
Hafizah (kanan) bersama rakan sekerjanya, Alyaa Nadzirah Hambele menunjukkan produk baharu Hi-Bread, biskut makmur yang turut dijual di bazar Ramadan.
KUCHING: Penyertaan sulung Hi-Bread di Bazar Ramadan Stutong membuka peluang kepada syarikat bakeri tempatan itu untuk memperkenalkan produk mereka secara lebih dekat kepada orang ramai.
Salah seorang pekerjanya, Hafizah Hosen, 29, berkata penyertaan kali pertama itu memberi pengalaman baharu kepada mereka berbanding hanya beroperasi di premis tetap sebelum ini.
“Kami mahu cuba benda baharu. Biasanya kami hanya di tempat kerja, jadi kali ini kami buka gerai untuk mengiklankan makanan yang kami ada.
“Sempena Ramadan, kami turut memperkenalkan Menu Rahmah iaitu tiga biji roti dengan harga RM5 dan dalam tiga biji itu mesti ada satu milo bun,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Stutong, di sini.
Menurutnya, Hi-Bread turut membuka dua gerai di Bazar Satok.
Dari segi sambutan, antara produk paling mendapat permintaan ialah bun mentega, bun milo, ‘my roll’ dan cheese stick.
“Kami juga ada produk baharu seperti biskut makmur dan biskut makmur yang baru diperkenalkan untuk pasaran Ramadan ini,” ujarnya.
Hafizah turut mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Bazar Ramadan Stutong dan singgah di gerai mereka.
“Datanglah ke Bazar Stutong dan singgah di gerai kami,” katanya.

Suasana hari pertama di Bazar Ramadan Stutong yang turut dikunjungi pelbagai kaum yang turut membeli juadah disediakan. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Selain Hi-Bread, Bazar Ramadan Stutong turut menyediakan pelbagai menu juadah termasuk kuih tradisional, makanan seperti nasi, lauk-pauk serta mi selain minuman seperti balang Viral, yang juga menjadi pilihan kepada pengunjung.
Bazar Ramadan Stutong antara bazar yang disediakan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang menyediakan 160 gerai terdiri daripada makanan, minuman, panggang dan kuih-muih.
Bazar yang bermula hari ini itu dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan dihadiri Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng.
Terdahulu pengerusi pengelola Bazar Ramadan Stutong Othman Bujang dalam ucapannya berkata, pada tahun ini sebanyak 160 gerai mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman yang mencerminkan kekayaan tradisi kulinari serta kepelbagaian budaya masyarakat negeri ini.
Katanya bazar Ramadan bukan sekadar tempat mendapatkan juadah berbuka puasa tetapi juga platform ekonomi rakyat serta ruang interaksi sosial yang mengeratkan hubungan komuniti.
Sumber : Utusan Borneo
|