CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 19533|Reply: 0

[Sarawak] Kerajaan Sarawak lulus tanah 15 ekar bangunkan 60 unit RSP di Santubong: Abang Johari

[Copy link]
Post time 13-2-2026 10:58 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 13-2-2026 10:59 PM



Abang Johari menyerahkan replika kunci RSP Santubong kepada salah seorang penerima disaksikan yang lain. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

SANTUBONG: Kerajaan Sarawak meluluskan secara prinsip tanah seluas 15 ekar bagi membangunkan 60 unit Rumah Spektra Permata (RSP) di Santubong dalam usaha memperluaskan akses perumahan mampu milik kepada rakyat negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelulusan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pembangunan di kawasan berkenaan mencecah kira-kira 120 unit, termasuk 60 unit yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Menurut beliau, projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan perancangan pembangunan infrastruktur yang sedang giat dijalankan di kawasan itu.

Beliau menjelaskan, sebuah jalan baharu yang kini dalam pembinaan dijangka siap pada hujung tahun ini dan bakal membuka lebih banyak potensi pembangunan perumahan di kawasan sekitar Santubong.

“Apabila jalan ini siap kelak, kita akan mempunyai lebih banyak ruang untuk membangunkan projek perumahan tambahan di kawasan berhampiran,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Tapak Projek RSP Santubong di sini, hari ini.

Terdahulu, Abang Johari hadir pada Majlis Penyerahan Kunci RSP Santubong di tapak projek yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Tambah beliau, dengan adanya jaringan jalan baharu itu, Kerajaan Sarawak menjangkakan antara 500 dan 1,000 unit rumah berpotensi dibangunkan pada masa hadapan, bergantung kepada kesesuaian tapak dan perancangan seterusnya.

Abang Johari berkata, perancangan pembangunan tersebut bukan sahaja tertumpu kepada golongan B40, malah turut mengambil kira keperluan golongan M40 agar pembangunan lebih inklusif dan seimbang.



Abang Johari (tengah) melihat reka bentuk RSP Santubong. Turut kelihatan Dr Sim (kanan), Fathi (kiri). - Gambar Mohd Faisal Ahmad

Menurutnya, Kerajaan Sarawak perlu merancang pelbagai julat harga rumah yang bersesuaian dengan kemampuan rakyat, khususnya dalam keadaan kos sara hidup dan kadar pinjaman yang semakin meningkat.

Beliau menegaskan, pembangunan di kawasan bandar satelit atau pinggir bandar seperti Santubong perlu disokong dengan kemudahan pengangkutan awam dan akses yang baik bagi memastikan nilai serta daya huni kawasan tersebut terus meningkat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan(HDC) Fathi Hambali berkata, pihaknya komited memastikan projek RSP Santubong dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi piawaian yang ditetapkan Kerajaan Sarawak.

Menurut beliau, aspek perancangan akan memberi penekanan kepada susun atur yang sistematik, kemudahan asas mencukupi serta persekitaran yang selesa bagi memastikan kesejahteraan bakal penghuni.

Katanya, HDC akan bekerjasama rapat dengan agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan proses pembangunan berjalan lancar, termasuk dari segi kelulusan pelan dan penyediaan utiliti.

“Projek ini bukan sahaja menyediakan rumah mampu milik, tetapi juga bertujuan membentuk komuniti yang terancang dan mampan selaras dengan visi pembangunan Sarawak,” katanya.

Projek RSP Santubong dibangunkan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) berkeluasan 800 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur dan anjung kereta.

Projek itu melibatkan pembinaan 62 unit rumah di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Santubong dan dilaksanakan oleh HDC bermula 9 Jun 2023 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 15 Oktober 2025 dengan kos keseluruhan berjumlah RM17.20 juta.

Harga satu unit RSP adalah RM160,000 dan penerima layak menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS) sehingga RM10,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.



Satriamill Amil bersama isteri Nur Aziera Laimi serta dua anak tersenyum gembira selepas menerima replika kunci RSP Santubong. - Gambar Mohd Faisal Ahmad


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-2-2026 01:39 AM GMT+8 , Processed in 0.159068 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list