Georgetown: Penemuan bangkai ikan di Sungai Air Terjun, Jalan York di sini sejak dua hari lalu menimbulkan kebimbangan kemungkinan pencemaran air, selain menyebabkan bau busuk yang menjejaskan persekitaran penduduk berhampiran.
Penduduk Kampung Dobi Ghaut, Omar Khan Kassim, 73, mendakwa keadaan sungai yang sebelum ini jernih berubah gelap sejak beberapa hari lalu, selain dipenuhi bangkai ikan pelbagai saiz dan udang.
Beliau berkata, rumahnya terletak kira-kira 20 meter dari sungai berkenaan dan perubahan itu disedarinya sejak semalam apabila laluan ke rumahnya berbau busuk.
"Sekarang cuaca kering serta angin kencang, bau itu amat menusuk hidung terutama ketika tengah hari dan waktu malam.
"Saya bimbang jika air ini tercemar dan menyebabkan lebih banyak ikan mati, justeru diharap pihak berkaitan dapat ambil tindakan segera bagi mengetahui puncanya," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Aja, 40-an, berkata dia melihat ikan seperti tilapia dan spesies tempatan timbul di permukaan air sejak dua hari lalu.
Menurutnya, semalam terdapat beberapa individu menebar pukat di sungai berkenaan dan mendakwa menjual hasil tangkapan kepada rakan serta jiran.
"Manalah tahu jika air itu tercemar dan memudaratkan individu yang memakan ikan berkenaan.
"Semalam, sungai ini dipenuhi ikan mati namun hari ini berkurangan mungkin sudah dibawa arus cuma bau busuk semakin kuat," katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati bangkai ikan pelbagai saiz dan udang masih kelihatan di sepanjang sungai itu, selain air berwarna gelap, sedikit berbuih serta dipenuhi sampah sarap.
Bau busuk turut boleh dihidu pada jarak kira-kira 20 meter dari sungai berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow yang turut meninjau lokasi berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kejadian itu.
"Diharap pihak berkuasa yang berkaitan ambil tindakan segera, datang ke lokasi dan ambil (sampel) air sungai itu bagi diperiksa untuk menentukan sama ada ia mengandungi racun atau sebaliknya," katanya.