Surat tawaran Rumah MutiaraKu palsu
Bernama - Februari 11, 2026 @ 6:34pm

Foto hiasan
GEORGETOWN: Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) mengesan kewujudan surat tawaran palsu dicetak menggunakan kepala surat rasmi LPNPP dan diedarkan pihak tertentu kepada orang awam.
Pengurus Besar LPNPP, Khairulnizam Hashim, berkata tindakan itu satu perbuatan pemalsuan dan penyalahgunaan kepala surat rasmi LPNPP.
"Sebarang tawaran Rumah MutiaraKu (RMKu) yang dikeluarkan melalui surat itu tidak sah dan tidak pernah dikeluarkan oleh LPNPP mahupun kerajaan negeri.
"Sebagai langkah pencegahan dan tindakan lanjut, LPNPP telah membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Khairulnizam menyarankan warga Pulau Pinang sentiasa menyemak kesahihan maklumat atau tawaran yang diterima melalui saluran rasmi LPNPP.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1508417/surat-tawaran-rumah-mutiaraku-palsu
|