Kuala Lumpur : Polis terus berpesta gol dalam kancah Liga Perdana musim ini apabila menewaskan Kuala Lumpur 4-0 di Stadium KLFA, Cheras semalam dengan semua gol dihasilkan selepas pertahanan tuan rumah, Ahmad Jihad Ismail dilayangkan kad merah pada minit ke-55.
Khairul Amar Kassim membuka jaringan untuk Polis pada minit ke-64 dan kemasukan penjaga gol simpanan Kuala Lumpur, Phoo Kai Lun menggantikan Azizon Abdul Kadir menyaksikan Dzul Haikal Shamery (m-83), Afif Amiruddin (m-90) dan Khairul Izuan Abdullah (m-91) menambah jaringan pelawat.
Di Stadium Hang Jebat, Johor menambah derita NS Betaria apabila menundukkan pasukan tercorot itu 2-0 hasil jaringan Farid Ramli (m-66) dan Muriel Juan Orlando (m-85).
Di Stadium Hang Tuah, KL SPA menang 4-2 ke atas Perlis dengan gol-gol tuan rumah diledak Fadly Iskandar (m-2), Sazali Suwandi (m-64) dan Khairol Azry (m-68 dan 73), manakala jaringan Singa Utara dihasilkan Ailim Fahmi (m-8) dan Antwi Agyare (m-39).
Di Stadium Selayang, Sime Darby melakar kemenangan pertama dalam misi menjuarai Liga Perdana musim ini apabila menewaskan Sabah 3-1. Pelawat terlebih dulu membuka jaringan menerusi Koh Traore (m-15) tetapi anak buah Ismail Zakaria bangkit merakam kemenangan menerusi Fahrul Razi Kamaruddin, Karlo Primorac dan satu gol sendiri pemain Sabah.
Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak berpesta gol dengan kemenangan 5-0 ke atas UiTM hasil jaringan Bobby Gonzales (dua gol), Joseph Kalang Tie, Ivan Babic dan Guy Bwele.
Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah mengatasi Pos Malaysia 1-0 hasil jaringan penalti pemain import dari Chile, Nelson San Martin pada minit ke-83.