|
Penganjur ubah tarikh kepada 1 Oktober demi keselesaan, keselamatan peminat\rBIARPUN sedikit kecewa dengan penundaan Konsert Raksasa 2: Blues Gang & Sweet Charity yang sepatutnya berlangsung pada 9 Julai depan di Stadium Merdeka, namun dua kumpulan lagenda, Sweet Charity dan Blues Gang tidak sesekali patah semangat.\r\n\n\n\n\rMemang mereka tidak sabar menantikan hari besar itu selepas kali terakhir bergabung 27 tahun lalu, namun berikutan sesuatu yang tidak dielakkan, vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip mengambil sikap terbuka dengan menerima arahan pihak berkuasa.\r\r\n\n\n\n\nMenurut Ramli, penundaan konsert itu ke tarikh yang sudah dipersetujui iaitu 1 Oktober depan di lokasi yang sama memberi hikmah kepada semua pihak.\r“Inilah satu ketentuan di luar jangkaan, namun semangat kami masih tebal untuk meneruskan latihan agar persembahan yang bakal berlangsung nanti lebih sempurna daripada apa yang sudah kami rancangkan.\r“Walaupun agak kurang senang dengan apa yang akan berlaku, namun saya harus juga menerimanya sebagai satu hikmah, sekurang-kurangnya kami mempunyai masa yang lebih panjang untuk mengadakan latihan,” katanya yang mengucapkan syabas kepada penganjur Netzah Production Sdn Bhd kerana membuat keputusan yang cepat dan bijak.\rRamli juga mengingatkan kepada semua anak seni tempatan, muzik baginya sesuatu yang indah untuk ditafsirkan dan sudah diatur oleh yang Maha Berkuasa.\r\n\n\n\n\rPengamal muzik juga menegaskan muzik adalah medium yang boleh menyatukan semua masyarakat dan bukan untuk berpecah-belahkan, justeru mengambil sikap mengalah untuk mengelakkan daripada aspek keselamatan adalah keputusan yang bijak.\r“Penganjur membuat keputusan yang tepat menunda konsert ini, begitu juga dengan peminat setia kami, Insya-Allah kita akan bertemu Oktober depan dan saya menjanjikan ia akan menjadi lebih baik daripada yang sudah kita rancangkan.\r“Sekali lagi saya tidak ada masalah dengan penundaan konsert ini kerana ia semuanya kerja tuhan, namun saya hanya merasa simpati kepada penganjur yang terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit dengan apa yang sudah diaturkan sejak dulu bagi memastikan konsert ini dapat direalisasikan,” katanya yang mengakui peminatnya bukan saja akan datang dari negara ini malah dari Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei yang sudah menempah tiket sebelum ini.\rKonsert Raksasa 2: Blues Gang & Sweet Charity terpaksa ditunda kerana pada hari berkenaan kemungkinan besar berlaku demonstrasi oleh Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang dikhuatiri boleh mengundang masalah keselesaan dan keselamatan kepada peminat atau mereka yang menyaksikan konsert itu. \rSementara itu, Penerbit Eksekutif Netzah Production Sdn Bhd, Shirazdeen Karim berkata, sebagai penganjur konsert itu, pihaknya harus memastikan keselamatan penonton menjadi keutamaan.\r“Selepas berbincang bersama pihak berkuasa, konsert itu terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan. Tarikh baru akan berlangsung pada 1 Oktober di Stadium Merdeka,” katanya.\rPada konsert selama dua jam setengah itu, Blues Gang yang dibarisi Ito Mohd, Shaik Abdul Karim Shaik Ahmad, Jim Madasamy, Abdul Ghani Talip dan Julian Mokthar. Sweet Charity pula dimantapkan oleh Ramli Sarip, Rosli Mohalim, Ahmad Jaafar Jawahir dan Rahman Sarbani akan dibantu oleh Hamid Ahmad, Kudin Ramly serta Kamarulbahrin Hussin.\rINFO \rKonsert Raksasa 2: Blues Gang & Sweet Charity \rLokasi: Stadium Merdeka, Kuala Lumpur \rTarikh: 1 Oktober 2011 \rTiket: RM73 \rKeterangan Lanjut: Hubungi 03-87754666 atau layari www.airasiaredtix.com
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|