CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 31824|Reply: 0

[Pulau Pinang] Bicara kes saman kecuaian veterinar terhadap kematian Ollie bermula 9 Feb

[Copy link]
Post time 7-2-2026 09:17 PM | Show all posts |Read mode
Bicara kes saman kecuaian veterinar terhadap kematian Ollie bermula 9 Feb

BERNAMA




GAMBAR HIASAN



Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret Pulau Pinang menetapkan empat hari bermula 9 Feb ini untuk mendengar perbicaraan kes saman kecuaian veterinar membabitkan kematian seekor anjing jenis Beagle Mix bernama Ollie, tiga tahun lepas.

Peguam Muniandy Vestanathan yang mewakili suri rumah R. Viknesvary, 52, selaku pemilik Ollie, berkata pihaknya akan memanggil empat saksi termasuk tiga doktor untuk memberikan keterangan.

"Perbicaraan akan didengar di hadapan Majistret Shyahirah Abdul Salim," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Pada Feb 2024, Vikneswary memfailkan saman itu menerusi Tetuan Andy & Co dengan menamakan dua doktor veterinar, sebuah hospital veterinar di Pulau Pinang dan anak syarikatnya sebagai defendan pertama hingga keempat.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, Viknesvary selaku plaintif mendakwa telah membawa Ollie yang cedera kerana terlibat dalam satu kemalangan untuk menjalani X-ray di hospital berkenaan pada 23 Jan 2023.

Paintif berkata defendan kedua telah mengambil X-ray dan memaklumkan Ollie mengalami beberapa kecederaan dan perlu dibedah, namun memandangkan keadaannya masih kurang stabil, pembedahan belum boleh dibuat dan perlu menunggu doktor pakar pembedahan (defendan pertama).

"Defendan kedua juga memberi keyakinan bahawa nyawa Ollie tidak terancam dan dinasihatkan oleh beliau agar memasukkan Ollie ke hospital tersebut sebagai pesakit," menurut plaintif.

Jelas plaintif, beliau meminta defendan pertama memberikan oksigen kepada Ollie pada hari kedua ia dimasukkan ke hospital namun permintaan itu tidak diendahkan selain pembedahan yang masih belum dapat dilakukan kerana dimaklumkan keadaan Ollie masih belum stabil.

"Pada 24 Jan 2023, saya dimaklumkan Ollie rebah dan usaha menyelamatkannya tidak berjaya.

Defendan kedua kemudian memaklumkan Ollie mati kira-kira 4.30 petang dan telah muntah darah.

"Satu X-ray diambil pada 5.49 petang bagi menentukan punca kematian Ollie," kata plaintif yang kemudian memohon rekod perubatan daripada kesemua defendan untuk penzahiran pratindakan bagi saman pemula.

Bagaimanapun, plaintif berkata kesemua defendan dalam afidavit jawapan mereka mengakui tidak mempunyai sebarang rekod perubatan dan dokumen, termasuk nota perubatan seperti yang dipohon plaintif.

Plaintif mendakwa kesemua defendan, antara lain telah gagal atau cuai dalam menjalankan pemantauan yang mencukupi ke atas keadaan Ollie, gagal menyediakan rekod perubatan yang diperlukan untuk haiwan itu selain telah melanggar kewajipan statutori.

Akibat daripada kematian Ollie secara tiba-tiba itu, plaintif mendakwa beliau telah mengalami kecederaan psikiatri, penderitaan, perbelanjaan dan kerugian selain tidak menerima sebarang bantuan kewangan, moral dan sosial daripada kesemua defendan.

Sehubungan dengan itu, plaintif antaranya menuntut perintah ganti rugi khas sebanyak RM1,834.60 bagi kos perbelanjaan hospital, pengangkutan mayat dan pengebumian Ollie serta kos rawatan psikiatrinya untuk ditafsirkan oleh mahkamah.

Turut dituntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah ganti rugi pada kadar lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.



Disiarkan pada: Februari 6, 2026 @ 8:51pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1319768/bicara-kes-saman-kecuaian-veterinar-terhadap-kematian-ollie-bermula-9-feb




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-2-2026 07:06 PM GMT+8 , Processed in 3.387131 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list