di hadapan mereka. Mungkin bacaan Yasin awal pagi sebab macam ada buku kecil di tangan lelaki-lelaki itu.

Menyedari pandangannya ke sisi atas masjid itu mendapat perhatian seorang dua lelaki di situ, Najiha cepat-cepat memandang ke hadapan. Oh, malunya kalau ada yang perasan dia sengaja meninjau-ninjau ke atas tadi, dengan niat mahu meneropong wajah-wajah tenang di situ. Entah kenapa dia suka pandang wajah staf yang bekerja di masjid itu, semuanya tenang belaka. Bila waktu azan berkumandang, rata-rata mereka bergegas ambil wuduk untuk menunaikan solat di awal waktu. Rasa nak berhenti kerja dan mohon masuk kerja di masjid ini. Biar hati setenang ini.

Rafiq dihantar sehingga ke pintu kelas. Nampak beberapa orang lelaki keluar masuk dari bilik jenazah di sebelah. Dulu bila dapat tahu kelas Rafiq betul-betul bersebelahan dengan bilik jenazah, Najiha terasa takut juga. Satu, dia takut mahu lalu di hadapan bilik itu. Dua, dia takut Rafiq ternampak benda yang bukan-bukan. Sebab tahun lepas, ada seorang murid yang pernah belajar di kelas itu, mohon keluar dari sekolah itu sebab asyik ternampak sesuatu.

Itu yang Najiha selalu guna pintu tengah masjid. Sekarang, dah biasa, dah masuk 3 bulan Rafiq di situ, dia lalu saja bilik jenazah itu macam biasa. Rafiq pun tak ada apa-apa masalah. Malah dia pandang bilik mandikan jenazah itu macam kelas-kelas yang lain juga.

Sebelum Rafiq dilepaskan masuk ke dalam kelas, harus dipeluk cium dulu budak berusia 6 tahun itu. Anak bongsu memang manja. Kalau tak dipeluk cium siap bagi flying kiss, muka semacam saja. Jadi semua yang lalu-lalang di situ mesti ingat Najiha ini ibunya, oh sedihnya selalu sahaja sahamnya merudum jatuh gara-gara selalu bawa Rafiq dan Lutfi ke sana-sini. Tapi selepas itu tambah 10 markah sebab orang mesti akan cakap pada dia, comelnya anak-anak awak. Kembang hidung Najiha bila orang puji begitu walaupun dia cuma ibu saudara Rafiq. Nak kata Rafiq tu comel macam awaklah ya Najiha.
Last edited by aylanins on 28-6-2013 10:19 AM

Reply

Use magic Report

Post time 10-6-2013 01:47 PM | Show all posts
sambung lah lagi
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-6-2013 12:44 PM | Show all posts
BAB 3


KUNCI di tangan dipegang erat. Ustaz Umar berjalan pantas melewati pejabat pentadbiran am masjid dan kelas-kelas tahfiz menuju ke bilik jenazah. Ustaz Salleh menelefonnya tadi meminta bantuan untuk mandikan jenazah yang baru sampai awal pagi tadi. Affendi demam dan Fazli pula cuti dua minggu kerana menunaikan umrah, kemudian ada pula waris jenazah di Taman Permata yang malam tadi sudah menelefon meminta bantuan staf mereka untuk uruskan.

Taman Permata tidak ada surau sendiri, kalau ada pasti mereka ada staf sendiri yang uruskan jenazah. Jadi staf bahagian jenazah yang tinggal di masjid, setelah dipinjam ke sana-sini, cuma tinggal 4 orang sahaja. Pagi ini pula ada dua jenazah yang menunggu giliran. Itu yang Ustaz Salleh terpaksa minta bantuan dia. Pagi itu dia tidak ada kelas hafazan dengan pelajar tahfiz. Semua murid tahfiz yang berusia 4 dan 5 tahun ada lawatan sambil belajar di Kem Tentera. Yang tinggal cuma murid tahfiz yang berusia 6 tahun sahaja.

Dari jauh Ustaz Umar nampak Rafiq dicium oleh seseorang di hadapan kelas Ibn Khaldun 6. Pasti ibunya. Dia kenal Rafiq yang kuat menangis itu. Malah dia kenal hampir semua murid di sekolah tahfiz itu terutama yang ada macam-macam karenah. Macam Rafiq, pantang dipaksa membaca, mesti menangis, Hassan si gemuk yang makan sentiasa tidak cukup sepinggan, dan Amirah yang masih bawa susu botol ke sekolah, tidak malu-malu menghisap susu botolnya bila rehat tengah hari. Belum lagi dengan kisah murid yang berusia 4 tahun dan 5 tahun. Yang itu memang mencabar jiwa dan raga mengajarnya. Mujur rata-rata yang masuk ke sekolah ini terang hati belaka. Entah, mungkin khasiat menghafaz ayat-ayat Al-Quran.

Bilik jenazah di hujung sekali, sebelah kelas Ibn Khaldun 6. Melewati Ibn Khaldun 6, Ustaz Umar menjeling sekilas pada ibu Rafiq yang berdiri di hadapan pintu kelas. Padanlah hari ini Rafiq tidak menangis pagi-pagi, ada ibunya menghantar sampai ke pintu, siap peluk cium berkali-kali. Rafiq pula tersenyum-senyum suka.

“Assalamualaikum Ustaz…” tegur Rafiq ceria ketika Ustaz Umar lalu di hadapan pintu kelas.
“Ya… waalaikumsalam…” senyum Ustaz Umar gembira. Memang murid-murid di situ sudah dilatih agar sentiasa memberi salam ketika berjumpa dengan guru-guru mereka.

