
LAWAS: Seorang lelaki yang juga pekerja swasta kerugian RM40,970 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran kerja sambilan melalui aplikasi dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, satu laporan polis diterima daripada mangsa, 47, berhubung kejadian itu pada Selasa.
"Berdasarkan keterangan mangsa, semasa di rumah mangsa melihat iklan kerja sambilan di aplikasi yang menjanjikan keuntungan melalui tugasan meningkatkan pembelian dana emas.
“Pengadu mula berurusan pada 23 Disember tahun lepas dan telah melakukan 11 transaksi kewangan berjumlah keseluruhan sebanyak RM40,970,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Liong berkata, mangsa menyedari ditipu apabila sentiasa diarahkan menyerahkan wang tanpa mendapat pulangan.
Katanya, pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan katanya, seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditahan di Perumahan Jalan Airport kerana disyaki terlibat dalam akaun keldai pada Selasa.
Ujarnya, satu laporan polis diterima di Miri menunjukkan akaun bank milik suspek digunakan untuk kegiatan jenayah penipuan.
“Siasatan awal polis mendapati suspek pernah menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada seorang individu dikenali untuk tujuan peribadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu katanya, seorang lelaki, 47, diberkas kerana positif dadah susulan pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Jalan Lawas Damit pada Selasa. “Hasil pemeriksaan dalam rumah dan badan tidak menjumpai barang salah atau dadah.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine manakala semakan kesalahan lampau mendapati dia mempunyai satu kesalahan lampau,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya lagi, dalam operasi berasingan seorang lelaki tempatan, 62, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi empat nombor ekor pada Ahad.
“Pemeriksaan lanjut pada telefon bimbit mendapati mengandungi aplikasi judi.
"Suspek ditangkap bersama rampasan sebuah telefon bimbit dan beberapa keping wang tunai untuk dijadikan barang kes kesalahan di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953," ujarnya lanjut.
|