
Lau (lapan kiri) merakamkan kenangan bersama Chieng (lapan kanan), Ting (tujuh kanan) serta yang lain semasa Majlis Pecah Tanah Taman Komuniti YMCA di Sibu, hari ini.
SIBU: Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilihat secara adil dan berlandaskan kefahaman sejarah yang menyeluruh agar perpaduan negara dapat terus diperkukuhkan, kata Presiden Persatuan Kristian Belia Malaysia (YMCA) Sibu Senator Robert Lau.
Menurutnya, perbincangan mengenai MA63 kebelakangan ini mula mendapat perhatian pihak-pihak dari Semenanjung Malaysia termasuk tokoh awam dan penganalisis, yang disifatkan sebagai satu perkembangan positif.
"Perkara baiknya ialah mereka mula mengambil perhatian. Namun, apa yang membimbangkan ialah masih terdapat banyak kejahilan tentang peranan Sarawak dalam pembentukan Malaysia," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Taman Komuniti YMCA di Jalan Terap di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng serta turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting.
Tambah Lau, terdapat segelintir pihak yang cuba membangkitkan sentimen dan menggambarkan keadaan secara tidak tepat tanpa memahami sejarah penubuhan Malaysia serta peranan penting Sarawak, Sabah dan Singapura ketika itu.
Beliau menegaskan, kegagalan memahami perspektif Sarawak dan Sabah boleh menjejaskan usaha membina negara yang bersatu dan harmoni.
"Kita tidak seharusnya melabel Sarawak dan Sabah sebagai mementingkan diri atau terlalu bersifat ke dalam. Dengarlah pandangan kami, fahami kami.
"Luangkan masa bersama rakyat Sarawak, anda akan memahami siapa kami sebenarnya dalam Malaysia,” katanya.
Lau turut menzahirkan kebimbangan bahawa dalam banyak naratif nasional, termasuk perbincangan podcast dan media arus perdana, Sarawak dan Sabah sering diketepikan atau hanya disebut sebagai pelengkap apabila membincangkan sejarah Malaysia dan MA63.
"Hakikatnya, Sarawak ialah rakan pengasas Malaysia. Selama 50 hingga 60 tahun, Sarawak merupakan antara penyumbang utama kepada kesejahteraan kewangan negara dan telah membantu membangunkan, terutamanya Semenanjung Malaysia. Namun, naratif ini jarang diketengahkan," katanya.
Menurut beliau, tuntutan Sarawak hari ini bukanlah bersifat melampau, sebaliknya berlandaskan keadilan dan semangat persekutuan.
"Jika sesuatu itu milik negeri, biarlah ia kekal sebagai milik negeri. Pembinaan negara seharusnya berasaskan kesejahteraan bersama, bukan dengan mengambil kekayaan sebuah negeri yang sememangnya hak negeri tersebut," jelasnya.
Beliau berharap media, penganalisis dan tokoh awam khususnya di Semenanjung Malaysia dapat melihat isu MA63 dari sudut yang lebih seimbang dan berasaskan fakta sejarah.
"Malaysia dibentuk pada tahun 1963. Sebelum itu, yang wujud hanyalah Tanah Melayu. Maka, pemikiran kita juga perlu berubah daripada 'Malaya' kepada 'Malaysia'," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo
|