Najiha mengangkat muka memandang Ustaz Umar sekilas. Amboi Rafiq, sukanya kamu pagi ini ya. Ada Mak Usu kesayangan kamu menghantar sampai ke pintu, kalau Tok Man yang hantar, muka asyik nak menangis. Yalah, Tok Man mana pandai sangat nak peluk cium budak-budak. Tok Man kan peguam. Tentulah tegas memanjang dengan misai melintang yang bikin tambah wajahnya jadi garang. Tersenyum Najiha mengingatkan ayahnya itu. Hari itu dia minta cuti, sebab itu dapat hantar Rafiq ke sekolah. Selalu ayahnya yang akan menghantar Rafiq ke sekolah.

Ustaz Umar menghampiri pintu bilik jenazah yang tertutup. Mudanya ibu Rafiq, detik hatinya bila terpandang wajah manis itu sekilas. Kahwin muda agaknya. Dia saja yang belum kahwin-kahwin walau umur sudah menginjak ke angka 30. Susahnya hendak cari calon yang faham isi hatinya. Ustaz Umar sudah menguak pintu bilik jenazah.

“Assalamualaikum Salleh..” serunya. "Saya buka gril sebelah sini dulu ya. Van jenazah nak sampai kan?"


Last edited by aylanins on 28-6-2013 10:20 AM

Reply

Use magic Report

Post time 11-6-2013 04:24 PM | Show all posts
tertarik dan menarik....teruskan ye tt........
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 12-6-2013 03:58 PM | Show all posts
BAB 4

KHADIJAH. Dah dapat siapa yang nak bagi kursus tu?” Cikgu Masrip menghampiri meja Ustazah Khadijah.

Khadijah mendongak ke atas. Pen diletak ke bawah.

“Dah… tapi bukan yang dari JAIS. Kita ambik dari masjid negeri. Yang dari JAIS dah kena booked tempat lain.” Jawabnya.

Ustazah Rafidah yang duduk di hadapannya leka dengan ipad. Amboi… ajar tasmik pakai ipad ya. Tasmik itu program membimbing dan merekod perkembangan bacaan al-Quran murid secara individu, ya kawan-kawan.


"Ok. Tanya je. Guru Besar nak nama, nak beli cenderamata…” Cikgu Masrip mengetuk-ngetuk meja Khadijah. Afiq dari Tahun 6 masuk sambil memegang kitab Al-Quran menuju meja Khadijah.

“Jiha mana? Tak ada kat kelas dia,” Tanya Cikgu Masrip lagi. Dia sudah bergerak ke pintu, mahu keluar dari bilik guru. Murid-murid keluar masuk bilik guru untuk tasmik Al-Quran dengan guru-guru jqaf.

“Balik kut. Tahun 3 tak ada Fardhu Ain hari ini,” sahut Khadijah.

Cikgu Masrip yang berseluar sukan keluar menuju ke taman herba. Petang ini dia mahu menyimen kolam ikan yang belum siap.


Last edited by aylanins on 28-6-2013 10:21 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-6-2013 04:17 PM | Show all posts
MENDENGAR Ustazah Rafidah mengiakan tidak ada kelas Fardhu Ain untuk Tahun 3, cepat sahaja Najiha mengemaskan komputer riba dan buku-buku yang mahu dibawa balik. Macam tidak cukup kaki tangan dia mahu keluar dari kelas. Hohoho… riangnya hati dapat balik awal. Lutfi tentu sudah menunggu di perkarangan tempat letak kereta. Kelas yang bersepah dia sudah tidak peduli, esok awal pagi, redha sajalah menyapu dan mengemas kelas yang macam kapal karam. Itulah, tadi siapa suruh buat aktiviti gunting dan tampal dengan murid-muridnya. Yang penting hari ini dapat balik awal.

Dia terjengket-jengket lalu di hadapan pintu pejabat. Nanti kalau Cikgu Masrip, Penolong Kanan 1 nampak, mesti kena tanya, awalnya baliklah, kertas kerja program bacaton dah siap ke, surat minta derma PIBG mana. Dia bukan selalu balik awal begini. Meski waktu persekolahan sudah tamat, dia tetap jadi penunggu setia di sekolah sebab terpaksa tunggu Lutfi habiskan kelas Fardhu Ain.

“Haippp… terhendap-hendap. Nak ke mana?” tegur Ustaz Wan yang lalu di hadapan kereta Najiha.

“Bising ahh… nanti Cikgu Masrip nampak. Dia asyik tanya pasal kertas kerja program bacaton,” kata Najiha perlahan.

“Ya… Cikgu Masrippp sini haa…” laung Ustaz Wan sambil tersengih-sengih sambil melambai-lambai entah siapa.     

“Dengki... Kita bukan selalu dapat balik awal. Dah dekat 3 tahun asyik balik lewat je… haha…” Najiha menjawab. Suka. Siapa tak suka. Balik rumah, beli nasi bungkus, lepas tu boleh tidur petang, warghh seronoknya.

“Ehh… orang dah 10 tahun hampir setiap hari balik lewat petang tau tak…” ujar Ustaz Wan. Dia  mengajar Fardhu Ain petang-petang, belum campur dengan melatih pasukan bola sepak dan futsal sekolah lagi. Boleh dikatakan memang setiap petang kecuali petang Jumaat dia memang berada di sekolah.

“Hahaha… itulah siapa suruh ambil major Pendidikan Islam. Kan dah kena ajar Fardhu Ain petang-petang…” selamba Najiha membalas, sengih-sengih nakal. Tangannya membuka pintu kereta, enjin kereta dihidupkan dan dia masih sengih suka di tepi pintu kereta. Haba panas dari dalam kereta menyebabkan dia belum mahu masuk ke dalam kereta.

