|
MALAYSIA dan Australia yakin dapat memuktamadkan rundingan perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) membabitkan kedua-dua negara menjelang Mac ini.\rKedua-dua negara sangat komited untuk memuktamadkan rundingan yang bermula sejak 2005 itu sejajar dengan usaha meningkatkan hubungan perdagangan serta pelaburan masing-masing ke tahap baru.\r\n\n\n\n\r Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata rundingan FTA Malaysia-Australia itu berjalan lancar dan kedua-dua pihak kini hampir mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan isu-isu yang berbangkit berhubung perjanjian itu.\r\r\n\n\n\n\n Beliau berkata, antara isu berbangkit yang masih dalam rundingan termasuk penyelesaian pertikaian pelabur, automotif, cukai eksport dan kewangan.\r“Rundingan FTA Malaysia-Australia berjalan lancar. Kami yakin dapat memuktamadkan rundingan ini menjelang Mac ini dan berharap dapat memeterai perjanjian FTA pada Mei ini.\r“Kami berharap dengan muktamadnya perjanjian FTA ini, ia dapat membawa hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Australia (JTC) ke-16 di Kuala Lumpur semalam.\rMesyuarat sehari itu yang dipengerusikan oleh Mustapa dan rakan sejawatannya dari Australia, Dr Craig Emerson, menyaksikan kedua-dua menteri mengesahkan komitmen bersama yang dibuat oleh Perdana Menteri masing-masing bagi memuktamadkan FTA pada tahun ini.\r\n\n\n\rPada mesyuarat itu, Mustapa berkata selain membincangkan mengenai FTA, kedua-dua negara juga membincangkan pelbagai isu lain seperti perundangan pelabelan makanan Australia, peraturan pembalakan dan isu-isu pelaburan berkaitan pemprosesan sumber dan perlombongan, selain perkhidmatan kewangan.\rPada mesyuarat itu juga, beliau berkata kedua-dua pihak juga berjaya mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan beberapa isu berhubung perdagangan dan pelaburan membabitkan kedua-dua negara.\rPada Januari hingga November 2011, Australia ialah rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan dengan negara itu meningkat 6.1 peratus kepada RM34 bilion.\rEksport utama Malaysia ke Australia dalam tempoh itu termasuk minyak mentah, elektrik dan elektronik, produk petroleum ditapis dan produk kayu-kayan.\rPada Jun 2011, sebanyak 297 projek pengilangan membabitkan penyertaan Australia dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.2 bilion manakala pelaburan Malaysia di Australia adalah sebanyak RM2.4 bilion dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|