Bomba naik tangga ke tingkat 15, selamatkan 13 terperangkap dalam lif
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Februari 14, 2026 @ 10:01pm

Pasukan bomba membantu menyelamatkan seramai 13 individu terperangkap dalam lif yang terhenti di tingkat 15 sebuah pangsapuri di Lengkok Kelicap, Mutiara Perdana. - Foto ihsan JBPM
BAYAN LEPAS: Lif yang terhenti di tingkat 15 sebuah pangsapuri di Lengkok Kelicap, Mutiara Perdana di sini, hari ini menyebabkan 13 mangsa yang terperangkap di dalamnya mengharungi detik cemas.
Kesemua mangsa yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita itu berada dalam keadaan baik selepas diselamatkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan kecemasan diterima pihaknya pada jam 5.25 petang.
Katanya, khidmat khas pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati kes berkenaan membabitkan lif yang terhenti di tingkat 15 dan terdapat seramai 13 mangsa terperangkap di dalamnya.
"Berikutan akses lif yang tidak berfungsi, pasukan penyelamat terpaksa naik ke tingkat 15 menerusi tangga kecemasan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Mengulas lanjut John berkata, pihaknya dengan berpakaian pelindung diri (PPE) lengkap menggunakan peralatan khas dan kunci bagi membuka pintu lif.
"Pasukan penyelamat mengambil masa selama dua minit bagi membuka pintu lif berkenaan.
"Lokasi kemudian diserah kepada pihak pengurusan bangunan bagi tindakan lanjut," katanya lagi.
Operasi yang membabitkan seramai enam anggota itu ditamatkan pada jam 5.52 petang.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1509707/bomba-naik-tangga-ke-tingkat-15-selamatkan-13-terperangkap-dalam-lif
|