“Ehh.. sekejap.. dah baca yang saya tag dalam facebook?” tahan Ustaz Wan. Masih mahu mengusik Najiha.
“Yang mana?” Tak jadi kaki Najiha melangkah masuk ke dalam kereta.
“Yang ayat dari Surah Yassin tu… ayat jodoh, ayat jodoh… jumpa tak?”

“Ah… balik-balik yang itu.” Geram Najiha. Dia tahulah dia belum kahwin, tak payahlah Ustaz Wan menyibuk pukul canang kat facebook letak nama dia pada setiap info pasal jodoh.

“Orang prihatin kan awak. Orang rumah saya jeles kalau ada cikgu kat sekolah ni masih single… hehee…”

“Eleh…prihatin… kenapa tak tag Suhana? Tag Maisarah jugak… hahaa… Ustaz takut ya…” Najiha gelak-gelak. “Bye Ustaz… fighting…” dia buat stail tangan bersemangat dalam cerita Korea. “Fardhu Ain lagi 3 jam nak habis hehe…”  

Ustaz Wan senyum, mati kutu mahu menjawab. Dia selalu mati akal kalau dengar jawapan balas dari Najiha. Tapi berbalas kata dengan Najiha memang seronok sebab Najiha memang jarang ambil hati dengan kata-katanya. Kalau Puan Harisah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, dibawa bergurau keras, cepat saja terasa hati.  

Tahun lepas, dia padankan Najiha dengan tukang kebun sekolah, Alang yang masih bujang, muda 5 tahun dari Najiha. Tak juga Najiha marah. Melenting jauh sekali. Terkekeh-kekeh ketawa pula apabila dia giatkan Najiha dengan Alang depan guru-guru yang lain. Pandai saja Najiha membalas kata-katanya, bertanya kenapa tak padankan Alang dengan Ustazah Suhana yang sebaya dengan Alang. Ustazah Suhana pun solo juga. Atau dengan Cikgu Laila yang juga belum kahwin. Tak pun dengan Ustazah Sarah yang cantik ayu bertudung labuh. Sah-sah Ustaz Wan takut mereka itu marah. Najiha kan tak pandai marah.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-6-2013 01:08 PM | Show all posts
ostad umar dtg ke sekolh jiha..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2013 03:34 PM | Show all posts
BAB 5


UMAR mencari-cari antara helaian kertas. Surat yang Doktor Hasbi serahkan pada dia tadi entah di mana dia letak. Dia mahu pastikan tarikh dan masa dia harus berada di tempat itu. Tapi tadi ada murid yang tolong hantar buku latihan ke mejanya, kemudian Tuan Haji Siraj, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mengirim sebeban fail data maklumat murid ke mejanya. Jadi mejanya sekarang penuh dengan fail-fail yang dihempap pula dengan buku-buku kerja murid.

Bekas air teh yang separuh penuh dia letak ke tepi. Buku-buku rujukan guru dia angkat satu persatu dan susun elok-elok atas kerusi. Plastik besar yang berisi baju-baju taekwondo murid dia angkat dan letak di lantai. Tapi meja gurunya masih bersepah. Penat mencari, Umar menghela nafas panjang. Lebih baik ke pejabat pentadbiran am cari Hasmah. Surat itu pasti ada salinan asalnya. Dia menuju ke pintu.

SEBELUM sampai di rumah, Najiha membeli nasi ayam 3 bungkus. Dua bungkus untuk Lutfi. Lutfi kalau makan tidak cukup sebungkus. Sebungkus lagi untuk Rafiq petang nanti. Untuk makan malam sekeluarga, dia sudah perap kepak ayam dengan tepung goreng berempah. Lewat petang nanti barulah dia akan goreng ayam itu. Ayah balik kerja makan tidak cerewet. Emak pun sama. Makan apa saja yang anak daranya hidangkan.

Rafiq dan Lutfi usah cakap. Ayam goreng memang makanan kesukaan mereka berdua. Hendak masak kari, sup atau buat gulai, badan sudah tidak larat. Mata ini bagai ditarik-tarik mahu terkatup. Lutfi yang sedang menghadap enak nasi ayam bungkus di hadapan TV sudah tidak dipedulikannya. Najiha terus terlena di ruang tamu.

MAK USU! Mak Usu bangun!” suara itu beberapa kali kedengaran, sayup-sayup dari jauh.

Najiha membuka mata. Nampak wajah Lutfi dihadapannya. Finn dan Jack sedang berbual dengan Flame Princess di kaca televisyen.

“Jam dah pukul 4. Nak ambil Rafiq tak?” Tanya Lutfi tapi matanya tidak beralih dari skrin televisyen. “Mak Usu cakap nak pergi awal…”

"Oh ya... ha. Pergi awal. Nak tanya pasal baju renang," Najiha bangkit. Mahu cuci muka dahulu.


Last edited by aylanins on 28-6-2013 10:21 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2013 06:42 PM | Show all posts
“ASSALAMUALAIKUM…” Najiha menolak daun pintu pejabat pentadbiran am masjid negeri. Dia senyum. Ya, senyum itu kan satu sedekah. Lutfi mengekor di belakang lalu duduk di sofa berdekatan. Dia seronok bermain game pada ipad di tangannya.

“Waalaikumsalam… mak Rafiq kan?” seru seorang staf di situ. Najiha cuma mengangguk, senyum sahaja. Sudah selalu orang ingat dia ibu Rafiq. Redha sajalah. Rafiq pun comel. Tentu orang kata Rafiq comel macam maknya, Najihalah tu hahaa… suka.

“Nak tanya, semalam Rafiq ada tertinggal baju renang. Tapi tak tahu tinggal kat mana, kat swimming pool kot.”

