ALOR SETAR: Polis dalam usaha mengesan senjata digunakan suspek untuk
menikam ibunya, Zahrullail Basir, 52, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata setakat ini usaha untuk mencari senjata yang digunakan dalam kejadian pembunuhan eksekutif operasi bank itu sedang giat dilakukan pihaknya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati hanya suspek melakukan perbuatan menikam ibunya semalam.
"Suspek mempunyai masalah panas baran dan siasatan awal kejadian ini dipercayai berpunca masalah kewangan.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dilakukan dan suspek sudah direman tujuh hari sehingga 9 Februari ini untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media semalam melaporkan, seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini semalam.
Suspek berusia 29 tahun itu akhirnya
ditahan polis pada jam 8.34 malam tadi dalam sebuah bas persiaran ketika dalam perjalanan menuju ke Selangor.