
Dr. Rundi (tengah), Martin (dua kiri), Dr. Adrian (kiri), Dominic (tiga kiri) serta yang lain ketika menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak di Sibu pada malam tadi.
SIBU: Penganjuran Sarawak Agrofest di Bintulu mencatatkan hasil jualan memberangsangkan sebanyak RM6.44 juta dengan kehadiran 811,544 pengunjung, sekali gus membuktikan sektor pertanian negeri ini terus berkembang pesat dan mendapat sambutan luar biasa masyarakat.
Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat berkata, pencapaian tersebut merupakan kemuncak kepada siri penganjuran Agrofest di lima lokasi lain iaitu Limbang, Pakan, Serian, Spaoh dan Subis sepanjang tahun 2025.
"Lima acara Agrofest itu yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama rakan strategik berjaya merekodkan jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM2.39 juta serta menarik 40,331 pengunjung.
“Manakala Sarawak Agrofest di Bintulu sebagai acara kemuncaknya telah mencatatkan hasil jualan RM6.44 juta dengan jumlah kehadiran 811,544 pengunjung.
"Ini menunjukkan potensi besar sektor agromakanan serta kemampuan komuniti tani menjana pendapatan melalui platform yang disediakan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pada malam tadi.
Dominic menegaskan, kejayaan penganjuran Agrofest bukan sekadar mencatat nilai jualan, malah berperanan sebagai platform memperluas jaringan pasaran, mempromosi produk tempatan serta meningkatkan pengetahuan komuniti tani terhadap teknologi dan inovasi pertanian.
Katanya, landskap pertanian Sarawak kini telah berubah daripada sistem sara diri kepada pertanian komersial dan seterusnya ke arah pertanian moden berasaskan teknologi, inovasi serta data.
"Peranan Jabatan bukan sekadar melaksanakan program dan projek, sebaliknya bertindak sebagai penghubung strategik antara dasar kerajaan dan keperluan rakyat. Kita bukan sahaja mendengar suara komuniti tani, tetapi turut memberikan bimbingan dan sokongan berterusan kepada petani serta pemain industri," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata sektor pertanian kini berdepan cabaran seperti perubahan iklim, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos input serta keperluan mendesak untuk mengamalkan pertanian moden dan mampan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga Jabatan Pertanian Sarawak agar terus komited dan bersedia beradaptasi dengan perubahan selaras aspirasi negeri untuk muncul sebagai peneraju pertanian moden di rantau ini.
Dominic turut mengingatkan bahawa usaha memperkukuh sektor pertanian adalah sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menyasarkan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Jabatan Pertanian Sarawak turut tersenarai dalam Top 9 Finalis Anugerah Emas kategori Jabatan sempena Hari Perkhidmatan Awam 2025 bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS), satu pengiktirafan berprestij terhadap kecemerlangan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.
"Transformasi sektor pertanian tidak akan tercapai tanpa penyertaan aktif semua pihak. Dengan semangat kerja berpasukan dan keberanian untuk berinovasi, saya yakin kita mampu melakar kejayaan lebih besar pada masa hadapan," katanya.
Hadir sama ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak) Datuk Martin Ben dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr. Adrian Susin Ambud.
Sumber : Utusan Borneo
|