
Voon (tengah) merakam kenangan bersama beberapa ahli Majlis Tertinggi PBK, penyokong parti dan pemerhati selepas sidang media.
KUCHING: Parti Bumi Kenyalang (PBK) menggesa kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sarawak memberikan penjelasan awam penuh mengenai pembayaran RM1.8 bilion bagi tujuan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, dengan menegaskan bahawa rakyat Sarawak berhak memahami asas keputusan tersebut.
Presiden PBK Voon Lee Shan menyatakan bahawa keputusan kewangan berskala besar sebegitu tidak wajar dibuat secara tertutup, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan dana awam dan kepentingan jangka panjang Sarawak.
PBK juga tegasnya, menuntut penilaian bebas mengenai jumlah keuntungan yang telah diperoleh oleh kerajaan persekutuan daripada Pelabuhan Bintulu selama beberapa dekad.
“Kerajaan persekutuan telah menjana keuntungan yang sangat besar daripada Pelabuhan Bintulu, mungkin mencecah trilion ringgit sejak pelabuhan itu diambil alih oleh pihak berkuasa persekutuan.
“Sarawak bukan untuk dijual. Sarawak bukan untuk ditebus. Sarawak tidak akan berdiam diri,” tegasnya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini yang turut dihadiri beberapa ahli Majlis Tertinggi PBK, penyokong parti dan pemerhati.
Voon turut merujuk kepada sejarah pengisytiharan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan persekutuan sekitar tahun 1978 hingga 1981, susulan penggubalan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 yang menempatkan pentadbirannya di bawah kerajaan persekutuan.
Jelasnya, sehingga kini tiada rekod awam yang menunjukkan Sarawak pernah menerima pampasan ketika pelabuhan itu ditukar status daripada pelabuhan negeri kepada pelabuhan persekutuan.
“Kini, Sarawak diberitahu bahawa ia mesti membayar RM1.8 bilion secara sekali gus hanya untuk mengambil semula kawalan ke atas Lembaga Pelabuhan Bintulu-tanah kita sendiri, pelabuhan kita sendiri, nadi ekonomi kita sendiri. Ini bukan tadbir urus. Ini adalah pemerasan politik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tuntutan PBK bukan bersifat politik sempit, sebaliknya berkait rapat dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kepercayaan rakyat terhadap tadbir urus negeri.
Pada Rabu, media melaporkan kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sarawak secara prinsipnya telah bersetuju dengan nilai RM1.8 bilion bagi tujuan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
Perkara itu dimaklumkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang berkata kedua-dua pihak kini berada pada peringkat akhir proses penyerahan pelabuhan berkenaan kepada Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua pihak sedang memperhalusi aspek perundangan bagi memastikan semua obligasi disempurnakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2023 [Akta 59], sebelum tarikh kuat kuasa akta tersebut ditetapkan.
Sumber : Utusan Borneo
|