
SIMANGGANG: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui tugas mencabar menanti pemainnya apabila turun berdepan Brunei DPMM pada aksi suku akhir pertama kempen Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, malam esok (Sabtu).
Menurut Aidil, tuan rumah pasti memanfaat peluang beraksi di laman sendiri untuk cuba beroleh kemenangan selain mencari lebihan defisit gol sebagai bekalan aksi timbal balik di Kuching pada 14 Februari nanti.
“Malam esok perlawanan yang sukar bagi kita, bukan sahaja tekanan bakal menanti ekoran beraksi di gelanggang lawan.
“Malah, barisan kesebelasan utama yang diturunkan juga berbeza kerana kebanyakan pemain utama cedera,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Pun begitu, ketiadaan beberapa pemain utama tidak memberi impak besar dalam percaturan dan strategi yang akan diguna pakai nanti.
“Saya percaya pemain simpanan yang ada mampu melaksana tugas mereka dengan baik,” tambah Aidil.
Dalam perkembangan yang sama, Aidil menggesa pemainnya supaya mengelak pintu gol mereka dibolosi dengan mudah.
Sumber : Suara Sarawak
|