
SIBU: Polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes kematian tiga kanak-kanak yang ditemui lemas di sebuah kolam kumbahan di belakang Flat Perumahan Blok M, Sibu Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Sibu Zulkifli Suhaili (gambar) berkata siasatan dimulakan sejurus pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 4 petang, Sabtu.
Menurut beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan siasatan kini tertumpu kepada penentuan punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Beliau menegaskan siasatan dijalankan secara menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk pengumpulan maklumat, rakaman percakapan saksi serta penelitian semua aspek berkaitan kejadian.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat andaian sendiri berhubung kes tersebut.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|