CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 19117|Reply: 0

[Sabah] Polis rampas dadah RM174 juta tumpaskan sindiket terbesar di Sabah

[Copy link]
Post time 13-2-2026 10:47 PM | Show all posts |Read mode


OP COLEOPTERA: Rampasan dadah yang diperoleh sepanjang pelaksaan Op Coleoptera.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini menerusi Op Coleoptera dan Op Bayu 2 dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM174 juta.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kejayaan operasi bersepadu itu hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Lembaga Pelabuhan Malaysia.

“Operasi ini membawa kepada rampasan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang selain penahanan lapan suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun.

“Sindiket ini dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah merentasi Laut China Selatan dan menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan sebelum menyimpan bahan terlarang dalam kontena di premis logistik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.



RAMPAS: Mohd Khalid menunjukkan hasil rampasan Op Bayu semasa sidang media di IPK Sabah.

Beliau berkata, operasi pertama bermula pada 20 Januari lalu apabila pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menyerbu sebuah rumah di Penampang dan menahan dua lelaki tempatan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 548 kilogram methamphetamine dan 31 kilogram pil ekstasi dalam sebuah kenderaan motorvan dan premis berkenaan.

“Pada hari sama, serbuan kedua di lokasi berasingan di daerah sama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing, selain rampasan tambahan methamphetamine seberat 1.6 kilogram.

“Susulan risikan lanjut, polis menyerbu sebuah premis logistik di Pelabuhan Klang pada 21 Januari lalu dan merampas 255 kilogram methamphetamine yang dipercayai belum sempat dihantar ke Sabah,” katanya.

Katanya, serbuan seterusnya di Pelabuhan Teluk Sepanggar menemukan 1,202 kilogram methamphetamine dalam tiga kontena, manakala pemeriksaan di premis logistik di Jalan Tuaran, Inanam membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ekstasi, ketamin, cecair vape disyaki kokain dan pil Erimin 5.

“Selain itu, pemeriksaan sebuah lori kontena di sekitar Kota Kinabalu menemukan 679 kilogram methamphetamine dan 52 kilogram ketamin, manakala beberapa tangkapan susulan dibuat di Lembah Klang dan Penampang.

“Secara keseluruhan, Op Coleoptera mencatat rampasan 3,043.5 kilogram methamphetamine, 102.5 kilogram ketamin, 90 kilogram pil ekstasi, empat kilogram cecair vape disyaki kokain serta 2.6 kilogram pil Erimin 5,” katanya.

Mohd Khalid berkata, jumlah dadah berkenaan berupaya menjejaskan kira-kira 16 juta individu sekiranya memasuki pasaran, sekali gus memberi ancaman serius kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam operasi sama katanya, polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM1 juta termasuk kenderaan mewah, motosikal berkuasa tinggi, jam tangan mewah, wang tunai RM504,850 dan barangan kemas mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Sementara itu, Op Bayu 2 yang dijalankan pada 5 Februari lalu di Penampang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan bersama rampasan 101.7 kilogram methamphetamine bernilai RM5.66 juta di kawasan parkir sebuah bangunan.

“Siasatan lanjut membawa kepada lima lagi tangkapan dan rampasan tambahan melibatkan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, ketamin dan Erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM69.6 juta.

“Rampasan dalam Op Bayu 2 merangkumi 111.3 kilogram syabu, 419.62 kilogram serbuk ekstasi, 6.787 kilogram pil ekstasi serta sejumlah kecil ketamin dan Erimin 5 yang mampu menampung kira-kira 339,000 penagih bagi sekali penggunaan,” katanya.

Tambahnya, polis turut menyita beberapa kenderaan, telefon bimbit dan wang tunai dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket berkenaan.

“Siasatan mendapati sindiket aktif sejak beberapa tahun lalu dan menggunakan premis logistik serta kontena bagi menyembunyikan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Empat suspek sudah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, manakala beberapa suspek lain masih dalam siasatan lanjut.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah dan akan terus memperhebat usaha bagi menumpaskan rangkaian sindiket jenayah ini,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah secara menyeluruh.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-2-2026 01:39 AM GMT+8 , Processed in 0.036298 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list