|
Fragmen: Sampai bila penggiat filem diberikan tongkat?Oleh Zainuri Misfar2011/08/08\n\n\n\n\n\n\n\nPENGUSAHA perfileman Malaysia sebenarnya sangat beruntung kerana kerajaan sentiasa bersedia membantu mereka. \rWalaupun pada masa yang sama, ada ketikanya penggiat industri perfileman asyik merungut banyak perkara, yang kebanyakannya melahirkan rasa tidak puas hati dengan sistem pengurusan dan pentadbiran filem, kerajaan tetap komited untuk memberi bantuan selagi mana yang boleh. \r\n\n\n\n\rPenggiat industri perfileman kita kalau boleh mahu melihat industri ini berada dalam keadaan yang realistik sepenuhnya. Apa saja yang diminta penggiat industri ini, kalau boleh, mesti dipenuhi. Maka kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) - satu-satunya agensi yang terbabit secara langsung dalam pembangunan dan kemajuan filem - terus-menerus melakukan pelbagai usaha untuk memastikan orang filem boleh meneruskan perniagaan ini dengan baik, sempurna dan paling penting, memberi keuntungan.\r\r\n\n\n\n\nTetapi, di sebalik usaha kerajaan memberikan pelbagai kemudahan, keselesaan, kesediaan mendengar segala keluhan dan sebagainya, ada persoalan timbul kenapa penggiat filem kita tidak sanggup membayar cukai atau duti hiburan sebanyak 20 peratus sebagai tanda terima kasih? Baru-baru ini, kerajaan juga menerusi FINAS melaksanakan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada penggiat filem bagi menggantikan pemulangan duti hiburan. Insentif ini diwujudkan atas ihsan atau budi bicara kerajaan untuk membantu penggiat filem untuk menerbitkan filem.\rMaksud membantu dan menggalakkan adalah untuk syarikat penerbitan yang mula berjinak-jinak dengan penerbitan filem. Memang betul, mereka perlu dibantu, diberikan tongkat sebelum jatuh tersungkur. Ia adalah langkah awal sebelum syarikat penerbitan itu betul-betul kukuh.\rHakikatnya, sudah ada syarikat perfileman yang kukuh, menghasilkan purata tiga hingga empat filem setahun secara konsisten. Malahan ada yang menghasilkan lebih daripada itu, hingga 10 filem setahun. Setiap filem pula mencatatkan kutipan kasar RM4 juta dan perkembangan mutakhir ini sudah ada filem tempatan membuat kutipan kasar melepasi angka RM10 juta.\rWajarkah syarikat penerbitan filem seperti ini terus menerima ITFC atau pemulangan duti hiburan? Atas alasan apa mereka berhak untuk menerima wang ihsan itu? Tidakkah memberikan wang ihsan ini sebenarnya sudah terkeluar daripada matlamat asalnya iaitu membantu dan menggalakkan syarikat penerbitan filem baru untuk terus berkarya dan menghasilkan filem?\r\n\n\n\n\rSebelum ITFC berkuat kuasa pada 1 Julai lalu, bayaran duti hiburan diperkenalkan pada 1 Julai 1987 menerusi satu perjanjian persefahaman antara Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bersama sokongan FINAS dengan kerajaan negeri. Menerusi MoU itu, kerajaan negeri bersetuju untuk mengembalikan duti hiburan dikutip oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada pengusaha filem kerana ketika itu syarikat perfileman menghadapi masalah mendapatkan keuntungan.\rKetika itu tidak ada Skim Wajib Tayang. Kemudahan pinjaman buat filem juga tidak ada. Tapi MoU bukanlah undang-undang atau satu akta. Ini bermakna FINAS tidak terikat atau bertanggungjawab untuk memulangkan duti hiburan.\rLagi pun sudah jelas, FINAS bukan agensi atau pihak yang bertindak untuk mengutip semula duti hiburan daripada filem yang ditayangkan di seluruh negara. Cuma, FINAS bertanggungjawab menjadi \'orang tengah\' antara PBT dengan orang filem. Dalam sesetengah kes, FINAS terpaksa membayar dulu duti hiburan ini kerana pihak panggung lewat untuk menyerahkan wang itu.\rBagi kita pula, sudah hampir 25 tahun penggiat industri filem menikmati pengembalian duti hiburan. Hasilnya, syarikat penerbitan filem kita yang menerbitkan filem, umpama datang dan pergi. Yang berkembang maju dan bertahan sehingga hari ini, bilangannya boleh dikira dengan jari. Cuma sejak tiga atau lima tahun kebelakangan ini, barulah kita nampak ada tiga hingga empat syarikat perfileman yang dilihat komited menerbitkan filem secara konsisten setiap tahun. Yang lainnya, lepas satu atau dua filem, nama syarikat itu selalunya lesap.