CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 31738|Reply: 1

[Sarawak] HAZMAT sahkan gas mudah terbakar, tapak binaan dekat SK Tudan diarah tutup

[Copy link]
Post time 7-2-2026 10:48 PM | Show all posts |Read mode


Pasukan HAZMAT dari JBPM Sarawak mengesyorkan penutupan segera tapak pembinaan berhampiran SK Tudan selepas gas mudah terbakar dikesan. - Gambar JBPM

MIRI: Tapak pembinaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan di sini diarah tutup serta-merta selepas pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesan kehadiran gas asli pada paras berbahaya yang berpotensi mencetuskan kebakaran atau letupan.

Arahan penutupan itu dibuat susulan pemantauan yang merekodkan bacaan melebihi 30 peratus Had Letupan Bawah (Lower Explosive Limit – LEL) berhampiran sebuah lubang gerudi di tapak berkenaan lewat malam Jumaat.

Menurut laporan JBPM Sarawak, pasukan HAZMAT dari Bintulu tiba di lokasi sekitar jam 6.53 petang sebelum menjalankan operasi pemantauan gas bermula 7.10 malam.

“Bacaan awal yang selesai pada jam 7.33 malam mengesan kehadiran bahan kimia iaitu aseton dan toluena.

“Pemantauan kali kedua dijalankan pada jam 8.10 malam dan berakhir jam 8.23 malam, sekali lagi merekodkan kehadiran bahan yang sama,” menurut laporan itu.

Pemantauan lanjut oleh pasukan HAZMAT mengesahkan kehadiran gas mudah terbakar, termasuk gas asli seperti metana, propana dan butana di lokasi kejadian.

“Bacaan yang diambil berhampiran lubang gerudi menggunakan alat pengesan empat gas menunjukkan paras LEL 30 peratus dan ke atas, menandakan risiko kebakaran yang tinggi.

“Namun, pemantauan dalam radius lima meter merekodkan bacaan LEL sifar,” jelasnya.

Laporan itu turut menyatakan bahawa bacaan LEL berada pada paras normal apabila lubang gerudi ditutup, namun meningkat secara ketara apabila lubang tersebut dibuka.

“Sehubungan itu, pasukan HAZMAT mengesyorkan kawasan terlibat ditutup serta-merta dan menegaskan bahawa mana-mana lokasi yang mempunyai lubang gerudi atau lubang penggerudian mesti ditutup atau ditimbus sepenuhnya sebelum tapak berkenaan dibuka kepada orang awam, termasuk kawasan sekolah,” menurut laporan itu lagi.

JBPM Sarawak turut menasihatkan supaya tiada sebarang aktiviti dijalankan di tapak berkenaan sehingga semua lubang gerudi ditimbus sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Selain itu, khidmat nasihat turut dimohon daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Kimia Malaysia bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JMG Sarawak Jaithish John mengesahkan pihaknya telah menerima permohonan berkenaan dan pasukan JMG dijangka berada di Miri Ahad ini, selepas menamatkan kerja tinjauan di Oya.

Beliau berkata, pasukan JMG kini berada di Oya, Mukah susulan pengesanan gas mudah terbakar di tapak Kaul Oya, Kampung Kuala Hilir, sejak awal minggu ini bagi menjalankan kajian geofizik di kawasan terbabit.

Buat masa ini, semua kerja pembinaan kantin SK Tudan telah dihentikan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan awam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 10:55 PM | Show all posts
Isu kebocoran gas di SK Tudan, tunggu laporan pakar: Lee
Februari 7, 2026, Sabtu - 5:06pm



Lee bercakap kepada pemberita di Miri, hari ini.

MIRI: Semua agensi berkaitan telah digerakkan segera bagi menyiasat kejadian pelepasan gas mudah terbakar di tapak pembinaan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan di sini, dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan pelajar, guru dan penduduk sekitar.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan analisis terperinci bagi mengenal pasti jenis gas berkenaan sama ada beracun atau sebaliknya, manakala Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan menilai keadaan geologi kawasan tersebut.

Beliau berkata, tindakan segera itu diambil selepas Petroliam Nasional Sarawak (PETROS) mengesahkan bahawa pelepasan gas itu adalah dari takungan semula jadi bawah tanah dan bukan kebocoran dari saluran paip gas.

Manakala Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak malam tadi mengesahkan gas asli tersebut pada paras berbahaya yang berpotensi mencetuskan kebakaran atau letupan.

Lee berkata, Pejabat Residen dan Daerah Miri sudahpun membuat koordinasi dengan semua agensi berkenaan untuk bermesyuarat dan berbincang sebelum mengemukakan sebarang keputusan dan syor yang perlu diambil.

“Setakat ini, kita tidak akan buat apa-apa spekulasi. Kita tunggulah (mesyuarat). Nanti mereka sudah buat syor, barulah kita buat keputusan.

“Jadi, setakat ini kita tunggu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ketika ditanya jika terdapat kemungkinan tempat terbabit adalah takungan gas asli, Lee berkata perkara itu masih belum dapat disahkan, sehingga kajian terperinci dilakukan oleh pihak terbabit.

“Sebab itu kita kena tunggu kajian oleh semua agensi yang berkenaan dan hasil daripada kajian tersebut. Kita berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Mengenai sama ada terdapat keperluan untuk memindahkan sekolah tersebut (SK Tudan), Lee berkata perkara itu juga akan diserahkan kepada pihak pakar dan agensi berkaitan, sebelum sebarang kata putus diambil.

“Nanti saya akan hubungi Pejabat Residen kerana hari ini mereka juga akan membuat perbincangan berhubung dengan perkara ini,” katanya sambil berkata, pihaknya bernasib baik kerana hari ini adalah Sabtu dan esok Ahad, sekolah akan ditutup.

Justeru, beliau berharap dapat menerima kata putus agensi berkaitan seberapa segera, sebelum sekolah bermula Isnin ini.

“Keutamaan kita ialah keselamatan. Buat masa ini, tapak terlibat hanyalah kawasan pembinaan kantin.

“Sekolah ditutup sementara mengikut nasihat bomba dan kita akan menunggu hasil perbincangan lanjut bersama Pejabat Residen,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan siasatan akan disegerakan bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil tanpa menjejaskan keselamatan pelajar.

Mengulas lanjut, Lee berkata, kejadian itu dikesan tengah hari semalam selepas kerja-kerja cerucuk dijalankan oleh kontraktor, sebelum gas keluar secara tiba-tiba dari dalam tanah.

Beliau berkata , hasil siasatan awal mendapati dua cerucuk dipasang pada kedalaman masing-masing 33.6 meter dan 33.9 meter sebelum gas terbabit dilepaskan.

“Pihak kontraktor segera memaklumkan kejadian itu kepada JBPM yang kemudiannya mengambil sampel gas di lokasi. Ujian awal mengesahkan gas berkenaan bersifat mudah terbakar dan mudah menyala,” katanya lagi,

Beliau memberitahu siasatan turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Residen dan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta PETROS.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-2-2026 09:49 PM GMT+8 , Processed in 0.376477 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list