Edited by Vellfire at 7-2-2026 01:13 PM

TAHAN: Kapal nelayan yang ditahan selepas didapati menceroboh perairan negara di sekitar Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan di sini.
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menggagalkan cubaan tujuh vesel nelayan asing (VNA) warga Filipina menceroboh perairan negara di sekitar Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan di sini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pencerobohan dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dua bot ronda digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti.
“Hasil pemantauan dan pemintasan di laut membawa kepada penahanan semua vesel berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan mendapati 21 individu termasuk tekong berumur antara 17 hingga 60 tahun berada di atas semua vesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata, kesemua kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Semua vesel bersama kru kemudian diiring ke Pusat Tahanan Vesel, Sabah Port Kudat bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan.
“Nilai rampasan termasuk vesel, enjin serta peralatan menangkap ikan dianggarkan mencecah RM100,000,” katanya.
Hasbullah berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana memasuki serta menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas kru gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Kawasan perairan utara Sabah khususnya sekitar Kudat dan Pulau Balambangan dikenal pasti antara lokasi berisiko tinggi pencerobohan nelayan asing.
“Sehubungan itu, Maritim Malaysia mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara kekal terpelihara,” katanya.
Beliau menegaskan agensi itu tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti pencerobohan, penyeludupan atau jenayah rentas sempadan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” katanya.
Dalam masa sama, orang ramai khususnya komuniti maritim digalak menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan.
Maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Katanya, kerjasama masyarakat penting bagi membantu pihak berkuasa memantau perairan yang luas dan mencabar.
Operasi bersepadu seperti ini membuktikan kesiapsiagaan aset serta anggota Maritim Malaysia dalam mempertahankan perairan Sabah.
Langkah proaktif itu selaras usaha berterusan kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan maritim dan mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
|