CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 149|Reply: 0

Evolusi si mawas

[Copy link]
Post time 5-8-2011 01:05 PM | Show all posts |Read mode
Cerita, watak meyakinkan\rSIRI filem Planet of the Apes bermula pada 1968 apabila cerita mengenai angkasawan mendarat di sebuah planet asing mendapati mawas atau beruk ialah spesies dominan, manakala manusia pula, yang tidak dapat bercakap, sama ada diburu untuk dijadikan bahan kajian mahupun dibunuh begitu saja. Ia dihasilkan berdasar kepada buku tulisan Pierre Boulle.\r\n\n\n\n\rMelihat kejayaan besar dicapai filem berkenaan, empat judul susulan diterbitkan, masing-masing Beneath the Planet of the Apes (1970), Escape from the Planet of the Apes (1971), Conquest of the Planet of the Apes (1972) dan Battle for the Planet of the Apes (1973). Bahkan, pada 2001, sebuah filem bikinan semula Planet of the Apes arahan Tim Burton dihasilkan, menggunakan teknologi yang nyata lebih canggih.\rMenyedari kekuatan dalam siri filem terbabit, syarikat produksi di Amerika Syarikat berasakan laba masih boleh dipungut daripada jenama berkenaan biarpun 43 tahun sudah berlalu sejak filem pertamanya ditayangkan. \r\n\n\n\n\n\rSebuah filem baru yang dianggap sebagai judul yang memberikan nafas serta wajah baru kepada francais berkenaan diterbitkan Chernin Entertainment dengan edarannya dilakukan 20th Century Fox. Andainya Batman Begins berkuasa menarik balik perhatian peminat kepada jenama adiwira kelawar, begitulah juga harapan penerbit terhadap Rise of the Planet of the Apes ini.\rJudul terbaru ini bagai mengajak penonton mengikuti detik permulaan bagaimana haiwan berkenaan menjalani proses evolusi, yang seterusnya membawa kepada kebangkitan spesies terbabit.\rBiarpun tunjang ceritanya ada sedikit persamaan dengan filem keempat yang ditayangkan 39 tahun lalu, namun filem arahan Rupert Wyatt ini bukanlah kitaran semula filem itu. \rBahkan, peminat seperti diberikan pemahaman baru bagaimana permulaan kisah beruk yang menghuni sebuah planet berlaku apabila menyaksikan garapan terbaru sutradara British yang pernah menghasilkan The Escapist (2008) ini. Walaupun pada dasarnya sukar diterima akal, namun cerita rekaan oleh penulis Amanda Silber dan Rick Jaffa mempunyai kekuatannya tersendiri, dek kejituan olahan dan persembahan, untuk penonton setidak-tidaknya menerima paparan yang dipersembahkan kali ini. \rRise of the Planet of the Apes mengadun elemen terkini untuk membuat kita percaya, kecanggihan bidang sains dan teknologi mampu mencetuskan revolusi yang akhirnya menukar bentuk kuasa di muka bumi. Apabila manusia cuba menjadi tuhan, lalu malapetaka yang mendatang. Ataupun ia sebenarnya bukan bencana, sebaliknya ketentuan mahupun suratan.\rSemuanya bermula apabila penawar penyakit Alzheimer yang diusahakan seorang saintis di San Francisco, mula digunakan ke atas spesies berbulu berkenaan. Seperti mana penonton pernah menyaksikan kisah virus menukar manusia menjadi zombi dalam beberapa filem sebelum ini, begitulah juga penawar penyakit terbabit mencetuskan sebuah revolusi.\rKisah bermula dengan Will Rodman yang berusaha untuk mencari penawar untuk penyakit itu sejak bertahun-tahun lama. Apabila ubat dicari dirasakan sudah ditemui, dia mencubanya ke atas cimpanzi. \rMalangnya, akibat salah faham, primat yang sudah pun disuntik dengan cecair itu dibunuh, tanpa disedari ia sebenarnya mempunyai anak kecil.