Edited by FOTHER-MUCKER at 11-2-2026 02:41 AM
Pendapatan isi rumah median Singapura melepasi SGD$12,000 Gambar hiasan. - Foto AFP
SINGAPURA: Pendapatan median isi rumah Singapura meningkat pada 2025 dan buat pertama kali pendapatan bulanan itu melepasi paras SGD$12,000 (RM37,216), menurut data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Singapura (DOS).
Dalam kalangan isi rumah penduduk, pendapatan median bulanan meningkat 7.7 peratus daripada SGD$11,558 (RM35,847) pada 2024 kepada SGD$12,446 (RM38,602) tahun lalu sebelum pelarasan inflasi.
Menurut DOS, laporan 'Key Household Income Trends 2025' turut merangkumi buat pertama kalinya data pendapatan bukan daripada pekerjaan, termasuk pendapatan sewaan dan pelaburan, serta bayaran berkala daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) serta insurans.
Liputan laporan itu juga diperluaskan bagi merangkumi isi rumah tanpa individu bekerja, berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan isi rumah dengan sekurang-kurangnya seorang pekerja.
Menurut DOS, pengambilan kira pendapatan pasaran, merangkumi pendapatan daripada pekerjaan dan bukan pekerjaan, membolehkan analisis trend pendapatan isi rumah yang lebih menyeluruh.
DOS berkata, dengan penduduk Singapura yang semakin menua, terdapat peningkatan bilangan isi rumah yang terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas yang tidak bekerja.
Bagaimanapun, mereka masih mempunyai sumber pendapatan lain, termasuk sewaan, pelaburan dan elaun daripada anak-anak yang tidak menetap bersama.
Pendapatan pasaran median isi rumah merujuk kepada paras pendapatan di titik tengah, dengan separuh isi rumah memperoleh pendapatan lebih tinggi, sementara separuh lagi memperoleh pendapatan lebih rendah.
DOS memaklumkan data pendapatan bukan pekerjaan diperoleh terutamanya daripada rekod pentadbiran seperti CPF dan Central Depository, selain tinjauan berskala besar oleh agensi kerajaan.
Laporan itu membabitkan isi rumah penduduk, iaitu isi rumah diketuai warganegara Singapura atau pemastautin tetap. DOS turut menyatakan langkah-langkah seperti model gaji progresif, bertujuan meningkatkan gaji pekerja berpendapatan rendah melalui peningkatan kemahiran dan produktiviti, menyumbang kepada pengurangan jurang pendapatan di republik itu. - AGENSI
|