
PERIKSA: Pasukan operasi ketika menjalankan operasi di kawasan penempatan setinggan.
SANDAKAN: Seramai 14 individu ditahan dalam operasi bersepadu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di sekitar daerah ini, pada Khamis.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, tangkapan berkenaan membabitkan kes pendatang tanpa izin (PTI), penyalahgunaan dadah serta pelbagai kesalahan lain.
Katanya, operasi itu dilaksanakan di kawasan bandar, penempatan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.
“Operasi bersepadu ini merangkumi pemantauan laluan kritikal yang dikenal pasti sering digunakan bagi aktiviti penyeludupan berhampiran sempadan daratan dan perairan.
“Ia bertujuan menjamin keselamatan serta memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), selain mengekang penyusupan PTI dan ancaman jenayah rentas sempadan,” katanya.
Menurutnya, hasil operasi, 13 lelaki dan wanita dewasa ditahan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan untuk tindakan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang lelaki pula diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Victor berkata, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, dalam operasi sama, Sabah Electricity melaksanakan pemotongan sambungan elektrik secara haram di beberapa lokasi, membabitkan kerugian dianggarkan RM310,000 mengikut Seksyen 61B Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
“Jabatan Air Sabah (JAS) Sandakan turut mengesan beberapa kes sambungan paip air secara haram dengan anggaran kerugian RM27,215 di bawah Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003,” katanya.
Selain itu, katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sandakan mengeluarkan 137 saman trafik (POL 257) atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM5,316.46 serta mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM1,200.
“Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) turut merampas peralatan perniagaan tanpa lesen bernilai RM500 selain rokok tidak bercukai dianggarkan RM5,898 di sekitar kawasan pasar,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|