“Warna apa ye?” Tanya kerani yang bertugas. Dia kenal wajah Najiha. “Kak Bibah.. Kak Bibah…” dia melambai pada seseorang.

Hasmah, detik Najiha dalam hati melihat tag nama di tudungnya.

“Kak Bibah ni yang selalu simpan baju renang budak-budak yang tertinggal,” terang Hasmah sambil tersenyum, mengunjuk pada seorang wanita, berpakaian seragam bertulis Smart Cleaning Sdn. Bhd.,  yang memegang penyapu di tangannya.

“Biru. Lengan panjang, kaki pun panjang. Ada zip di depan baju.”

“Rasanya macam ada. Kejap ya, Kak Bibah carikkan…” Kak Bibah menyandarkan penyapunya di tepi dinding. Dia masuk ke bilik stor di belakang sana.

Nasib baik baju renang Rafiq ada dalam simpanan pihak sekolah. Rafiq selalu lupa pakaian sekolahnya terutama kalau hari itu kena tukar ke pakaian PJ atau renang. Dulu awal tahun memang sudah dipesan kena tulis nama pada baju anak-anak, senang nak cam kalau terlupa, tapi Najiha ingat nak sulamkan nama dengan benang. Sulam tangannya sendiri. Sudahnya sulaman tangannya hodoh sangat.

Nasib baik ayah jumpa kedai sulam yang jahit sulam pakai mesin sulam. Jadi semua pakaian seragam Rafiq sudah disulam dengan namanya. Cuma baju renang ini saja belum disulam sebab baru beli minggu lepas. Hendak hantar ke kedai sulam itu tidak sempat.

Baju renang yang dibeli awal tahun memang sudah disulam, tapi tiba-tiba saja Rafiq meragam tidak mahu pakai sebab katanya, Cikgu Siraj marah sebab tak tutup aurat. Oh, patut pun. Baju renang yang lama itu jenis romper tapi setakat atas lutut. Yang baru ini, romper juga, tapi lengannya panjang dan kakinya pun panjang.

Selepas mengucapkan terima kasih, Najiha bingkas bangun. Daun pintu pejabat ditolak dari luar. Najiha mengangkat muka memandang ke pintu.

Seraut wajah tenang melangkah masuk. Jubah putih lengkap berseluar. Kopiah putih. Janggut sejemput elok tersusun rapi. Raut wajah itu yang teramat tenang. Mata yang teduh. Tapi matanya memandang ke hadapan. Tidak perasan pun Najiha yang berdiri di hadapannya. Ya, orang yang beriman ini kan sentiasa menjaga pandangannya, tidak macam Najiha ini yang kalau nampak muka teduh menawan begini rasa mahu tenung lama-lama. Masjid, Jiha, ini masjid. Fuh… kawal mata, kawal mata.

“Ustaz Umar. Ini salinan surat tu,” Hasmah menghulurkan helaian kertas. “Minggu depan tahu…”
“Ya… terima kasih. Sorry… tak tahu mana letak tadi. Bersepah meja tu…” Umar tersenyum lega melihat salinan surat yang diberi oleh Hasmah. Sebelum ke sini tadi, dia sudah menelefon Hasmah minta buatkan satu lagi salinan. Tidaklah lama dia menunggu-nunggu di pejabat itu.

“Eh jap… mak Rafiq, mak Rafiq,” Hasmah menahan Najiha yang sudah menolak pintu. Najiha menoleh.

“Goggle ini Rafiq punya juga?” Hasmah menayang-nayang goggle renang warna hitam di tangannya.

Najiha mengamati goggle hitam itu. Goggle Rafiq biru, dia ingat sangat-sangat.

“Bukan. Goggle Rafiq, biru. Ada saya tulis nama dengan pen marker.” Aduhai, kenapa panggil saya mak Rafiq. Sedihnya hati, dia yang masih anak dara itu selalu saja disangka emak orang. Depan ustaz handsome pula tu. Kan saham singlenya boleh jatuh 50 peratus. Tapi melihat wajah Lutfi yang ralit bermain ipad membuat dia tersenyum sendiri. Ya, bertahun-tahun dia menata hati untuk Lutfi dan Rafiq yang comel itu membuatkan dia kalis digelar emak orang.

“Oh, takpalah.. orang lain punya kut,” Hasmah mengangguk. Goggle hitam itu dimasukkan semula ke dalam beg plastik.

“Mak Rafiq ke?” Tanya Umar pada Hasmah ketika Najiha sudah di luar pintu pejabat pentadbiran am.
“Ya… comel kan. Macam muda lagi. Anak dua tu ustaz…” kata Hasmah sambil berjalan menuju ke mejanya. Plastik berisi goggle tadi dia letak atas mejanya. Nanti Kak Bibah lalu, dia bagilah. Kak Bibah yang simpan barang-barang budak yang selalu tertinggal di sekolah itu.

“Iya? Kak Hasmah kenal ke?” Umar meneliti surat di tangannya. Minggu depan, hari Sabtu dia kena jemput untuk bagi ceramah pasal pengurusan jenazah. Sekolah mana ni ya?

“Taklah kenal… cam muka je sebab dia selalu datang sini tiap bulan bayar yuran. Selalu datang dengan abang Rafiq, besar jugak abang Rafiq tu,” cerita Hasmah. Bukannya ramai orang yang menjengah pejabat pentadbiran am masjid negeri ini. Kalau ada pun cuma ibu bapa murid-murid tahfiz sahaja. Murid-murid di sini bukan ramai mana pun, tak sampai 200 orang.

“Kosong ofis ni Kak Hasmah? Mana yang lain?” Tanya Umar mahu tukar tajuk. Sekejap lagi tentu Kak Hasmah ni tanya soalan bonus pada dia. Soalan apa lagi, kalau tidak: Ustaz bila pulak?

