
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.- Gambar IPD Bau
BAU: Seorang gadis berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Valentine Day baru-baru ini, rupanya tinggal di rumah teman lelaki di sebuah kampung di Bau.
Difahamkan, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Padawan pada 17 Februari iaitu sekitar jam 5.30 petang selepas laporan polis berhubung kehilanganya dibuat.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A.Rahman berkata mangsa kemudian dibawa oleh keluarganya membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Doktor pakar di HUS yang melakukan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan terdapat kesan koyakan lama dan baru di kemaluan mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Susulan itu, keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa mangsa telah dirogol oleh teman lelakinya.
Bertindak atas laporan tersebut, teman lelaki mangsa yang berusia 19 tahun telah ditangkap untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek mula berkenalan sejak November 2025 melalui aplikasi TikTok dan tidak pernah berjumpa sehingga pada hari mangsa dilaporkan hilang (14 Februari).
Siasatan lanjut kes masih dijalankan dibawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
|