
MIRI: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap cucu tirinya yang berusia lapan tahun.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis dua tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Afidah Abdul Rahman selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa dan kos mahkamah, rayuan tertuduh, fakta kes, tahap keseriusan kesalahan serta kepentingan awam.
Atas kedua-dua kesalahan itu, tertuduh yang berusia 60 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua kali, jika kesalahan dilakukan oleh individu yang mempunyai hubungan kepercayaan dengan mangsa.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati melakukan serangan secara fizikal bagi tujuan seksual sebanyak dua kali terhadap mangsa.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh masing-masing pada 19 September 2025 dan 15 Oktober 2025 di sebuah kampung di daerah Marudi ketika mangsa berusia lapan tahun 11 bulan dalam kejadian pertama dan sembilan tahun dalam kejadian kedua.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh ditangkap pada jam 8 malam, 27 November 2025, susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pihak sekolah pada 24 November 2025 dan kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa pulang dari asrama untuk bercuti di kampung.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Marvind Kaliyani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo
|