“Ada. Mana entah… ada kat pantri, ada kat tandas, ada yang sembahyang Asar kat atas,” kata Hasmah memandang Ustaz Umar sekilas. Ustaz Umar itu segak orangnya, tapi sayang belum ada yang punya. Dia pernah usik-usik mahu padankan Ustaz Umar dengan cikgu-cikgu perempuan di sekolah tahfiz itu, tapi tidak pernah ada yang jadi. Entah Ustaz Umar ni memilih sangat, tapi cikgu-cikgu perempuan di sini hampir semua dah kena cup orang. Kalau tak dah kahwin, dah bertunang, paling tidak pun dah ada teman lelaki istimewa.
Last edited by aylanins on 13-6-2013 06:48 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-6-2013 10:27 AM | Show all posts
BAB 6


“NAJIHA mana?” panjang leher Encik Kamarulzaman melihat keliling dapur. Makan malam itu cuma dia dan isterinya sahaja. Lutfi dan Rafiq sudah kenyang makan ayam KFC yang dia bawa balik petang tadi.

Budak berdua itu ralit bermain sesama sendiri di ruang tamu. Kedengaran alunan merdu surah-surah dari Juzuk Amma menguasai ruang tamu. Rafiq selalu mengelak kalau disuruh mengulang bacaan surah-surah yang dihafaznya di sekolah, jadi kena pasang CD Juzuk Amma alunan Ahmad Saud sentiasa.

“Sekolah. Budak-budak camping. Dia jaga kat sana.” Jawab Puan Maimon, menceduk sedikit kuah kari ke dalam pinggannya.

Dia sampai ke rumah tadi, kari ayam dan sayur labu manis sudah siap dimasak. Rajin pula Najiha mahu memasak petang ini. Selalunya ayam goreng, ikan goreng, udang tumis goreng, kerang rebus, pendek kata yang goreng dan yang rebus belaka. Kalau sayur, pasti sayur tumis goreng. Jarang nak masak kari ke rendang ke, atau masakan yang banyak rencah. Tahap paling malas, Najiha akan tapau saja nasi ayam.

“Tidur sana? Berapa hari?”
“Hari ini, Jumaat. Ahad habis. Tapi pagi esok balik rumah katanya. Sebab tak nak mandi kat sana. Guru Besar minta tolong jaga budak waktu malam.” Jawab Puan Maimon. Ya, Najiha kan tak kahwin lagi. Setakat disuruh bermalam di sekolah, memang bukan masalah.

“Siapa lagi yang bermalam?”
“Tah… geng single sekolah itulah kot. Suhana kalau tak silap, Sarah, Laila.” Pandai saja Puan Maimon ini ya. Tak pasal-pasal Najiha dan kawan-kawannya digelar geng single.

Encik Kamarulzaman diam meneruskan suapan. Ada sesuatu yang disimpan di benak fikirannya. Elok benar Najiha tiada di rumah. Sudah dua hari dia menyimpan hal itu dalam hatinya. Cuma tinggal mahu disuarakan pada isterinya sahaja.

“Apanya awak? Ada apa-apa nak bagitahu saya ke?” Puan Maimon menyenduk nasi tambah. Seharian memasak di kedai makannya, menjadikan dia kenyang hanya dengan melihat lauk-pauk yang dijual. Sampai di rumah baru seleranya sedikit terbuka.

"Pasal Dr. Hasbi. Nantilah lepas habis makan saya bagitahu awak. Tunggu Lutfi dan Rafiq tidur dulu..." Encik Kamarulzaman meneruskan suapan. Puan Maimon memandang suaminya sekilas. Apa sajalah orang tua ini. Bukannya tak boleh bagitahu sekarang.

Last edited by aylanins on 28-6-2013 10:22 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-6-2013 10:49 AM | Show all posts
USTAZ Wan dan konco-konconya dalam Panitia Pendidikan Islam ini pandai betul. Perkhemahan pengakap tahun ini mereka gabungkan sekali dengan Kem Bestari Solat. Mula aktiviti berkhemah petang Jumaat. Pagi Sabtu, hari esoknya, buat pula Kem Bestari solat untuk murid-murid. Yang cikgu-cikgu dan staf sekolah dijemput ke Kursus Pengurusan Jenazah yang dibuat pada masa yang sama dengan Kem Bestari Solat, cuma tempat sahaja berlainan.

Ahli-ahli pengakap akan ikut serta dalam Kem Bestari Solat itu sekali. Habis Kem Bestari Solat dan kursus pengurusan jenazah, aktiviti perkhemahan pengakap akan berjalan seperti biasa dan gulung khemah pagi Ahad. Wah, pandai sungguh Panitia Pendidikan Islam ini ya. Kagum Najiha. Jimat belanja duit sekolah dan duit PIBG sebab dua aktiviti besar buat pada masa yang serentak.

Kem Bestari solat berlangsung di kelas-kelas. Ustaz Wan, Ustaz Sabri, Ustazah Rafidah dan Ustazah Sarah yang ambil tugas di sana. Kursus Pengurusan Jenazah pula berlangsung di dewan sekolah. Ini projek Ustazah Khadijah. Dia yang jadi pengarah projek. Habis kursus ini, ada sijil. Boleh daftar kursus ini sebagai latihan dalaman. Sekarang kan para guru sekolah kerajaan kena hadiri kursus sekurang-kurangnya 7 hari atau 56 jam dalam setahun.

Najiha duduk bersila di hadapan sekali, sebelah Ustazah Suhana dan Puan Harisah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Puan Harisah disuruh duduk atas sofa di pentas, dia mengelak. Biar saja Guru Besar dan Penolong Kanan 1 yang duduk menemankan tetamu di situ.

