PAS ambil pengajaran insiden babit bekas ADUN PAS Perlis
Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah - Februari 3, 2026 @ 9:56pm

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP
KOTA BHARU: PAS mengakui tindakan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang memohon untuk menyertai semula parti itu menjejaskan kestabilan dan kewibawaannya sebagai parti pemerintah di negeri berkenaan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti melihat episod itu sebagai satu pengajaran yang perlu diambil serius.
Sambil melahirkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku, beliau berkata, tumpuan yang lebih penting ketika kini adalah mengambil iktibar daripada insiden terbabit bagi memperkukuh parti pada masa hadapan.
"Tindakan tiga ADUN itu menjejaskan kestabilan dan kewibawaan PAS sebagai parti pemerintah di Perlis.
"Walaupun kita berasa kecewa, apa yang lebih utama ialah pengajaran yang mesti diambil daripada insiden ini.
"Ketiga-tiga bekas ADUN Perlis terbabit sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai semula PAS dan permohonan itu akan diproses mengikut prosedur standard parti," katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan, keputusan parti tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya berlandaskan panduan dan pertimbangan teliti termasuk mengambil iktibar daripada sejarah Islam.
Beliau berkata, PAS kekal sebagai sebuah parti terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersama dalam perjuangan menegakkan nilai Islam dalam pentadbiran negara.
"PAS tidak pernah menghalang mana-mana individu daripada menjadi ahli, sama ada pemohon baharu, mereka yang pernah dipecat, atau mereka yang keahliannya terbatal," katanya.
Tambah beliau, keyakinan rakyat terhadap prinsip dan kestabilan PAS kekal kukuh, dengan mendedahkan parti menerima lebih 2,000 permohonan keahlian baharu setiap bulan, termasuk permohonan untuk menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
"Kami yakin dengan tanggungjawab dan kepercayaan besar ini, kami akan menghadapi semua cabaran.
"Dengan disiplin, perpaduan dan pertolongan Allah, PAS percaya ia akan berjaya dan kekal teguh sebagai sebuah organisasi yang berintegriti," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS menyerahkan kepada kepemimpinan pusat parti untuk membuat keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan oleh tiga bekas ADUN Perlis yang dipecat semasa krisis politik negeri bulan lalu.
Tiga bekas ADUN itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/02/1505001/pas-ambil-pengajaran-insiden-babit-bekas-adun-pas-perlis
|