
ROSAK: Video memaparkan aksi kedua-dua suspek merosakkan papan tanda.
KENINGAU: Tindakan dua lelaki merosakkan papan tanda jalan di tepi Jalan Sinaron–Tongod membawa padah apabila kedua-duanya ditahan polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Kejadian lewat malam pada 2 Februari dirakam rakan mereka sebelum dimuat naik ke status WhatsApp dengan tetapan awam, kemudian disunting dan disebarkan semula di Facebook sehingga mengundang perhatian ramai serta mencetuskan kemarahan orang awam.
Video berdurasi 22 saat itu memaparkan aksi kedua-dua suspek merosakkan kemudahan awam tanpa menghiraukan risiko kerosakan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Susulan penularan rakaman berkenaan, polis bertindak pantas mengesan identiti suspek sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 19 tahun di Kampung Sinaron.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video tular kira-kira jam 12.08 tengah malam pada hari sama.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dan mendakwa perbuatan itu dilakukan sekadar bergurau kerana menyedari aksi mereka sedang dirakam rakan di lokasi.
“Rakaman video pada awalnya dimuat naik ke status WhatsApp dengan tetapan awam sebelum disunting dan dimuat naik semula oleh individu tidak dikenali ke Facebook sehingga menjadi tular,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata, polis mendapatkan perintah reman selama tiga hari terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan cara merosakkan harta benda milik Kerajaan Malaysia.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Yampil menegaskan polis memandang serius sebarang perlakuan jenayah, khususnya vandalisme yang menjejaskan kemudahan awam serta keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta digalakkan menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|