Penat Najiha bersimpuh macam pergi makan kenduri, bila kaki naik kebas duduk lama di situ tunggu majlis bermula, dia tukar posisi pula duduk bersila. Pakai jubah berseluar jadi tak adalah gaya kasar sangat bila bersila. Cikgu-cikgu lain duduk-duduk juga di situ. Ramai juga ibu bapa murid-murid ikut serta. Memang mereka buka penyertaan ini untuk ahli PIBG tapi tempat terhad untuk 40 orang yang pertama sahaja.

Tadi Najiha duduk di belakang, tapi Ustazah Suhana tarik dia duduk di depan sebab di depan, berhadapan dengan pentas, kosong. Semua pakat duduk belakang-belakang.

“Kalau tak kita yang mulakan, siapa lagi,” kata Ustazah Suhana merujuk pada ruang kosong di depan dekat pentas yang harus diisi. Ya, majlis ilmu begini selalunya semua pakat malu-malu hendak tunjuk muka di saf hadapan.

Najiha menekan-nekan kepalanya. Sakit sedikit. Malam tadi dia tidur di sekolah, di dalam kelas pra sekolah. Suhana dan Sarah pun ada sama. Ustaz Sabri dan isterinya Ustazah Khadijah tidur dalam makmal komputer. Anak mereka Mikhail dan Damia ada sekali dibawa tidur bersama di situ. Ahli-ahli pengakap yang lain masing-masing tidur di dalam khemah di tengah-tengah padang sekolah. Ada Pakcik Mamat, jaga sekolah yang tolong tengok-tengokkan budak. Dia pun tidur sekali di khemah.

Awal pagi tadi, selepas bagi budak-budak pengakap itu sarapan pagi, Najiha sudah pakat dengan Suhana dan Sarah balik ke rumah masing-masing. Dia malas mahu mandi di sekolah walaupun ada bilik air yang selesa di kelas pra sekolah. Budak-budak perempuan mandi di kelas pra sekolah. Yang lelaki tumpang bilik mandi rumah Cikgu Hasan. Cikgu Hasan duduk di kuarters guru.

Selesai mandi dan pakai pakaian yang bersih, bergegas pula balik ke sekolah sebab kena hadir Kursus Pengurusan Jenazah yang mula jam 8 pagi. Pening kepalanya berkejar ke sana sini. Sudahlah malam tadi tidurnya tidak lena. Tidur di lantai kelas walau beralaskan sejadah agak tidak menyelesakan badan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-6-2013 11:41 AM | Show all posts
Assalamualaikum,

Ini percubaan pertama saya untuk hasilkan novel. Harapnya dapat habiskan walau sedikit merangkak-rangkak.
Pada yang membaca dan memberi komen, terima kasih daun keladi, sudi-sudikan membaca lagi .. hehe...

MENCARI SAKINAH


Kisah Najiha & Ustaz Umar.

Kisah mengenai perjalanan jodoh. Kisah aturan perjalanan hidup, bahawa setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Ini kisah permulaan hidup Ustaz Umar dan Najiha, yang bercita-cita tinggi mahu mendidik anak-anak menjadi hafiz al-Quran.

Happy reading ya!


Last edited by aylanins on 17-6-2013 04:35 PM

Reply

Use magic Report

Post time 14-6-2013 03:19 PM | Show all posts
tq tt...nice story.....teruskan smpi habis tau....
Reply

Use magic Report

Post time 14-6-2013 03:56 PM | Show all posts
ye lah happy membaca ni..
merangkak2 pon xpe aslkan smpai ke garisan penamat ..
nnti xpasal2 elok je tjuk mncari sakinah terus jdi mncari dimana penulis..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-6-2013 02:25 PM | Show all posts
nice story

semoga idea akan terus mencurah2
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-6-2013 03:39 PM | Show all posts
PENCERAMAH jemputan untuk Kursus Pengurusan jenazah ini ialah Ustaz Dr. Hasbi Mohd Nazir dibantu oleh dua orang fasilitator iaitu Ustazah Hajah Adibah Abdul Rahman dan Ustaz Umar Abdul Aziz. Kata Khadijah, semuanya dari Masjid Negeri.

Khadijah selaku pengarah program memulakan majlis dengan tayangan video ceramah mengenai jenazah. Sakit kepala Najiha berkurangan bila tengok tayangan video yang sayu itu. Mendengar kata-kata penceramah dalam video itu mengenai pentingnya tahu menguruskan jenazah, dia jadi sayu tiba-tiba. Siapa lagi yang diharapkan untuk menguruskan jenazah ibu bapa kalau bukan anak-anaknya sendiri. Dia menyeka air mata yang bertakung di kelopak mata.

Khadijah ini pun, sudahlah mata ini mengantuk tidak cukup rehat malam tadi, tayang pula video sedih begini. Nasib baik dia duduk di depan sekali, dia boleh sembunyi matanya yang merah bergenang air. Siapa tidak nangis tengok video ini memang hati batu agaknya, wah kamu Najiha. Entah-entah yang tidak menangis tengok video itu sebab hatinya memang tahan lasak, ditahan-tahan sampai rumah baru menangis.

Kursus itu dibahagikan kepada dua kategori. Satu lelaki, satu perempuan. Usai tayangan video dan sedikit ucapan, jemaah lelaki akan bergerak ke sudut hujung dewan, dan jemaah perempuan kekal di hadapan pentas untuk sesi tunjuk cara memandikan dan mengapankan jenazah.

