Teruja tawaran untung 10 peratus sehari, pesara bank rugi RM1.69 juta beli saham luar negara
Zuhainy Zulkiffli - Februari 12, 2026 @ 1:12pm
GEORGETOWN: Pesara bank kerugian RM1.69 juta selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan dalam talian berdasarkan saham syarikat di luar negara.
Wanita warga emas berusia 66 tahun itu dikatakan terjerat selepas tertarik dengan iklan pelaburan saham menerusi Facebook yang menawarkan keuntungan tinggi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata mangsa mula berhubung dengan suspek lelaki menerusi WhatsApp pada November tahun lalu sebelum dijemput menyertai kumpulan WhatsApp.
Katanya, mangsa diberi penerangan mengenai pelaburan dengan pulangan tinggi iaitu sebanyak 10 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan dalam tempoh sehari.
"Mangsa yang berminat diminta mendaftar akaun keahlian sebelum melakukan sebanyak 23 transaksi kemasukan wang ke dalam empat akaun bank milik syarikat yang berbeza antara 17 November hingga 6 Disember tahun lalu.
"Wanita itu menyedari tertipu apabila tidak menerima keuntungan yang dijanjikan malah diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1508726/teruja-tawaran-untung-10-peratus-sehari-pesara-bank-rugi-rm169-juta-beli
|