
DR ANNUAR
SIBU: Seramai 5,784 pelajar di empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri di Sarawak menerima manfaat pendidikan tinggi percuma setakat Februari tahun ini menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mencatatkan jumlah penerima tertinggi dalam kalangan institusi terbabit.
“Tahniah kepada UTS! Tahun ini menandakan permulaan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma (FTES) oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, skim berkenaan memberi tumpuan kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Perubatan, Undang-Undang, Perakaunan, Kewangan dan Psikologi selaras dengan keperluan pembangunan bakat Sarawak.
Menurutnya, FTES merupakan satu lagi inisiatif kerajaan Sarawak bagi memperkukuh sektor pendidikan serta menyokong aspirasi negeri ini untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Mengulas pecahan keseluruhan 5,784 pelajar tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata UTS merekodkan 2,991 penerima, diikuti Swinburne University of Technology Sarawak Campus dengan 2,009 pelajar, Curtin University Malaysia (573) dan i-CATS (211).
Dr Annuar menjelaskan antara objektif skim itu adalah menyediakan akses sama rata kepada pendidikan tinggi, melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berpendidikan tinggi, mengurangkan beban kewangan pelajar serta keluarga, selain menggalakkan pembelajaran berterusan dan kecemerlangan akademik.
Beliau turut menasihatkan pelajar supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.
Untuk rekod, FTES diperkenalkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam Belanjawan Sarawak 2023.
Skim itu membolehkan belia Sarawak melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri bermula tahun ini, meliputi yuran pengajian serta elaun bulanan bagi menampung perbelanjaan asas sepanjang tempoh pengajian.
Sumber : Utusan Borneo
|