\rWill membawa pulang anak cimpanzi tadi, lalu menamakannya Caesar. Selepas beberapa tahun, Caesar menunjukkan kepintaran yang diwarisi daripada ibunya. Namun, sebuah insiden di kawasan kejiranan terbabit membuatkan haiwan itu terpaksa dikurung.\rDi sana, Caesar berasakan dirinya tidak dilayan seadilnya. Dilihat sebagai haiwan biasa, seperti juga puluhan mawas lain yang dikurung di pusat berkenaan, cimpanzi pintar itu mula berasakan tekanan. Keadaan itu menjadi penggerak kepada sebuah pemberontakan. \rWatak ciptaan CGI bintang sebenar\rBEBERAPA hari selepas menonton Rise of the Planet of the Apes, penulis belum dapat melupakan filem terbabit. Sudah bertahun-tahun perasaan sedemikian tidak dirasai, mungkin sejak menonton filem bercorak drama arahan Goerge Miller, Lorenzo’s Oil, hampir 20 tahun lalu. Walaupun genre kedua-duanya berbeza, namun kekuatan emosi yang disuntik dalam penceritaan dua filem berkenaan memang menjadi. Andainya keampuhan lakonan Susan Sarandon dan Nick Nolte serta perasaan yang dipaparkan memperkuatkan Lorenzo’s Oil, menerusi Rise of the Planet of the Apes, elemen itu amat dirasa menerusi mimik muka Caesar, walaupun wataknya hanyalah direalisasikan menerusi teknik imejan janaan komputer (CGI).\rAndy Serkis yang berada di sebalik watak cimpanzi pintar itu juga harus mendapat pujian. Bahasa tubuhnya membuatkan kita percaya, itulah primat yang terperangkap dalam dua dunia - fizikal haiwan dan akal sepintar manusia. Harus diingat, Serkis jugalah insan yang menjayakan watak Smeagol dan Gollum dalam The Lord of the Rings (2001 - 2003), serta King Kong dalam filem buatan semula pada 2005.\rBiarpun sekadar watak CGI, emosi yang dipaparkan pada wajah Caesar jelas kelihatan. Sama ada gembira, berduka, tertekan mahupun marah, semuanya boleh disaksikan secara terang-terangan. Keupayaan pakar grafik dan visual filem ini menonjolkan rasa yang begitu terserlah menerusi sentuhan komputer mereka bagai memberikan gambaran, suatu hari nanti, pelakon sebenar atau bakat manusia tidak lagi diperlukan dalam penghasilan filem masa depan.\rKemajuan itu juga menunjukkan betapa teknik solekan prostetik seperti digunakan dalam filem pertama, yang mendapat pujian melangit ketika itu, kini tidak lagi diperlukan. Sebaliknya ia sudah berkembang maju ke dalam bentuk CGI yang nyata lebih berkesan dalam menyalurkan emosi atau perasaan kepada watak mawas. \rCaesar, dengan kepintaran pakar grafik komputer masa kini, muncul bintang sebenar. Kehadiran James Franco yang pernah dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Academy menerusi aksinya dalam 127 Hours tahun lalu juga sukar untuk menidakkan kekuatan watak cimpanzi berkenaan.\rMenonton filem ini, kita nyata sekali dibawa ke sebuah pengalaman baru dalam menikmati kisah klasik planet mawas. Garapannya berupaya membawa persembahan yang bukan saja begitu relevan dengan keadaan masa sekarang, bahkan kebolehpercayaan yang membuatkan penonton teringat-ingat ceritanya, walaupun selepas berhari-hari tamat tayangan.\rINFO\rFilem: Rise of the Planet of the Apes\rGenre: Fiksyen Sains\rPengarah: Rupert Wyatt\rPenulis: Amanda Silver, Rick Jaffa\rPelakon: James Franco, Freida Pinto, Andy Serkis, Tom Felton, David Hewlett, Chelah Horsdal, Brian Cox, John Lithgow\rTayangan: Mulai 4 Ogos 2011

[Posting Asal]                [Kembali ke Berita Rakyat]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 08:03 PM GMT+8 , Processed in 0.095665 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list