
Lee yang juga pengasas The Twin Brothers Patisserie (dua kiri) menyerahkan sumbangan roti kepada Andy selaku pengerusi penganjur bersama program derma darah tersebut.
MIRI: Sebagai inisiatif membantu menambah bekalan darah di Tabung Darah Hospital Miri, Persatuan Prihatin Masyarakat Miri (PPMM) bersama Sayap Belia Persatuan Klan Lee Miri (PKIM) akan menganjurkan program Derma Darah Prihatin Komuniti 2026 pada Ahad ini.
Program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu akan berlangsung di ruang pameran Aras 3, Kompleks Beli-Belah Boulevard, Jalan Pujut di sini.
Menurut Ketua Sayap Belia PKLM Lee Jun Tak dan Timbalan Presiden PPMM Andy Jong Wan Joon, program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menderma darah.
Selain itu, ia juga bagi menzahirkan semangat keprihatinan dan perpaduan komuniti Miri, khususnya ketika Tabung Darah Hospital Miri kini berdepan masalah kekurangan bekalan darah.
“Ketika berdepan musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti Tabung Darah Hospital Miri memerlukan bekalan darah mencukupi bagi memastikan keperluan transfusi untuk kes kecemasan dan pesakit dapat dipenuhi sepanjang tempoh perayaan,” kata mereka.
Justeru, orang ramai diseru agar tampil menyertai aktiviti derma darah ini kerana setiap beg darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa dan sokongan masyarakat amat diperlukan mengikut kemampuan masing-masing demi kesejahteraan komuniti.
Menurut mereka, bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, pihak penganjur dan penaja telah menyediakan beg cenderahati untuk 100 penderma darah terawal yang mengandungi sepeket 1 kilogram beras wangi Butterfly, roti dan minyak masak Merris Lite Pure Vegetable Oil 500ml.
Program ini mendapat sokongan beberapa penaja seperti Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd dan Liansin Trading Sdn Bhd yang menaja beras, The Twin Brothers Patisserie menaja roti manakala Sarawak Oil Palm Berhad menaja minyak masak.
Program ini juga dianjurkan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Miri dan Bulan Sabit Merah Miri dan Pusat Beli-Belah Boulevard selaku penyedia lokasi bagi program derma darah ini.
Sumber : Utusan Borneo
|