
BIKF yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Julai 2026 di Bintulu.
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan menganjurkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) Bintulu dari 22 hingga 26 Julai 2026 di Lasar Kenyalang, Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini.
Jurucakap BDA berkata, edisi tahun ini tampil dengan kelainan baharu termasuk suasana lebih ceria dan bercahaya pada waktu malam.
Katanya, BIKF akan menampilkan persembahan layang-layang bertaraf antarabangsa serta elemen visual yang lebih mengujakan untuk seisi keluarga dan pengunjung.
"Layang-layang akan kembali memeriahkan langit Bintulu dengan menjanjikan pengalaman yang lebih luar biasa untuk pengunjung," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada tahun lepas, sejumlah 29 negara menyertai festival pada September di tapak yang sama dan setiap tahun BIKF membawa beberapa kelainan untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
|