
MIRI: Empat buruh ladang warga asing dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Majistret (Litar) Marudi, pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melupuskan bukti dengan menanam mayat seorang lelaki tanpa menjalankan bedah siasat.
Mahkamah turut menetapkan 13 hingga 15 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan bagi tertuduh kedua, Mohammad Hasrudi Amran, 19, yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.
Majistret Ashok Linggam menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira pengakuan bersalah keempat-empat tertuduh yang menjimatkan masa dan kos mahkamah, selain meneliti fakta kes, rayuan, keseriusan kesalahan serta kepentingan awam.
Tertuduh, Amirullah Tekko, 37; Raeng, 23; Alpian, 25; dan Abdul Rahman, 19, kesemuanya dari Indonesia, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan keterangan kes, kesemua tertuduh didapati telah melupuskan bukti berkaitan satu kes bunuh terhadap seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai A.Akmal, 33, dengan menanam mayat mangsa tanpa bedah siasat.
Perbuatan itu dilakukan dengan pengetahuan bahawa tindakan berkenaan boleh melindungi pesalah utama, Muhammad Hasrudi Amran daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu secara bersama antara jam 10 malam 1 November 2025 hingga 3.30 pagi 2 November 2025, di Blok 7, Fasa 1, Ladang PT Citra Indah Sdn Bhd, Long Jegan, Tinjar, Baram.
Ketika rayuan, keempat-empat tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ini adalah kesalahan pertama.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Dalam prosiding berasingan, mahkamah menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan lanjut kes Mohammad Hasrudi Amran, yang dituduh membunuh mangsa terbabit.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau, jika tidak dijatuhi hukuman mati, penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebat tidak kurang dari 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh A. Akmal, 33, dari Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia, antara jam jam 10 malam , 1 November hingga 3.30 pagi, 2 November 2025 di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Tinjar, Baram.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Samry dan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo
|