Georgetown: Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid enggan mengulas dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dengan menyatakan beliau tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
Mohamad, yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata, beliau akan menahan diri daripada membuat sebarang ulasan peribadi mengenai perkara itu namun menegaskan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM. Saya tidak berniat mencampuri urusan siasatan dan saya amat mempercayai ketelusannya," katanya kepada New Straits Times hari ini.
SPRM sebelum ini dilaporkan sedang menyiasat kemungkinan berlaku salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan Pulau Pinang berkaitan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Siasatan dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membangkitkan isu berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada akhir tahun lalu.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, siasatan itu bertujuan mengesahkan perkara terbabit dan menentukan sama ada terdapat sebarang unsur salah laku atau isu berkaitan tadbir urus.
Mohamad menyifatkan dakwaan terbaru terhadapnya sebagai bermotifkan politik, dengan mendakwa ia bertujuan menjatuhkan kedudukannya meskipun beliau berusaha membangun dan memperkasakan syiar Islam di Pulau Pinang.
"Ini semua adalah politik. Mereka mahu menjatuhkan saya kerana saya telah membangunkan Islam di Pulau Pinang," katanya.
Setakat ini, Mohamad belum dipanggil oleh SPRM.
Semalam, Karunanithy dilaporkan berkata, SPRM akan merakam kenyataan daripada beberapa individu memandangkan siasatan terhadap dakwaan salah guna dana zakat yang membabitkan pegawai kanan kerajaan negeri itu kini semakin dipergiat.
Kenyataan Mohamad itu menyusul di tengah-tengah desakan PAS Pulau Pinang yang menuntut peletakan jawatan serta-merta beliau atas dakwaan kronisme, nepotisme, dan salah guna kuasa dalam pengurusan institusi agama Islam di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, dakwaan itu membabitkan penyalahgunaan kuasa dan amalan pelantikan yang tidak adil dalam institusi di bawah seliaan Mohamad.
Parti Islam itu menegaskan bahawa isu terbabit melangkaui urusan pentadbiran kerana ia amanah awam serta pengurusan dana zakat dan wakaf yang bernilai jutaan ringgit.
"Terdapat pemusatan kuasa membuat keputusan yang melampau serta kegagalan memastikan tadbir urus yang telus dan adil, yang mana telah mencalarkan imej Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam.
"Oleh itu, kami menggesa Mohamad meletak jawatan daripada semua jawatan berkaitan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam. Ini akan membantu mengembalikan keyakinan orang awam dan membolehkan siasatan telus dilakukan tanpa pengaruh politik.
"Institusi Islam tidak seharusnya digunakan sebagai alat untuk kepentingan peribadi atau politik," katanya.