\rBermula pada 2000, beberapa kerajaan negeri enggan mengembalikan duti hiburan ini. Dan, ini dengan tidak semena-mena orang filem melihat FINAS pula yang harus membayar duti hiburan itu. FINAS seberapa daya membantu dan meneruskan pemberian duti hiburan ini walaupun ia terpaksa mengambil peruntukan yang tidak seberapa daripada kerajaan kepada perbadanan ini.\rNamun, bilangan filem tempatan yang ditayangkan semakin banyak menjadikan kutipan kasar juga semakin besar setiap tahun. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Menurut Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Fatimah Ahmad, pada 2005 saja, perbadanan memperuntukkan sebanyak RM2.55 juta daripada kutipan tiket melalui Skim Wajib Tayang yang berjumlah RM26.6 juta. Tetapi selepas hampir 10 tahun, jumlahnya semakin membesar apabila FINAS terpaksa membayar balik duti hiburan berjumlah RM12.8 juta kerana kutipan filem meningkat berkali ganda iaitu RM74 juta. \rMenerusi ITFC, kutipan kasar sesebuah filem berjumlah RM2 juta dan kurang, insentif yang diberikan sebanyak 10 peratus daripada kutipan kasar itu atau kos pembiayaan salinan filem sebanyak RM3,500 setiap salinan tertakluk kepada maksimum 40 salinan. \rBagi filem yang mencatat kutipan kasar RM2 juta hingga RM4 juta, insentif yang diberikan ialah 10 peratus daripada kutipan kasar. Filem yang mencatat kutipan kasar lebih RM4 juta, tetapi kurang daripada RM6 juta, sebanyak 10 peratus akan diberikan bagi kutipan RM4 juta pertama dan lima peratus lagi bagi kutipan seterusnya, tetapi tidak melebihi RM6 juta. Sementara filem yang mencatatkan kutipan melebihi RM6 juta pula, insentif yang layak diberikan hanyalah RM500,000.\rMelihat kepada kaedah ITFC ini, bolehlah kita anggap sebagai faedah atau bonus kepada penggiat filem. Kalau pun hendak buat keuntungan, biarlah secara tulen. Bukannya hendak mencari untung dengan mengharapkan pemulangan duti hiburan atau wang ihsan ini. \rPercayalah, FINAS dari semasa ke semasa sudah tentu tidak akan membiarkan penggiat industri perfileman berada dalam kesusahan. Biarpun FINAS sering kali dibelasah teruk oleh orang filem, tetapi FINAS tidak pernah jemu membantu, memberi galakan dan menyediakan segala kemudahan mengikut apa yang mampu.\rJusteru, adalah wajar juga orang filem bermuhasabah diri memikirkan apa sebenarnya sebab filem mereka tidak laku apabila ditayangkan. Kalau hendak salahkan pada sistem dan peraturan penayangan, kenapa ada filem lain apabila ditayangkan boleh dapat kutipan yang sangat memberangsangkan. Kenapa kalau filem tidak laku, maka jari terus menuding kepada FINAS? Tetapi apabila ada filem dapat kutipan kasar RM6 juta, RM8 juta atau RM10 juta, tidaklah pula memberikan sedikit kredit kepada FINAS di atas peraturan dan sistem yang dipraktikkan sekarang. \rJadi, ada baiknya jangan menyalahkan FINAS tanpa melihat kepada kesilapan sendiri. \rSistem dan peraturan, malahan kewujudan FINAS itu sendiri adalah berdasarkan kepada kehendak, idea serta pandangan orang filem juga. FINAS hanya mentadbir, menguruskan, memajukan dan menggalakkan tetapi FINAS bukanlah \'jurujual\' yang mana kalau sesebuah filem tidak laku mereka pula yang dipersalahkan.\rUntuk melihat industri perfileman kita terus bergerak maju, tidak wajar hanya melihat kepada tanggungjawab daripada satu pihak saja, iaitu FINAS. Penggiat industri filem seperti PFM misalnya, harus ada inisiatif sendiri untuk mencari punca dan faktor sesebuah filem dapat sambutan atau sebaliknya. \rKita berharap tidak ada kedengaran rungutan mengenai ITFC di kalangan orang filem. Nasib baik kerajaan menerusi FINAS memperkenalkan ITFC sedangkan kerajaan juga boleh membuat keputusan untuk tidak memberi apa-apa insentif langsung kepada penggiat industri filem. - [email protected]
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|