|
Projek SAMUR RM4.77b hasil 2.6 juta tan setahun menjelang 2015\rPETRONAS Chemical Group Bhd (PCG), pengeluar terbesar produk petrokimia di negara ini, bakal muncul sebagai pengeluar baja urea kedua terbesar di Asia Tenggara apabila Projek Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) bernilai RM4.77 bilion, beroperasi pada 2015.\r\n\n\n\n\r Projek yang akan dimajukan di Sipitang, Sabah bermula pada suku kedua tahun depan itu mampu melonjakkan pengeluaran baja urea PCG kepada 2.6 juta tan setahun berbanding 1.4 juta tan setahun sekarang.\r\r\n\n\n\n\n Pengerusinya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pembinaan kilang dengan kapasiti 2,100 tan sehari atau 1.2 juta tan setahun itu bertepatan pertumbuhan permintaan bagi baja urea di Asia Pasifik yang diunjur meningkat antara dua hingga tiga peratus setahun.\r\"Peningkatan disebabkan permintaan untuk keperluan pertanian yang semakin tinggi berikutan pertumbuhan pesat penduduk, perubahan corak pemakanan dan persaingan penggunaan tanah untuk tanaman komersial yang semakin besar.\r\"Ia menyediakan peluang baik kepada PCG mengembangkan perniagaan baja urea di pasaran penting seperti Asia Pasifik, khususnya di Asia Tenggara. Kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya menerusi projek SAMUR.\r\"Apabila projek itu siap, PCG berpotensi menjadi pengeluar kedua terbesar baja urea di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kedudukan PCG sebagai pelaksana utama perniagaan baja urea di rantau ini,\" katanya.\r\n\n\n\n\rBeliau berkata demikian kepada media selepas memeterai perjanjian Kerjasama Kejuruteraan Terperinci dan Asas, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (BEPCC) antara PCG dengan konsortium kontraktor projek SAMUR di Kota Kinabalu.\rKonsortium kontraktor projek itu dianggotai Mitsubishi Heavy Industries Ltd dari Jepun, Apex Energy Sdn Bhd dan Pt Rekayasa Industri dari Indonesia.\rIa disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Ketua Eksekutif PCG, Dr Abdul Hapiz Abdullah dan Naib Presiden Kanan Mitsubishi Heavy Industries Ltd, Naohito Hoshino.\rPada majlis itu, PCG turut menyerahkan surat pelantikan kepada Sabah Energy Corporation sebagai syarikat sekutu konsortium kontraktor SAMUR yang mewakili kerajaan Sabah bagi mengagihkan projek termasuk pembinaan jalan raya, jeti, landskap, keselamatan kepada syarikat tempatan.\rSementara itu, Musa berkata, projek SAMUR akan menjadi pemangkin pertumbuhan sektor petrokimia di Sabah yang turut membantu pembukaan industri lain termasuk industri sokongan dan hiliran berkaitan minyak dan gas, selain berkaitan perkhidmatan.\r“Projek ini juga dapat menyediakan peluang lebih luas kepada generasi di Sabah menceburi bidang teknikal profesional sekali gus membantu membina kemampuan dan kekuatan ekonomi negeri ini,” katanya.\rPETRONAS katanya, turut melatih juruteknik tempatan di beberapa kilang petrokimia seluruh negara untuk mengendalikan kilang PETRONAS Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd apabila projek SAMUR siap.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|