Sepanjang Kursus Pengurusan Jenazah dijalankan, Najiha memerhati saja perjalanan majlis dengan wajah yang tidak bermaya. Pil Ponstan dia sudah telan sebiji. Kalau Cikgu Marianne nampak dia makan painkiller lagi, dah tentu kena syarah panjang, dengan ucapan, ‘tak elok makan painkiller selalu sangat.’ Tapi kalau migraine ini rasanya macam mahu dilaga-lagakan kepalanya ke dinding dewan, terpaksa telan juga sebiji Ponstan dos 500 mg sebiji. Rasa macam nak makan sebiji lagi pun ada.

Ingatkan dulu jadi cikgu kerja sekerat hari, ini melalut-lalut sampai ke hujung minggu, badan pun sakit-sakit. Perlahan-lahan Najiha bangkit, mahu cari tempat berehat. Kepalanya terasa panas. Migrain ini makin menjadi-jadi. Teringat makmal komputer yang ada penghawa dingin, yang pastinya kosong sekarang. Kalau tidur di sana untuk satu jam sahaja, set alarm pada telefonnya, boleh juga untuk kurangkan rasa sakit ini. Rasanya tidak berkunci sebab makmal komputer itu Ustaz Wan dan Ustaz Sabri yang jaga.  Bukankah Ustaz Sabri dan Ustazah Khadijah tidur di sana malam tadi dengan anak-anak mereka.

Ah, kalau dia hilang dari kursus ini sekejap pun rasanya tidak ada yang perasan. Orang lain semuanya sibuk dengar penerangan Ustazah Hajah Adibah Abdul Rahman. ‘Jenazah’ olok-olok yang wataknya dipegang oleh Kak Timah, ibu salah seorang murid di sini, sedang elok baring di atas tikar di tengah-tengah kaum perempuan di situ. Perlahan Najiha bangun dan bergerak menuju ke pintu tepi dewan. Harap tidak ada yang perasan dia hilang.


LAMA dah mengajar sini?” tanya Ustaz Wan pada Ustaz Umar yang berjalan di sebelahnya. Tadi dia di kelas di tingkat atas, memantau sekejap perjalanan Kem Bestari Solat. Sekarang murid-murid yang sudah dalam kumpulan masing-masing itu sedang diajar untuk sembahyang masbuk, jadi dia ada masa sekejap untuk turun ke dewan. Ada Ustaz Sabri, Ustazah Rafidah dan Ustazah Sarah yang memantau di sana.

“Adalah dalam 2 tahun. Tertarik dengan sekolah tahfiz kat sini, silibusnya teratur, jauh beza dari sekolah tahfiz yang ada banyak kat Malaysia ni,” jawab Ustaz Umar.

Selepas bersalam dan berkenalan dengan Ustaz Wan tadi, Ustaz Wan ajak dia ke makmal komputer untuk ambil barang kelengkapan mandikan  dan kapankan jenazah. Orang lelaki yang ikut kursus ini tidak ramai, dan Cikgu Masrip dan Cikgu Hasan sedang cari papan untuk jadikan contoh bagaimana mandikan jenazah atas papan mandi.
Last edited by aylanins on 17-6-2013 03:47 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-6-2013 02:07 PM | Show all posts
“Meja guru saya di dalam makmal ni. Bilik guru tak cukup tempat, maklum sekolah kecil, gred B,” cerita Ustaz Wan. “Kebetulan saya Guru Bestari merangkap penyelaras makmal komputer, itu yang duduk sini.”

Selalunya, orang akan tanya kenapa meja dia dan Ustaz Sabri di dalam makmal komputer. Tapi itulah nasib mengajar di sekolah kecil. Bilik guru yang sedia ada tidak dapat menampung bilangan guru yang sedia ada.

“Malam tadi tidur sini ke? Kata ada budak camping ya?” tanya Umar sambil mengitari sekeliling.

Kagum sebenarnya dengan keadaan sekolah yang kecil itu. Walaupun binaannya papan, tapi persekitarannya aman damai saja. Sekolah kampung katakan. Landskap memang cantik menawan. Ayam kampung pun suka hati je terkedek-kedek terlepas masuk dalam kawasan sekolah.  

“Saya tak. Ada cikgu lain yang bertugas. Cikgu-cikgu yang single itulah yang jadi mangsa hahaa…” Ustaz Wan gelak. Ya, bila lagi nak gunakan khidmat cikgu-cikgu yang belum berkeluarga kalau tak masa program perkhemahan begini. Dia mahu menolak tombol pintu makmal komputer bila mana terdengar derap kaki dari sebalik bangunan batu itu.

“Upsss… oh hai ustaz…” Najiha tiba-tiba muncul dari sudut bangunan makmal komputer. Dia terpegun melihat Ustaz Wan yang berdiri di hadapan pintu makmal.

“Nak gi mana? Tak start lagi eh?” soal Ustaz Wan hairan melihat Najiha tiba-tiba muncul di hadapannya. Awat muka cemberut begitu dik oiii… tudung pun senget-senget tu, Ustaz Wan tak jadi tolak pintu makmal.

Alamak, sikit lagi nak kantoi tidur dalam makmal, Najiha sudah garu kepalanya yang tidak gatal.

“Dah start, nak pergi tandas sebenarnya… hehe.” Pantas Najiha pusing kaki ke arah yang berlawanan menuju ke bangunan pra sekolah yang bersebelahan dengan bangunan makmal komputer. Huh, sikit lagi, fikirnya. Memang tak diredhai sungguh nak tidur masa kursus jenazah ni. Baik cuci muka  sekejap. Terkulat-kulat Najiha menolak pintu kelas pra sekolah yang tidak berkunci. Itu markas memasak mereka sepanjang perkhemahan ini.

Ustaz Wan sudah geleng kepala. Apa sajalah budak ni. Mesti tak cukup tidur ni malam tadi.

Ustaz Umar cuma melihat. Tapi muka itu macam pernah dilihatnya di mana-mana. Macam muka emak anak murid dia rasanya.

