|
Prestasi kewangan cemerlang separuh pertama 2011\rBANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) yakin dapat mengekalkan pembayaran dividen pada kadar 15 peratus bagi tahun ini berdasarkan prestasi kewangan cemerlang yang dicatatkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini.\r\n\n\n\n\r Dalam tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun lalu, bank koperasi itu meraih keuntungan bersih RM788.6 juta, meningkat 23.2 peratus berbanding RM640.3 juta yang dicatatkannya dalam tempoh sama tahun lalu.\r\r\n\n\n\n\n Ini diraihnya daripada pendapatan bersih RM1.76 bilion, meningkat 8.6 peratus berbanding RM1.62 bilion.\rMenteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata prestasi baik dicatatkan Bank Rakyat dalam separuh pertama tahun ini dicapai berikutan pertumbuhan kukuh pendapatan pembiayaan sejajar pertumbuhan tinggi jumlah baki pembiayaan serta pengukuhan kualiti aset.\rBeliau berkata, pendapatan daripada sumber pembiayaan dalam tempoh itu meningkat kepada RM2.19 bilion berbanding RM1.95 bilion dengan 91.3 peratus atau RM2.0 bilion disumbangkan pembiayaan konsumer, manakala 8.7 peratus atau RM191.4 juta oleh perbankan komersial.\r“Berdasarkan prestasi cemerlang dicatatkan setakat ini, Bank Rakyat tidak mempunyai masalah untuk memberi dividen sebanyak 15 peratus tahun ini,” katanya pada majlis pengumuman prestasi kewangan itu di Kuala Lumpur semalam.\r\n\n\n\n\rIsmail Sabri menegaskan, pihaknya yakin Bank Rakyat dapat mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.85 bilion tahun ini berdasarkan prestasi cemerlang pada separuh pertama itu. \rBagi separuh pertama 2011, jumlah aset Bank Rakyat meningkat 24.2 peratus atau RM13.50 bilion kepada RM69.32 bilion berbanding RM55.81 bilion pada tempoh sama tahun lalu.\rBank itu juga merekodkan baki bersih pembiayaan sebanyak RM47.20 bilion iaitu peningkatan sebanyak 11.1 peratus atau RM4.73 bilion.\rKualiti aset bank koperasi itu pada keseluruhannya adalah kukuh pada akhir Jun lalu dengan mencatatkan nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPL) kasar pada kadar 2.9 peratus berbanding 5.4 peratus pada akhir Jun 2010.\rDalam tempoh itu, jumlah deposit daripada pelanggan meningkat 38.8 peratus kepada RM56.44 bilion berbanding RM40.65 bilion tahun lalu.\rDana pemegang sahamnya meningkat 16.8 peratus kepada RM6.91 bilion pada akhir Jun tahun ini dengan bilangan anggota seramai 910,313 dengan 908,863 adalah individu dan 1,450 koperasi.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|