“Jemput masuk Ustaz…” kata Ustaz Wan yang sudah menolak pintu masuk makmal komputer. “Barang-barang tu saya simpan dalam bilik ni…” unjuknya pada bilik sederhana besar di bahagian belakang, di dalam makmal komputer sekolah itu.

“Bersepah.. biasalah, penuh dengan buku-buku. Kalau orang datang memantau, baru terhegeh-hegeh nak kemas hahaaa…” Ustaz Wan gelak malu dengan keadaan biliknya yang bersepah.

Buku-buku murid di atas meja gurunya berlambak belum disemak. Belum lagi dengan kotak jersi murid-murid di lantai. Meja Ustaz Sabri di bilik sebelah saja yang agak kemas sebab Khadijah selalu masuk sini hantar tapau makanan suaminya. Jadi sekali-sekala dia kemas meja suaminya.

“Tadi tu siapa? Cikgu ya?” tanya Ustaz Umar sambil tolong angkat kotak yang berisi barang-barang untuk kapankan jenazah. Ustaz Wan sudah ambil kotak yang satu lagi.

“Ya, cikgu. Cikgu semua wajib datang kursus ini.” Kata Ustaz Wan tertunduk-tunduk mencari sesuatu di bawah mejanya.

Ustaz Umar cuba mengingat-ingat. Ya, emak Rafiq rasanya. Rafiq yang kuat nangis itu. Rafiq yang kuat nangis tapi antara lima pelajar terbaik dalam hafazan di sekolah tahfiz itu. Macam betul tekaannya.

“Oo..? Suami dia cikgu jugak ke?” Tadi ada Cikgu Masrip cakap cikgu suami isteri yang handle perkhemahan pengakap ini. Dua-dua tidur kat makmal komputer sekolah malam tadi. Cikgu ini agaknya.

“Eh… suami? Dia tak ada suami…” sahut Ustaz Wan dengar tak dengar. Sudah, mana pergi tikar mengkuang tu? Budak pengakap dah bawa ke belum? Tadi kata tak ada, penat dah dia terbongkok-bongkok mencari di bawah mejanya.

“Oh… ya ke? Sorry… banyak tanya pula saya ni…” kesal Umar, mulut ni banyak sangat tanya. Tadi dia tanya-tanya sebab mahu tahu juga latar belakang ibu bapa muridnya. Oh… kesiannya Rafiq. Bapanya dah tak ada. Meninggal ke atau bercerai ya? Ibu Rafiq ni ibu tunggallah, kesiannya. Menyesal pula dia banyak tanya tadi.

“Mana pergi tikar ni? Dah bawa ke belum?” Ustaz Wan sudah cekak pinggang memandang sekeliling bilik. “Ya Allah… kat sini rupanya..” dia menghampiri tikar mengkuang yang digulung kemas di tepi almari buku.   

“Ustaz tanya apa tadi?” Ustaz Wan pandang Ustaz Umar yang sedang berdiri di pintu makmal, menunggunya.

“Tak ada apa-apalah… ni kotak ni je ke?” dia cuba ubah tajuk. Alahai, hatinya masih kasihan dengan Rafiq. Patut manja sangat. Ibunya saja yang jaga dia. Yang tua sikit yang selalu hantar Rafiq ke sekolah itu datuknya mungkin, Umar teringat pada seorang lelaki yang agak berumur yang selalu hantar Rafiq ke sekolah pagi-pagi.  

“Ya… ini saja. Mohlah Ustaz… tikar ni nanti suruh budak ambil. Budak-budak ni, tak nampak depan mata, terus kata tak ada.” Ustaz Wan sudah bergerak ke arah pintu. Ustaz Umar mengekor di belakangnya.
Last edited by aylanins on 4-8-2013 06:51 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-6-2013 04:10 PM | Show all posts
NI saya masuk sini ya Ustaz…” ujar Ustaz Wan mengarahkan budak pengakap dua orang itu letakkan cenderamata tadi ke kerusi belakang kereta Kancil itu. Dr. Hasbi sudah berangkat pulang. Ustazah Hajah Adibah pun sudah balik tadi, suaminya yang mengambil.

“Ya.. takpa letak je. Terima kasih. Maaflah kereta saya memang macam ni. Bersepah dengan buku-buku,” Ustaz Umar mengalih buku-buku di atas kerusi belakang ke tepi.

“Saya balik dulu ya Ustaz Wan,” Umar bersalam erat dengan Ustaz Wan.

“Ya.. terima kasih ustaz… senang-senang boleh kami jemput lagi.. buat kursus lain ke pulak..” sahut Ustaz Wan ikhlas. Senang hatinya berkenalan dengan Ustaz Umar itu. Terdetik hatinya mahu kenalkan Ustaz Umar itu dengan Ustazah Sarah yang ayu itu. Eh, tapi Sarah dah bertunang kot. Khadijah yang cakap dengan Ustaz Sabri, Ustaz Sabri cerita pada dia pulak.

Dengan Ustazah Suhana pun okay. Tapi malaslah pulak nak jadi tukang jodoh. Nanti tak ngam, dia pula kena salahkan. Ustaz Wan berlalu masuk ke kawasan sekolah semula. Kunci keretanya tertinggal di dalam makmal komputer.

Umar yang sudah masuk ke dalam kereta menghidupkan kereta Kancilnya. Sempat dia angkat tangan pada Ustaz Wan.

Dari cermin pandang belakang keretanya, dia nampak Proton Saga biru di belakang keretanya sudah sedia mahu bergerak keluar juga. Dia perasan wajah itu. Emak si Rafiq. Seketika degup jantungnya terasa pantas.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 08:37 PM GMT+8 , Processed in 0.118186 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list